DALAM politik, kadangkala lunas logik tidak dipentingkan. Kebanyakan yang jadi ikutan ialah sentimen semerta. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) misalnya dalam kalah teruk pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor pun tetap boleh ‘sembang’ sampai ‘gajah pun boleh terbang’.
Kata pemimpinnya pada 31 Julai lalu, pihaknya yakin gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) akan menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Keyakinan cukup tinggi pemimpin itu yang diucapnya pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Rusila, Marang hanya lima bulan setelah negeri yang datangnya Presiden Bersatu di Johor itu menyaksikan calon-calon Bersatu terkulai di tangan Barisan Nasional (BN).
Keyakinan ‘menjulang’ Bersatu bukanlah suatu yang pelik kerana nada itu serupa sahaja semasa melancarkan jentera-jentera pilihan raya PN dan Bersatu di Melaka dan Johor tempoh hari. Dan bila sahaja kalah yang bukannya sikit-sikit angka kecundangnya, komennya tetap ‘kencang’. Senada pula dengan sekutunya Pas yang setiap kali kalah, melafazkan: “Pas bukan kalah, cuma belum menang sahaja”.
Nada ‘tinggi’ inilah yang tidak ada pada pemimpin dan orang UMNO. Bila sahaja UMNO kalah di tangan calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis 5 Ogos 2018, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kekalahan BN itu memberi ‘good signal’ kepada parti itu kerana jumlah undi diterima calon UMNO tidak jauh berbeza dengan PRU14.
Mengamati Bersatu tanpa kekuatan akar umbi seperti UMNO yang memiliki 191 bahagian dan lebih 20,000 cawangan – kesemuanya ada ketua dan barisan kepimpinannya solid tanpa bubar biarpun tumbang 9 Mei 2018 – persoalan timbul – mampukah presidennya terus menunjangi PN, seterusnya merealisasikan ‘kemenangan besar’ PRU15 nanti?
Apatah lagi dengan gelaran ‘parti lompat’ dibawa Bersatu, yang sebahagian besar pemimpinnya datang menerusi lompatan dari UMNO dan PKR – dari angka asal 13 kerusi Parlimen yang diraih dalam PRU14, ‘ditambah’ 23 lagi dalam pasca PRU14, menjadikan 36 kerusi pula?
Malah, setelah akta antilompat parti dijadual berkuat kuasa selewatnya September ini, sekali gus selepas keputusan PRU15 tidak akan ada lagi kelibat ‘katak-katak politik’ yang akan memberi nyawa kepada parti yang mahu berkuasa ikut pintu belakang, justeru mampukah Bersatu meneruskan survivalnya?
Jika begitu halnya, percayakah lagi ahli-ahli Parlimen Bersatu dengan ‘keyakinan menang besar’ itu? Atau kalangan mereka sebenarnya sudah mula mencongak-congak untuk menyeberang beramai-ramai ke parti besar seperti UMNO?
Atau mungkinkah juga Bersatu akan senasib Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang akhirnya dibubarkan begitu sahaja selepas ahli-ahli Parlimen S46 kembali semula ke pangkuan UMNO?

SAMA TAK SERUPA
Sama tapi tak serupa, demikian perbandingan antara S46 dan Bersatu. Tujuan utama S46 ditubuhkan yang didaftar pada 5 Mei 1989 ialah untuk memulihkan UMNO asal yang mati di tangan mahkamah.
Mereka yang terlibat dalam penubuhan, pengembangan berperingkat S46 serta sokongan terdiri daripada tokoh-tokoh antaranya Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Rais Yatim, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Datuk Harun Idris, Rahmah Osman serta beberapa pemimpin yang dikenali ramai. Tidak ketinggalan Datuk Musa Hitam dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kedua-duanya kini bergelar Tun) serta Shahrir Samad, yang bagaimanapun mereka ini tidak menyertai S46.
