LAZIMNYA setiap kali menyambut bulan kemerdekaan, filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin sering dimainkan di televisyen. Filem tersebut adalah berdasarkan kisah perjuangan anggota-anggota Balai Polis Bukit Kepomg melawan pengganas komunis pada 23 Februari 1950.
Seorang kawan yang merupakan anak pesara tentera mencetuskan idea agar filem Bukit Kepong versi Syamsul Yusof pula dihasilkan melibatkan pelakon baharu. Idea itu timbul berikutan kejayaan filem Mat Kilau arahan Syamsul yang kini ditayangkan di pawagam tempatan dan di negara jiran sudah hampir mencecah kutipan RM100 juta.
Mungkin Syamsul boleh memainkan watak yang pernah dilakonkan ayahnya, Datuk Yusof Haslam dan Faizal Hussein pula watak ayahnya, Allahyarham Hussein Abu Hassan dalam filem Bukit Kepong pada 1981 itu.
Syamsul yang telah membuktikan filem Mat Kilau boleh menyaingi filem Barat sudah pasti mampu menghasilkan Bukit Kepong versi baharu yang lebih terkini teknologinya. Ia juga sebagai penghargaan generasi baharu terhadap hasil kreativiti orang lama yang tinggi kualitinya.
Segalanya terserah kepada Syamsul untuk menjadikan filem Bukit Kepong versi baharu yang lebih memberi impak kepada generasi muda. Di tangan Syamsul, Mat Kilau bersinar-sinar auranya, mungkin Bukit Kepong versi baharu boleh menjadi filem peperangan penuh drama dan teknologi penggambaran mengagumkan?
Saya yakin filem Bukit Kepong versi baharu akan mendapat sambutan hebat daripada penonton berumur 40-an ke atas memandangkan filem Bukit Kepong asal ditonton semasa mereka masih-kanak-kanak dan remaja sekali gus mencetuskan nostalgia.
Mungkinkah Bukit Kepong versi Syamsul mampu menjentik rasa patriotik dalam kalangan generasi muda? – UTUSAN










