Elak perang angkasa lepas - Utusan Malaysia

Elak perang angkasa lepas

AZLIKAMIL NAPIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TREND penubuhan tentera angkasa lepas oleh Russia dan China diikuti The United States Space Force (USSF) oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2019 semakin rancak apabila Australia pada awal tahun ini mengumumkan penubuhan pasukan serupa bagi mengawal ruang angkasanya.

Menyifatkan perkara itu sebagai bertentangan dengan prinsip menggunakan angkasa lepas bagi tujuan aman, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), AZLIKAMIL NAPIAH berharap Malaysia dapat terlibat aktif di peringkat antarabangsa bagi mempromosi aktiviti angkasa selamat termasuk memastikan setiap tindakan berlandaskan perundangan atau garis panduan.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan MARLLISA ANTTONY serta jurugambar FAUZI BAHARUDIN di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau berkata, untuk menjadi pemain aktif di peringkat global, Malaysia perlu meratifikasi kelima-lima triti angkasa lepas antarabangsa.

Sebagai permulaan di peringkat domestik, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) diwartakan pada 25 Januari lalu bagi memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin.

SERPIHAN ROKET

UTUSAN: Perlukah satu usaha global dibuat bagi memastikan China tidak terus melancarkan roket seperti Long March 5B yang menghasilkan serpihan besar yang jatuh di Laut Sulu pada 31 Julai lalu?
AZLIKAMIL: Secara praktikalnya, semua aktiviti berkaitan angkasa lepas yang dilaksanakan di seluruh dunia, diselaraskan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA).

Perundangan atau garis panduan mengenai aktiviti berkaitan angkasa lepas juga mula diwujudkan sejak 1967 lagi, di mana lima triti telah dibentuk dan dipersetujui di peringkat antarabangsa, termasuklah berkaitan kemusnahan atau bencana akibat aktiviti berkaitan angkasa lepas.

Sebarang bantahan atau tindakan terhadap aktiviti yang tidak berlandaskan perundangan atau garis panduan kebiasaannya dilaksanakan melalui saluran rasmi UNOOSA.

Selain garis panduan ini, apa yang lebih penting adalah kebertanggungjawaban setiap pihak yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti angkasa lepas agar aktiviti yang dijalankan perlulah untuk tujuan aman, selamat dan tidak mendatangkan kemusnahan atau bencana selaras persetujuan bersama di peringkat antarabangsa.

Sungguhpun garis panduan tersedia, namun kemajuan teknologi pada hari ini menuntut penambahbaikan terhadap perundangan berkaitan angkasa lepas yang lebih berkesan.

PAMPASAN

Bolehkah kita menuntut pampasan jika serpihan ini merosakkan harta benda dan menyebabkan nyawa melayang?
Sebarang bantahan atau tuntutan atau pampasan berkaitan insiden melibatkan aktiviti angkasa lepas bergantung juga kepada triti-triti yang telah diwujudkan dalam perundangan atau garis panduan antarabangsa.

Sebagai contoh, ia boleh dirujuk kepada salah satu daripada lima triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Convention on International Liability for Damage Caused by Space Objects, 1972 (LIAB 1972), di mana pihak-pihak yang terlibat boleh mempertimbangkan untuk menggunakan triti ini untuk tujuan berkenaan.

Penggunaan triti-triti ini juga tertakluk kepada sama ada sesebuah negara itu telah menjadi ahli kepada triti-triti berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya kita mempertimbangkan untuk mengguna pakai triti berkaitan, kita perlu menjadi ahli/anggota kepada triti itu.

Kita sudah tandatangan dua iaitu Treaty on Principle Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, Including the Moon and Other Celestial Bodies, 1967 (OST 1967) dan Agreement on the Rescue of Astronauts, the Return of Astronauts and the Return of Objects Launched into Outer Space, 1968 (ARRA 1968).

Tiga triti yang belum ditandatangan lagi iaitu LIAB 1972; Convention of Registration of Objects Launched into Outer Space, 1975 (REG 1975) dan Agreement Governing the Activities of State on the Moon and Other Celestial Bodies, 1979 (MOON 1979).

Pada masa ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 yang diurusetiakan oleh Bahagian Penguasa Angkasa kementerian itu, sedang melaksanakan proses meraktifikasikan semua kelima-lima triti tersebut. Kita pun baru sahaja mempunyai Akta 834 ini yang diwartakan kerajaan pada 25 Januari lalu.

Saya hanya boleh menyentuh sedikit sahaja mengenai Akta 834 ini kerana maklumat lengkap boleh dirujuk kepada Bahagian Penguasa Angkasa. Peranan MYSA adalah sebagai subject matter expert (pakar bidang khusus), jadi kita akan beri nasihat teknikal kepada Lembaga Angkasa Malaysia dan Bahagian Penguasa Angkasa dalam usaha untuk melaksana dan menguatkuasakan Akta 834. MYSA juga bersedia memberikan pandangan mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta industri angkasa.

