Hentikan fitnah, tolak pemakan dedak

Hentikan fitnah, tolak pemakan dedak

HARI ini, Barisan Nasional (BN) membuktikan kemampuannya dengan menyelamatkan negara selepas pandemik dan mengembalikan kelangsungan hidup rakyat ke tahap terbaik. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKIN hampir dengan pilihan raya umum (PRU) maka makin hebatlah serangan dari pelbagai arah dan kumpulan terhadap kerajaan. Maha hebat serangan itu boleh kita gambarkan sepertimana serangan Pakatan Harapan (PH) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum PRU14.

Sekali lagi negara dipimpin oleh Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) sama juga sebelum PRU14. Maka asas kepasa BN, iaitu UMNO seharusnya menjadi sebuah parti yang cukup masak dengan pengalaman untuk menahan dan menangani serangan ini.

Takkan goyang sebenarnya parti yang diserang oleh musuh jika kesatuan dan kesepakatan dalaman kukuh dan kebal. Pemimpin boleh bersatu tetapi ahli yang menentukan sejauh mana kekuatan parti. Ahli yang menentukan sejauh mana kekentalan atau kekebalan parti.

Dari PRU14, kita boleh lihat bagaimana segelintir ahli parti sendiri yang menjadi penyebar kepada apa jua fitnah pembangkang berkait beberapa isu besar ketika itu.

Bagaimana kita boleh lihat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibahaskan secara terbuka oleh ahli parti yang akhirnya memberi kesan kepada pengundi atas pagar atau bukan orang parti yang menjadi pemerhati.

Di kala era kini yang tiada lagi sempadan maklumat, pengundi muda dan pengundi kali pertama membuat penilaian dari apa yang mereka baca dan lihat. Soal betul atau tidak, ia subjektif mengikut pemahaman dan penilaian mereka dan juga mengikut apa aliran berita yang lalu dan melintas di media sosial mereka.

Rasionalnya, ahli UMNO tidak seharusnya membuka pekung sendiri dengan menjadikan perdebatan isu dalaman parti secara terbuka. Jika sebelum ini menjadi persoalan antara pemilihan parti dahulu atau PRU dahulu, tetapi dari apa yang boleh kita lihat, UMNO/BN bersedia untuk PRU15 dan itu merupakan petanda jelas kerana prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen berada dalam tangan Perdana Menteri dari UMNO/BN.

Justeru, seharusnya seluruh ahli UMNO menumpukan cara dan strategi untuk memenangi PRU15 bagi kembali memerintah negara. Poster boy atau calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diputuskan dan tidak harus sesekali dicalarkan dan dirosakkan imejnya kerana kesannya bukan sahaja kepada batang tubuh beliau tetapi lebih besar kepada parti itu sendiri.

Jika masih ada pihak mendakwa ahli UMNO atau sayangkan UMNO tetapi masih menyerang dan cuba untuk mencalarkan imej poster boy itu, maka percayalah bahawa mereka bukan kumpulan yang berpihak kepada kita. Mereka ini pastinya musuh dalam selimut yang harus dinyahkan daripada melintas di saluran media sosial kita.

Serangan dari dalam merupakan strategi kerap digunakan kerana ia boleh memecahkan kesatuan dan kekuatan mana-mana parti dan terbukti berkesan. Tidak boleh dinafikan dalam setiap apa jua bentuk peperangan sekali pun, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, duri dalam daging dan watak Si Kitul merupakan punca dan asbab besar kepada huru-hara atau perpecahan dalaman sesebuah parti. Apabila kesatuan dalaman telah runtuh maka senanglah parti itu dikalahkan musuh.

SI KITUL

Semakin banyak percanggahan, makin hebat jugalah hujah dan teori mereka. Soal saman dan tuntutan maaf tidak lagi menakutkan kerana kita tahu mereka bertuan dan di belakang bukan calang-calang watak.

Dalam beberapa buku sejarah menceritakan akan habuan dan janji yang lumayan diberikan kepada Si Kitul termasuk sebuah jajahan dan istana sehingga menjadikan dia penderhaka dan pembelot kepada bangsa sendiri.

Di zaman ini juga watak-watak sebegini wujud dan menjalankan kerja mereka hampir setiap hari dan setiap malam untuk keluar dalam medium-medium tertentu tanpa sekatan dan menjaja tuduhan dan fitnah secara terbuka. Telah terbukti dakwaan individu ini salah tetapi tanpa rasa bersalah mereka sedikit pun tidak memohon maaf dengan fitnah yang direka.

Itulah akibat dan bala kepada fitnah. Hari ini fitnah ini tidak terhenti. Paling menggusarkan, fitnah bukan hanya datang daripada musuh yang nyata tetapi seolah direstui oleh pihak-pihak tertentu dari dalam parti itu sendiri.

Dengan kata lain, agenda PRU bukan keutamaan kepada kumpulan ini. Pembunuhan karakter perlu diteruskan untuk agenda pemilihan parti. Kumpulan ini lebih berminat dengan situasi ini kerana pemimpin perlu bertelagah. Puak dan kabilah perlu wujud. Team A dan Team B perlu direka, barulah habuan lumayan dan dedak bulanan yang banyak berterusan mengalir kepada mereka.

Tidak dinafikan situasi ini diambil kesempatan daripada beberapa kelemahan yang sepatutnya diperbaiki. Media sosial dan dunia tanpa sempadan ini boleh dikawal jika pihak berwajib melakukan kerja dengan betul.

Betul kita meraikan perbezaan pendapat tetapi harus disulami istilah berhemah dan beretika. Wartawan melaporkan sesuatu berita atas prinsip dan etika kewartawanan. Mereka harus bertanggungjawab daripada setiap penulisan mereka. Mereka boleh disaman jika melaporkan perkara-perkara tidak benar.

Masalah utama hari ini ialah portal-portal yang tidak dikenali pun menjadi bahan rujukan rakyat. Portal ini seolah tidak terkawal oleh agensi yang seharusnya mengawal selia perkara tersebut.

Akta 558 Komunikasi Multimedia 1998 telah ada tetapi sejauh mana ia berkesan dalam menjaga hak rakyat dan individu yang difitnah? Siasatan yang mengambil masa dan pendakwaan sangat teknikal menyebabkan kumpulan-kumpulan pemfitnah ini tidak sedikit pun takut dan gerun kerana susah untuk dibuktikan hanya dengan patah perkataan yang mungkin digunakan seolah bertanya, walhal jelas cubaan membuat fitnah dan persepsi tidak baik kepada individu-individu tertentu.

Persoalan boleh kita sama fikirkan, bagaimana untuk pastikan pengundi akan membuat keputusan tepat dalam memilih kerajaan selepas PRU15 dengan menjadikan 22 bulan pemerintahan PH sebagai kayu ukur kesilapan mempercayai janji diberi dan fitnah ditabur yang akhirnya merosakkan negara? Kini kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin oleh Ismail Sabri sedang memperbaiki kerosakan tersebut.

Hentikan fitnah. Tolak kumpulan-kumpulan pemakan dedak yang bersiaran setiap hari dan jadi rakyat yang bijak menilai. Akhirnya pilih parti yang betul-betul berpengalaman dalam mengurus negara. BN telah membuktikan kemampuannya hari ini dengan menyelamatkan negara selepas pandemik dan mengembalikan kelangsungan hidup rakyat ke tahap terbaik. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×