SETIAP kali menjelang pilihan raya umum (PRU), Pas tampil dengan janji-janji manis dalam manifesto mereka. Janji-janji khususnya dalam aspek pembangunan secara tidak langsung menarik minat pengundi untuk terus mengekalkan pemerintahan kerajaan Pas Kelantan sejak 32 tahun lalu.
Namun realitinya, banyak janji Pas tidak ditunaikan. Antara janji-janji yang gagal dilaksanakan sehingga hari ini ialah penyediaan bekalan air bersih, Projek Pembangunan Bandar Baru Pengkalan Kubor, Lembah Sireh dan Lebuh Raya Rakyat.
Projek Lebuh Raya Rakyat dari Kampung Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu di Machang antara salah satu kegagalan ‘terbesar’ Pas Kelantan selain bekalan air. Menariknya, projek ini dilancarkan ketika gendang PRU mula dipalu sehingga berjaya meraih simpati apabila ada dalam kalangan rakyat sanggup ‘bergolok-gadai’ memberikan wang sumbangan untuk mengisi tabung.
Sungguhpun begitu, Pas mengakui tidak mampu melaksanakannya dan akhirnya menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan Pusat.
Media pada 2017 melaporkan, kerajaan negeri mengumumkan sebanyak RM3.2 juta dikumpul menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat yang diwujudkan sejak lima tahun sebelum itu. Bagaimanapun, projek yang dijadualkan siap pada Mac 2018 dibatalkan kontraknya atas persetujuan bersama antara pemaju dan kerajaan negeri. Difahamkan kerana syarikat yang mendapat kontrak tidak mampu meneruskan pembinaan lebuh raya sejauh 10 kilometer membabitkan belanja RM200 juta.
Susulan itu pada 7 Mac 2019, kerajaan negeri membuat permohonan semula kepada kerajaan Pusat untuk melaksanakannya.
MUAK
Teringat satu hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ibu Hibbah: “Katakanlah yang benar itu benar, walaupun pahit.”
Hadis ini menerangkan bahawa benar dalam sesuatu perkara adalah wajib walaupun ia memihak kepada kita atau orang lain.
Melihat kepada keterangan hadis ini, kerajaan Pas Kelantan perlu mengakui kegagalan dalam melaksanakan janji-janji yang telah ditulis dalam manifesto sebelum-sebelum ini. Ini kerana ia bertepatan dengan imej mereka yang meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran. Amat malang jika dasar Islam yang menjadi teras pentadbiran negeri tidak diadaptasi dengan mengotakan segala janji-janji sebagaimana ditabur selama ini.
Sudah tiba masanya, kerajaan negeri secara terbuka membuat pengakuan jujur dan penuh ikhlas berhubung kegagalan menunaikan janji. Itu lebih baik daripada mereka terus menegakkan benang yang basah di sebalik kegagalan itu. Secara jujurnya, rakyat dilihat mungkin lebih terbuka untuk ‘memaafkan’ kerajaan negeri.
Menjelang PRU15 ini, Pas perlu tampil realistik dengan tidak membuat janji-janji ‘bulan dan bintang’ yang membolehkan rakyat ‘muak’ dengan perkara tersebut. Sebaliknya, mereka perlu terus fokus menggunakan kuasa yang ada di peringkat Persekutuan dengan berusaha ‘meniup’ semula roh ke atas janji-janji dibuat sebelum ini terutama menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan kemudahan-kemudahan asas lain.
Tindakan itu dilihat lebih ‘mulia’ daripada terus menabur janji-janji manis yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Pas. Rakyat sudah bijak menilai kemampuan sebenar Pas selepas 32 tahun diberi mandat penuh untuk mengepalai Kota Darulnaim.
Jangan pula PRU15 menjadi medan untuk rakyat menukar kerajaan Pas menjadi pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa hadapan bagi memberi pengajaran kepada parti tersebut.
Kor guano? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