TENTERA ANGKASA LEPAS MALAYSIA

Bukankah serpihan asing memasuki ruang udara termasuk objek yang jatuh di Miri, Sarawak melibatkan isu keselamatan? Kenapakah tentera kita tidak menghapuskannya?
Secara teknikalnya memang boleh dilakukan (menembak), namun menghancurkan objek berkenaan di dalam ruang udara hanya akan mengundang lebih banyak serpihan kecil yang mungkin tidak akan habis terbakar dan lebih membahayakan akibat keluasan taburan serpihan yang tidak boleh dijangka.

Teknologi seperti itu sudah ada di China dan dia pernah tembak. Tapi dia jadi lagi kecil dan lagi kita tidak tahu ke mana serpihan itu jatuh.

Perlukah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai cabang baharu tentera angkasa lepas sama seperti yang dibuat di AS, Russia, China dan terbaharu Australia?
Saya berpendapat (Malaysia) belum bersedia ke arah itu (wujud tentera angkasa lepas), sebab kita pun tak akan menceroboh atau melanggar prinsip menggunakan angkasa lepas ini untuk tujuan aman dan bukan bagi tujuan ketenteraan. Makna prinsip ini, tidak mahu berlaku peperangan di angkasa lepas.

Semua negara harus patuh pada prinsip ini. Jadi, di peringkat antarabangsa telah digubal perundangan, peraturan serta garis panduan berkaitan, macam mana hendak dakwa dan melarang mana-mana negara daripada melanggarnya.

Di peringkat negara, kita harus menjadi contoh dengan memastikan industri kita yang terlibat dalam aktiviti angkasa lepas termasuk dari segi pembuatan, penggunaan, pelancaran dan operasi dilaksanakan secara selamat dan mencapai status spaceworthiness (keterjaminan).

Kita sebenarnya memang berhasrat untuk terlibat secara besar-besaran dalam teknologi angkasa. Sebab kita hendak tengok menjelang 2030, sebanyak RM3.2 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat disumbang oleh sektor angkasa.

PAKAIAN angkasa lepas baharu akan digunakan oleh angkasawan wanita pertama yang akan mendarat di bulan menerusi projek Artemis Accords pada 2024. – AFP

ARTEMIS ACCORDS

Apa sebab AS menubuhkan tentera angkasa lepas?
AS sekarang tengah giat mempromosi satu projek besar dipanggil Artemis Accords. China pula mempromosi benda sama yang dikenali sebagai Chinese Lunar Exploration Programme.

Kedua-dua projek besar ini sebenarnya untuk meneroka planet Marikh. Sebelum sampai ke planet Marikh, bulan dijadikan sebagai transit. Di sebalik perjalanan cita-cita ke Marikh itu, berapa banyak teknologi baharu yang dicipta sepanjang penerokaan? Itulah sebenarnya hasrat kedua-dua negara ini.

Apabila dapat dicipta teknologi baharu, ia akan membuahkan hasil komersial kepada negara berkenaan. Jadi, AS dan China membuat kempen supaya banyak negara juga terlibat membantu dan dalam proses itu akan dicadangkan banyak projek.

Kalau kita lihat Artemis Accords, banyak negara (21 negara termasuk Arab Saudi dan Singapura) sudah tandatangan perjanjian untuk menjadi sebahagian daripada ahli projek tersebut.

Kenapa Malaysia belum sertai?
Sebagai negara berkecuali, kita boleh sertai atau tandatangan mana-mana inisiatif atau projek berkenaan kerana kita bukan negara berpihak. Bagaimanapun, kita hendak melihat dahulu apakah terma dan syarat kepada sesebuah negara yang ingin menyertai projek berkenaan.

Adakah ia menguntungkan Malaysia, merugikan negara atau menjerat kita dengan tanggungjawab yang tidak dapat dipikul oleh negara kita pada masa hadapan?

UAP/UFO

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS pada Mei lalu mengumumkan akan terlibat secara serius dalam misi pencarian fenomena udara tidak dikenali (UAP) atau objek tidak dikenal pasti (UFO). Bagaimana pula MYSA?
Dari segi meningkatkan atau memenuhi minat sains, macam hendak membuktikan teori, itu mungkin boleh. Tetapi bukan setakat itu, kita hendak tengok kepentingannya kepada negara.

Kalau UAP/UFO tidak mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia dan alam, tidak mengganggu kita, tiada bencana yang berlaku kerana kehadirannya, saya fikir buat masa ini tiada keperluan untuk negara terlibat secara serius.

Kalau orang awam tiba-tiba ternampak objek yang tidak dikenali yang diramal datangnya dari ruang angkasa, ke manakah hendak dilaporkan?
Dalam konteks Akta 834 ini, sebarang penemuan objek yang disyaki adalah objek dari angkasa, penemuan tersebut boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui talian kecemasan 999 atau Bahagian Penguasa Angkasa, MOSTI di talian 03-88858742 untuk tindakan mereka selanjutnya.

Digalakkan untuk dibuat laporan sewajarnya (laporkan pemerhatian, saksi, lokasi dan masa). Adalah lebih baik sekiranya rakaman video dapat dibuat pada ketika kejadian bagi membantu penyiasatan kelak.

Kita juga ingin menasihatkan kepada mana-mana pihak yang menemui objek disyaki dari angkasa agar tidak mengusik, mengalih, mengambil, merosakkan atau memusnahkan objek berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×