JIKA dahulu, sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ramai yang sudah berkira-kira untuk menyambung pelajaran selepas menerima keputusan masing-masing. Selepas menerima keputusan, semua sibuk mengisi borang permohonan ke universiti.
Masing-masing begitu teruja untuk menyambung pengajian sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau di kolej swasta dan kolej kemahiran. Tekad mereka hanya satu, menduduki peperiksaan SPM atau STPM ialah dengan satu hasrat iaitu untuk menyambung pelajaran sehingga ke menara gading sebelum memasuki alam pekerjaan.
Yang lemah dalam akademik sekali pun tetap bersemangat menyambung pelajaran. Ada yang dari Perlis sanggup ke Kelantan, tiga hingga empat tahun menuntut ilmu di institusi kemahiran. Pendidikan disifatkan sangat penting.
Alhamdulillah, ramai berjaya dan mempunyai pekerjaan yang stabil dalam pelbagai bidang ataupun sekurang-kurangnya mengusahakan perniagaan sendiri. Namun kebelakangan ini, keterujaan tersebut dilihat semakin hilang. Semangat untuk sambung belajar dalam kalangan remaja semakin pudar dengan ramai yang selesa untuk terus bekerja.
Hal demikian dilihat apabila kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data tersebut adalah dari 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian pada 2019 membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, selepas keputusan hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.
Antara faktor utama remaja yang berusia 17 hingga 18 tahun dikatakan tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform ekonomi gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial (influencer) dan beranggapan belajar tinggi-tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.
Faktor tersebut sememangnya ada asasnya. Bekerja sebagai penghantar makanan sahaja sekiranya dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya mampu menjana pendapatan RM3,000 sehingga RM4,000 sebulan. Begitu juga dalam perkhidmatan e-hailing, mampu menjana ribuan ringgit dengan mudahnya.
DIGITAL
Bagi kebanyakan remaja masa kini, media sosial juga menjadi platform kepada mereka dalam menjana pendapatan lumayan. Bak kata seorang lepasan SPM yang dikenali sebagai Bela,18, kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, dia tidak terfikir untuk sambung belajar kerana tanpa belajar tinggi pun dia memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bekerja sebagai penghantar makanan.
“Saya lihat ramai yang sambung belajar tinggi-tinggi tetapi sukar mendapat pekerjaan. Malah, ramai lepasan universiti yang bertahun-tahun belajar akhirnya turut bekerja sebagai penghantar makanan dan dalam perkhidmatan ,” kata remaja tersebut.
Mungkin benar pekerjaan seperti penghantar makanan atau perkhidmatan e-hailing menjamin pendapatan yang baik, namun untuk jangka panjang, prospek kerjaya seperti itu sukar dipertahankan kerana tenaga kerja baharu yang sentiasa tersedia.
Begitu juga remaja yang terikut-ikut untuk menjadi penyedia kandungan (content provider) atau pempengaruh media sosial yang disangka mampu memberi kemewahan segera, namun hakikatnya tidak begitu kerana yang mencapai kemewahan melalui cara tersebut biasanya amat kecil berbanding keseluruhan pengguna media sosial.
Isu remaja tidak berminat sambung belajar merupakan perkara serius yang perlu diberi perhatian demi masa depan golongan muda ini. Apa akan jadi kepada generasi akan datang jika semakin ramai tidak berminat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi?
Solusi berkaitan perkara tersebut perlu dicari. Mungkin bidang yang ditawarkan di universiti perlu diperbanyakkan dengan kursus yang relevan untuk pasaran kerja di negara ini. Dalam masa sama, lepasan SPM juga perlu bijak membuat pilihan bidang yang boleh menjamin peluang pekerjaan lebih cerah.
Antaranya seperti yang dikongsikan Pengarah Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Madya Dr. Shafriza Nisha Basah, prospek kerjaya berkaitan teknologi dan digital dijangka menjadi tumpuan dan akan berkembang pada masa akan datang.
Sampai bila-bila pun, pendidikan sangat penting. Kembalikan keterujaan remaja agar terus bersemangat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Semua pihak harus memainkan peranan membantu mengembalikan keterujaan tersebut. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










