Sebagai umat Islam, memang kita patut bersyukur dan rasa bertuah dilahirkan di Malaysia. Sebuah negara berdaulat yang meletakkan Islam sebagai agama bagi negara. Ia termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan negara.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Perkara 11 mengenai kebebasan agama pula menyatakan, tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.
Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama negara, penduduknya yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Sememangnya, kebebasan ini membentuk perpaduan yang kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia selama ini. Lebih-lebih lagi selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Antara nikmat terbesar orang Islam sebagai warganegara Malaysia adalah kebebasan beribadat. Tidak kira di pelosok mana pun di negara ini, anda bebas solat di masjid dan surau, bebas mengamalkan ajaran Islam tanpa sekatan.
Perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 12 Januari lalu, Malaysia mempunyai 6,514 masjid meliputi 19 masjid bertaraf negeri, 76 masjid kerajaan, 168 berstatus daerah dan 6,251 masjid kariah.
Johor kekal sebagai negeri terbanyak masjid iaitu 822 disusuli Perak (652), Pahang (630), Kelantan (584), Kedah (581), Terengganu (484), Selangor (421) dan Sarawak (369). Putrajaya pula masih sedikit masjid iaitu tiga buah diikuti Labuan (15), Kuala Lumpur (69), Perlis (101), Melaka (195), Pulau Pinang (213) dan Negeri Sembilan (298).
Sayangnya, sambutan penduduk Malaysia terhadap ulang tahun kemerdekaan ke-65 yang akan diraikan lima hari lagi, nampak kurang meriah. Masih “suam-suam kuku”. Malah, ramai yang ‘tak heran’ pun dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan.
Hinggakan hanya perasaan hari bersejarah itu kerana adanya cuti umum. Sebab itu, agaknya ramai yang tak rasa bersemangat untuk sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.
Malah, Malaysia menjadi negara Islam paling damai di dunia mengatasi beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Arab Saudi.
Republika di Jakarta melaporkan, Indeks Kedamaian Global 2020 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Kedamaian (IEP) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 20 dalam senarai tetapi menjadi negara Islam paling damai. Indonesia pula berada pada kedudukan 49 mengatasi Arab Saudi di tangga 128.
Yang dibimbangkan, generasi muda kini sudah terlalu selesa dengan kehidupan aman damai yang dinikmati sehingga berasa tak perlu ambil pusing nilai dan nikmat kemerdekaan. Walhal hasil kemerdekaan itulah antara faktor utama Islam maju di bumi bertuah ini.
Malaysia dan negara-negara ASEAN misalnya memang aman. Tidak seperti Palestin yang sentiasa diserang dan ditindas oleh rejim zionis walaupun berada di negara sendiri. Palestin juga pernah merdeka sebelum peristiwa nakbah pada 15 Mei 1948.
Nakbah dalam bahasa Arab bermaksud mala petaka, merujuk kepada hari peringatan pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan desa di Palestin pada tarikh tersebut.
Keganasan itu berlaku sehari selepas berakhirnya mandat pentadbiran penjajah Britain di Palestin yang diikuti dengan pengisytiharan secara sehala penubuhan negara haram Israel.
Pada tarikh berkenaan, lebih 700,000 penduduk Palestin diusir keluar secara paksa dan menjadi pelarian sebelum tanah mereka dijadikan penempatan pendatang haram Yahudi.
Sejak itu, sehinggalah hari ini saudara seagama kita di sana sentiasa menjadi sasaran kekejaman zionis. Terbaharu pada 6 Ogos lalu, selepas tiga hari ‘bermandi darah’ dan dihujani bedilan roket Israel. Serangan Zionis terhadap kumpulan pejuang jihad Islam itu meragut nyawa 46 orang awam termasuk 16 kanak-kanak dengan 360 yang lain cedera.
Selain ancaman dan serangan tentera, penduduk Palestin juga berhadapan dengan pelbagai kesulitan yang sengaja direka oleh Israel. Antaranya tidak mengiktiraf status warganegara kepada anak-anak yang dilahirkan di negara itu.
Ini dikongsi oleh Presiden Universiti Al-Quds (AQU), Jerusalem, Prof. Dr. Imad Abu Kishek dalam pertemuan dengan penulis baru-baru ini.
Katanya, terdapat tidak kurang 30 kes sehari melibatkan masalah mendaftarkan kelahiran anak-anak Palestin yang diuruskan oleh sekumpulan peguam di bawah Pusat Tindakan Komuniti yang dikendali oleh lepasan siswazah undang-undang AQU.
“Semuanya kerana Israel hanya iktiraf anak-anak ini sebagai penduduk dan bukannya warganegara Palestin. Itu tidak termasuk tindakan mereka merampas tanah-tanah dan rumah penduduk secara haram,” jelasnya.
Demikianlah nasib apabila ‘kemerdekaan’ dirampas. Inilah perkara yang mesti diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Sebabnya, tidak mustahil perkara yang menimpa Palestin boleh berlaku di negara kita, nauzubillah.
Nikmat kebebasan dan kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dipertahankan sampai bila-bila. Ini kerana, nikmat ini mampu membebaskan diri dan pemikiran kita daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih. (Ibrahim: 7)
Mencintai negara harus dibuktikan dengan azam dan usaha keras kita membangunkan negara mengikut syariat Islam. Semangat patriotisme tidak cukup sekadar menyambut hari kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang.
Sebaliknya, membangunkan negara ini menurut acuan yang diredai oleh Allah dan Rasulullah SAW. Sesungguhnya, syariat Islam akan lebih mudah terlaksana dalam keadaan negara aman dan damai.
Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang. Malah ia perlu ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak tanpa mengira bangsa dan agama. Ini menjadikan setiap warganegara Malaysia amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










