Budaya langgar peraturan berputik sejak kecil

Budaya langgar peraturan berputik sejak kecil

TINDAKAN kebanyakan penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah bukan sahaja membahayakan keselamatan dan nyawa diri sendiri malah pengguna lain. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR semua masalah yang sedang berlaku dalam masyarakat ketika ini disebabkan adanya individu dan kelompok suka melanggar peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Sama ada secara sengaja mahupun tidak, ia semakin menjadi trend dan habit yang sangat membimbangkan kerana memberi impak negatif terhadap kehidupan rakyat.

Apa yang dikesali, dengan berpaksikan kepada amalan matlamat menghalalkan cara, mereka sanggup membelakangkan semua peraturan yang ada asalkan dapat memenuhi keperluan dan kepentingan masing-masing.

Dari kesalahan seperti ponteng sekolah, membuang sampah serta merokok di kawasan larangan, hinggalah kepada jenayah besar seperti meragut, merompak, membunuh, terlibat dalam gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, semuanya cukup mengganggu kehidupan rakyat, menggugat keselamatan dan menjejaskan pembangunan serta kemajuan negara secara keseluruhannya.

Jelas sekali kita sedang berhadapan cabaran untuk melahirkan warganegara berdisiplin dan sentiasa boleh mematuhi peraturan. Baik peraturan sekolah, pejabat, lalu lintas, undang-undang dan akta yang ada mahupun yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan adalah semuanya sama di mana peraturan tetap peraturan dan kita perlu hormat serta mematuhinya.

Hakikatnya, sesuatu peraturan itu digubal dan dikuatkuasakan bukan bertujuan mengikat atau mengongkong kehidupan rakyat sebaliknya membantu menjadi panduan serta mengawal kita supaya buat benda yang betul.

Namun, trend ialah peraturan demi peraturan dilanggar umpama semuanya tiada nilai dan seolah-olah peraturan yang dibuat untuk dilanggar begitu sahaja. Bayangkan apa akan jadi kepada kehidupan rakyat dan keselamatan negara jika fenomena ini dibiarkan terus berleluasa?

Jujurnya, sudah ada kelompok masyarakat yang memang sengaja dan suka untuk mencabar pihak berkuasa dengan melanggar peraturan yang ada. Walaupun sedar tindakan itu memberi kesan kepada diri dan orang lain tetapi disebabkan sikap dan ego, mereka tetap melakukannya. Ini satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan malah wajar dikenakan hukuman setimpal.

Misalnya dalam soal rasuah, walaupun tahu ia salah serta perbuatan tidak berintegriti, namun masih ramai yang bergelumang dalam najis rasuah. Sikap seperti ini bukan sahaja merugikan negara, malah menganiaya dan menzalimi orang lain yang lebih layak mendapat sesuatu manfaat.

Begitu juga halnya dalam soal pencemaran alam sekitar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat termasuk menyebabkan kehilangan nyawa. Sebagai contoh, dalam kes projek tanaman musang king di Gunung Inas di Baling, Kedah. Dilaporkan pemaju melakukan pelbagai kesalahan seperti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pelanggaran terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tuntasnya, pemaju dilaporkan melanggar syarat kelulusan Laporan Penilaian Impak Terhadap Alam Sekeliling (EIA) di mana berlakunya pengubahsuaian spesies tanaman daripada timber latex clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian musang king. Ironinya, semua sedia maklum tragedi banjir lumpur yang meragut nyawa di kawasan tersebut baru-baru ini.

GARISAN BERKEMBAR

Dalam situasi lain, tindakan pemandu yang suka melanggar peraturan jalan raya seperti memandu melebihi had kelajuan ditetapkan serta memotong garisan berkembar dan sebagainya bukan sahaja membahayakan keselamatan dan nyawa diri malah pengguna lain.

Antara punca kenapa seseorang suka melanggar peraturan ialah didikan yang salah, gagal mengawal diri, mementingkan diri, tamak, tidak peduli hak orang lain, tidak bertanggungjawab dan nilai jati diri yang lemah.

Percaya atau tidak, budaya melanggar peraturan ini banyak berputik sejak kita kecil lagi. Misalnya, kegagalan ibu bapa menegur dan memperbetulkan kesalahan yang kita buat seperti membuang sampah ke luar kenderaan boleh mempengaruhi tingkah laku kita sehingga dewasa. Mudahnya, kita akan meneruskan budaya membuang sampah di merata tempat walaupun tahu ia salah. Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mendidik dan membentuk sikap serta karakter anak-anak agar dapat diterapkan nilai-nilai positif serta keperluan untuk sentiasa mematuhi peraturan.

Selain itu, setiap individu juga perlu sedar budaya melanggar peraturan atas prinsip matlamat menghalalkan cara tidak akan kekal lama dan tidak akan memberikan impak positif dalam jangka masa panjang. Mungkin dalam jangka masa pendek kita akan dapat untung atau dikira berada di pihak yang menang mahupun kuat. Tetapi percayalah, kita pasti akan berhadapan masalah besar suatu hari nanti kerana sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Tuntasnya, salah tetap salah walau dalam apa jua keadaan sekalipun dan jangan sesekali kita cuba menegakkan benang yang basah iaitu mencipta alasan untuk menjustifikasikan perbuatan tersebut.

Kita perlu letak titik noktah kepada budaya suka melanggar peraturan dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan. Baik orang perseorangan, penjawat awam, pekerja swasta dan korporat mahupun pemimpin politik. Marilah kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa berpaksikan prinsip yang salah tetap salah, kita tidak boleh berkompromi dalam soal menegakkan kebenaran. Jika ini boleh dijadikan amalan dan budaya maka kita tidak akan melakukan sebarang kesalahan atau tindakan yang melanggar peraturan walaupun tidak diperhatikan atau dipantau oleh mana-mana pihak.

Percayalah, kita boleh menjatuhkan hukuman termasuk yang berat kepada mana-mana pihak melanggar peraturan, namun persoalannya ialah sejauh mana pelaku dan orang lain ambil iktibar, sejauh mana ia membantu mencegah perkara seumpama itu tidak berlaku lagi dan adakah ia mampu menyelesaikan masalah asas iaitu melahirkan warganegara yang patuh kepada peraturan? Sangat sukar sebenarnya untuk memperoleh jawapan yang nyata untuk semua persoalan tersebut, namun kita tidak boleh berputus asa dalam mendidik rakyat untuk terus patuh peraturan.

Pokok pangkalnya, siapa pun kita, peraturan adalah peraturan. Justeru, marilah kita perbaiki dan perbetulkan sikap dan habit kita yang suka sangat melanggar peraturan kerana ia tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak malah lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada semua. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×