PENULARAN pandemik dan peperangan menyebabkan aktiviti pengeluaran dan pengangkutan barang terjejas. Gangguan rantaian bekalan global mengakibatkan permintaan dan pembekalan barangan di pasaran menjadi tidak seimbang. Pada hakikatnya, permintaan terhadap barang keperluan harian tetap tidak akan berubah walaupun dalam situasi sebegini.
Namun, pembekalan tidak setara akan menjadi faktor pendorong kenaikan kos. Berikutan itu, harga barang keperluan harian meningkat.
Kebelakangan ini berlaku kenaikan harga barangan secara drastik sehingga mencapai tahap merisaukan rakyat. Rungutan dan rintihan rakyat tidak jumpa jalan penyelesaiannya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila sesetengah peniaga menjadikan kenaikan kos bahan-bahan utama seperti petrol, tepung dan minyak masak sebagai alasan untuk menaikkan harga jualan makanan. Mengikut pengalaman terdahulu, harga barangan keperluan lazimnya tidak akan turun semula ke harga asal walaupun bahan-bahan utama telah diturunkan harga. Fenomena ini seolah-olah menjadi satu ketetapan sejak dahulu lagi.
Taksiran tentang barang keperluan harian bergantung kepada setiap pengguna dan situasi. Tahap kepuasan pengguna terhadap sesuatu barang keperluan dan perkhidmatan harus diubah dalam keadaan terdesak seperti ini. Rakyat sebenarnya boleh berganding bahu membentuk kekuatan kolektif bagi mengubah keadaan permintaan dan pembekalan di pasaran supaya kenaikan harga barangan yang tidak munasabah kembali ke keadaan normal.
KOPI
Kekuatan kolektif di sini merujuk kepada kesedaran pengguna dalam perbelanjaan, iaitu mengubah bentuk pembelian sesuatu barang dari segi kuantiti ataupun kekerapan membeli agar niat buruk peniaga yang ingin mengaut keuntungan besar tidak tercapai. Andai kata secawan kopi dinaikkan harga sehingga RM3.50, pengguna perlu berfikir dengan waras sama ada berbaloi atau tidak jika membelanjakan RM3.50 untuk secawan kopi?
Namun terdapat sesetengah orang akan berfikir, wajarkah kita berkunjung ke kedai makan dengan hanya memesan makanan tanpa minuman? Sebenarnya terdapat pelbagai jenis minuman yang dijual di kedai makan. Jika tidak mahu minum kopi disebabkan harganya terlalu tinggi, bolehlah pilih yang lebih murah seperti air kosong atau teh O. Memandangkan jualan minuman merupakan sumber pendapatan utama bagi pengusaha kedai makan, sekiranya setiap pengguna bijak berbelanja pasti akan memberi kesan.
Sebagai pengguna, kita harus mengubah tahap kepuasan terhadap penggunaan sesuatu barangan atau perkhidmatan dan terpaksa menerimanya dalam keadaan terdesak ini. Taktik inilah salah satu cara bagi kita mengekang arus kenaikan harga jualan yang tidak munasabah.
Sebagai pengguna, kita mesti bijak mengira dalam menentang inflasi dan arus kenaikan harga melampau. Sesungguhnya rakyat perlu menyelamatkan diri sendiri memandangkan kerajaan seolah-olah gagal untuk mengubah situasi tersebut. Sikap acuh tak acuh terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah akan merugikan diri dan memudaratkan hidup kita sebagai pengguna. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










