KEMUNCULAN beberapa insiden penghinaan terhadap agama Islam dan ajaran sesat baru-baru ini memberi cabaran baharu yang tersendiri kepada pihak-pihak berwajib. Kewujudan ajaran sesat dalam kalangan umat Islam di negara ini bukanlah perkara baharu kerana telah ada dalam pelbagai bentuk sejak dahulu lagi. Kegiatan ini pun dapat ditangani dengan baik seperti ajaran al-Arqam dan Ayah Pin yang berjaya dihapuskan melalui pewartaan fatwa dan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.
Namun begitu, tindakan untuk mengawal penyebaran ajaran sesat termasuk penghinaan kepada agama Islam semakin mencabar dan kompleks dalam suasana masa kini. Ini berpunca daripada penggunaan teknologi internet yang mana maklumat dapat disebarkan dengan cepat serta meluas menyebabkan tindakan sukar diambil dengan kadar segera kerana pihak berwajib terutama jabatan agama Islam terikat dengan pelbagai prosedur dan tatacara perlu dipatuhi dan diikuti semasa menjalankan penyiasatan. Ini ditambah bantuan daripada pihak-pihak berkepakaran dalam bidang teknologi maklumat yang mungkin terpaksa melalui beberapa keperluan pentadbiran.
Tindakan pihak-pihak berwajib dalam konteks ajaran sesat dan penghinaan agama juga kadang-kadang mengundang kontroversi terutama dalam negara demokrasi melibatkan kebebasan seseorang mengikut apa-apa aliran kepercayaan yang dipilihnya. Beberapa kes mahkamah sivil menunjukkan dalihan atau alasan tidak beragama Islam digunakan bagi mengelak daripada pendakwaan di bawah kesalahan jenayah syariah seperti dalam kes Ayah Pin dan Ajaran Qadiani. Alasan ini jika ditimbulkan di mahkamah akan menyebabkan proses pendakwaan menjadi sulit dan panjang serta melibatkan kos.
Sungguhpun demikian, sensitiviti umat Islam dalam perkara ini perlu diberikan perhatian kerana ajaran sesat terutama penghinaan kepada agama Islam jika tidak dikawal akan membawa kepada rasa tidak puas hati yang akhirnya boleh membawa kepada tindakan-tindakan agresif di luar batas undang-undang. Ini terutama apabila provokatur penghina agama Islam bebas berbuat sesuka hati mereka tanpa rasa bersalah atau takut kepada undang-undang seolah-olah mencabar kesabaran umat Islam. Perkara ini jika berlaku akan menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan akhirnya menjejaskan imej umat Islam serta status Islam.
Tidak dapat dinafikan, fatwa yang diterbitkan sama ada dalam bentuk nasihat atau diwartakan sebagai undang-undang banyak membantu pihak-pihak berwajib mengambil tindakan terhadap pemimpin dan pengikut ajaran sesat. Namun pada pandangan saya, melihat kepada kecanggihan dan kelicikan pergerakan ajaran sesat ini termasuk yang menghina agama Islam, tindakan mengawal kegiatan songsang mereka tidak seharusnya menunggu sesuatu fatwa diwartakan kerana proses ini memakan masa. Ini ditambah dengan persoalan bidang kuasa fatwa berkenaan terhad kepada negeri-negeri yang diwartakan sedangkan kegiatan ajaran sesat merentas sempadan. Bukan setakat sempadan negeri-negeri bahkan merentas antara negara seperti beberapa bentuk ajaran tasawuf dan tarekat yang melampau.
POLIS, IMIGRESEN, KASTAM
Oleh yang demikian, demi menjaga keharmonian majoriti umat Islam di negara ini, gejala ajaran sesat dan penghinaan kepada agama Islam perlu ditangani secara bersepadu, menyeluruh dan konsisten. Sebagaimana diketahui, perkara berkaitan agama termasuk urusan fatwa terletak di bawah bidang kuasa negeri yang menyebabkan dalam sesetengah keadaan terdapat perbezaan fatwa antara negeri-negeri. Perbezaan ini sudah tentu akan menyulitkan tindakan pelaksanaan kerana tidak boleh diambil kepada pesalah bukan penduduk negeri berkenaan. Ini tidak dinafikan dalam beberapa keadaan tertentu terdapat juga faedah terutama dari segi kebebasan untuk seseorang menyatakan pandangan dan pendiriannya.
Apa pun, kelebihan dan kekurangan perbezaan ini, penyeragaman adalah perlu terutama dari segi tindakan yang perlu ambil terhadap ajaran sesat yang mudah berubah-ubah lokasi kegiatan mereka. Mungkin banyak pihak beranggapan tindakan kepada pesalah agama secara seragam di semua negeri adalah sukar dan sulit untuk dicapai berdasarkan pengalaman-pengalaman dahulu. Namun, sebenarnya tindakan secara bersepadu dan konsisten ini pernah diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang melarang kegiatan Darul Arqam pimpinan Ashari Muhammad. Kegiatan Darul Arqam melalui fatwa ini telah diharamkan di seluruh negara. Mungkin larangan kegiatan Darul Arqam ketika itu dalam suasana dan situasi mendesak yang menyebabkan tindakan sedemikian perlu diambil.
Dalam keadaan sekarang berasaskan kepada dinamika pengurusan yang lebih mencabar terutama menangani gejala ajaran sesat dan penghinaan agama Islam, larangan melalui fatwa hanyalah merupakan langkah pertama dalam beberapa siri tindakan lain. Bagi menggembleng usaha ini, ia perlu ditangani oleh pihak yang lebih berpengaruh daripada mufti, iaitu majlis agama Islam itu sendiri yang bertanggungjawab memelihara kesucian melalui koordinasi dengan agensi-agensi berwibawa dan berkuasa seperti polis, imigresen, kastam dan lain-lain.
Pesalah-pesalah bagi kesalahan ini bukan sahaja boleh dituduh di bawah kesalahan jenayah syariah tetapi juga dihukum melalui undang-undang persekutuan seperti akta polis, akta hasutan dan akta multimedia. Tindakan di bawah agensi dan undang-undang ini membolehkan dakwaan dibuat kepada orang bukan beragama Islam. Bagi membolehkan koordinasi ini dapat dijalankan dengan baik, ia boleh diletakkan di bawah satu agensi pusat yang dipersetujui oleh semua negeri. Melalui cara ini, tindakan secara berkesan dan menyeluruh dapat dibuat bagi menangani insiden dan gejala ajaran sesat serta penghinaan Islam yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini bagi memelihara kesucian agama dan keharmonian masyarakat dan rakyat. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Hidayat Buang ialah Profesor di Jabatan Syariah & Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.