Bersatu tidak memiliki barisan tokoh seperti dipunyai S46. Tanpa Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang membawa aura kemenangan bersejarah PH pada 2018, Bersatu patah sayap di PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Berbeza dengan S46 yang menjadi igauan ngeri kepada pemimpin dan ahli UMNO yang baru dihidupkan waktu itu, Bersatu belum ada apa-apa membuktikan kegarangan itu. S46 menghabiskan masa lebih lapan tahun dalam percubaan membangkang apa yang diolah UMNO Baru dalam tempoh itu. Mesej dan perjuangan S46 berkesan dan diterima di Kelantan dan beberapa tempat di pantai Barat Semenanjung. Keputusan PRU 1990 dan 1995 membuktikan perihal ini.
Dari segi data rambang, PRU 1995 menghasilkan 4.4 juta undi untuk BN dan 2.23 juta bagi parti-parti pembangkang. Pecahan perolehan undi bagi pembangkang: 437,022 (7.35%) undi untuk Pas dan 604,556 (10.2%) undi bagi S46. DAP pula mendapat 722,176 (12.2%) undi, PBS 194,063 (3.3%) dan PRM 38,242 (0.64%).
Ada pihak berpendapat lapan tahun itu sia-sia belaka. Boleh jadi begitu pada pandangan sesetengah pihak. Tetapi ramai pula berpendapat pengalaman lapan tahun S46 cukup bererti daripada kaca mata perjuangan itu sendiri.
GELAGAT PAS
S46 dapat memahami dari dekat tindak-tanduk Pas di Kelantan dan di lain-lain kawasan luar dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. S46 benar-benar dapat memahami bahawa ‘ukhuwah Islamiah’, ‘Islam sebagai addin’ dan ‘membangun bersama Islam’ misalnya, adalah semata-mata gimik dan helah politik bagi meraih dan mengekalkan pengaruh serta kuasa politik Pas untuk memonopoli kuasa dan pemerintahan.
S46 dapat belajar bahawa istilah Angkatan Perpaduan Ummah misalnya hanya wujud di bibir, tidak pada kertas dan dakwat, tidak dari segi amalan. S46 dengan 12 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen hanya dianggap pelengkap kepada kekuatan Pas dalam memerintah Kelantan. Apabila berhadapan dengan kemungkinan berkuasa, Pas tidak nampak lain – hanya kerusi DUN dan Parlimen untuk mereka.
Mungkinkah UMNO sendiri hari ini sudah membaca ‘penangan serupa Pas terhadap S46 itu’ dari Muafakat Nasional (MN) yang tidak disepakati secara jujur serta dicurigai oleh seorang dua pemimpin teratas Pas? Dan Bersatu pula barangkali cuak dengan kenyataan berdolak-dalik Pas dalam merencanakan hubungan ‘sekejap manis, sekejap masam’ dengan UMNO dalam konteks survival MN.
Dengan kembalinya S46 ke pangkuan UMNO secara rasmi pada 6 Oktober 1996, tiada lagi UMNO Baru dan UMNO Lama. Yang ada hanya UMNO – seperti keadaan sediakala. Majoriti Melayu kembali bersatu di bawah satu panji-panji untuk Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.
Walaupun ada kalangan pemimpin S46 takut kalau-kalau dipermainkan oleh pimpinan UMNO waktu itu, Tengku Razaleigh dan rakan-rakan seperjuangannya tetap memegang petua yang dicapai antara beliau dengan Dr. Mahathir. Iaitu mereka menyertai UMNO semula bukan untuk apa-apa hajat lain. Tetapi hanya untuk pulang ke pangkal jalan membantu perjuangan asal orang Melayu.
Dan mungkinkah dalam masa terdekat, selewat-lewat bulan depan, rakyat akan menyaksikan berulang satu lagi babak setelah Langkah Sheraton – sekumpulan besar wakil rakyat ‘menyeberang’ beramai-ramai? – UTUSAN










