PERSENGKETAAN politik dalaman mana-mana parti politik perlu dicari ubat mujarabnya, disapukan dan dimakan. Tetapi apa ubatnya?
Kalau dalam UMNO yang berlaku hari ini, ubatnya ‘bersatu’ seperti dalam cogan kata UMNO itu sendiri – Bersatu Bersetia Berkhidmat. Soalnya bagaimana? Ubat ini mesti cari dan dimanfaatkan. Jika tidak UMNO akan sekali lagi ditinggalkan.
Persekitaran politik UMNO kini dalam satu pengertian, boleh dibandingkan dengan cabaran dihadapi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kumpulannya sebelum dan pasca krisis Kumpulan A dan Kumpulan B pada 1987-1996. Kalaulah media sosial hari ini wujud pada zaman Dr. Mahathir, belum tentu beliau boleh bertahan.
Isu dalaman UMNO hari unik. Perdana menteri bukan presiden UMNO. Kemesraan kalangan mereka berdua tidak dirasai. Sudah menjadi rahsia umum, ‘dingin’ sejak jawatan timbalan perdana menteri disandang, bertentangan dengan arahan Majlis Kerja Tinggi (MKT). Dengan kerajaan yang dibentuk dari baki ‘barisan’ Langkah Sheraton 24 Februari 2020 menyaksikan Kabinet terus bercampur baur dalam kalangan menteri yang berbeza parti, bukan milik UMNO secara mutlak. Maka, bukanlah pelik jika di dalam dan di luar Kabinet berbeza aksi silatnya. Apa lagi memasuki gelanggang pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) saling tikam menikam tetapi selepas berakhir pilihan raya, masuk Kabinet seperti tidak berlaku apa-apa.
PERKIRAAN PM
Hal-hal Kabinet barangkali bukan persoalan utama buat UMNO kerana bukan kerajaan parti itu. Tetapi isu besarnya adalah tarikh pilihan raya umum ke-15 yang diingini majoriti pemimpin dan ahli UMNO supaya dipercepatkan kepada September atau Oktober ini – lebih kurang setahun awal dari mandat penggal berakhir 16 Julai 2023.
Ini berikutan momentum diraih tonggak Barisan Nasional (BN) itu selepas tiga PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Tetapi ikut perkiraan Perdana Menteri yang juga naib presiden kanan UMNO, masanya belum sesuai untuk PRU15 ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.
Sama ada persoalan tarikh PRU15 ini masih berlegar-legar sementara menunggu tempoh 18 bulan penangguhan pemilihan UMNO melepasi tarikh luputnya Disember ini sehingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) masuk campur memaksa ia dijalankan, cakap-cakap itu masih berupa spekulasi.
Dalam UMNO, soal walak dan kesetiaan masih menjadi percaturan untuk bersaing dalam perebutan jawatan dalam UMNO terutama Top 5. Apa lagi kepada ahli-ahli akar umbi parti itu yang matanya tajam menilai mana satu pemimpin yang ‘lari dari perjuangan’ dan “mana pemimpin yang sanggup bersusah di waktu sukar ditempuh parti”?
Memasuki gelanggang pemilihan parti sebelum ke PRU15 juga berisiko kerana ‘sampan sudah pecah’ sebelum meraih kemenangan sebenar.
Dan biarpun kalah dalam parti, jawatan dalam kerajaan barangkali terselamat, tetapi momentum wow parti sudah lenyap, akhirnya parti ‘dapat asap’ sahaja – tidak menjadi kerajaan.
Kemelut tarikh PRU15 ini ‘membelenggu’ UMNO kerana di tangan Perdana Menteri terletak kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Kuasa mutlak pembubaran pada Agong di bawah Perkara 43.
Sekalipun ada cakap-cakap nakal ‘menarik sokongan’, di bawah Perkara 43 perlembagaan, tiada sesiapa yang boleh turunkan seseorang Perdana Menteri kecuali dengan undi tidak percaya di Parlimen. Dengan cara itu, waima dipetisyenkan pun kepada Tuanku Agong, itu tidak boleh berlaku sebab proses Perkara 43 tadi harus dilalui dengan kadar begitu.
LDP ATAU GOLKAR
Dan demikianlah takdir dan perjuangan kadang kala saling berperanan bagi seseorang. Seperti yang disimpulkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn: “Yes, 1 happen to be prime minister but 1 am not the best person for the job…” (Ya, saya secara kebetulan menjadi Perdana Menteri (ketiga negara) tetapi saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengisi jawatan itu).
Kerana itu, perlu diakui juga kemunculan pemimpin bukan sekadar hasil usaha kemanusiaan, ada unsur yang tak tampak memainkan peranan.
Biarpun begitu halnya tentang kemelut UMNO ini, boleh diteladani perjuangan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun sejak 1955 tapi kecundang pada pilihan raya umum 30 Ogos 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ).
Perdana Menteri Jepun pada masa itu, Taro Aso mengaku kalah dan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden parti LDP. Pada masa itu, DPJ menang 308 kerusi daripada keseluruhan 480 kerusi Dewan Perwakilan dengan LDP hanya menang 119 kerusi.
Selepas tiga tahun, LDP bangkit semula dan kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya negara itu. Majoritinya besar iaitu beza 189 kerusi antara LDP dan DPJ.
Kebangkitan kembali LDP itu dicapai pada 16 Disember 2012 apabila menang 300 daripada 480 kerusi Parlimen di Dewan Perwakilan Jepun.
Begitupun UMNO juga mesti ambil iktibar dari parti terbesar di Indonesia iaitu Parti Golongan Karya (Golkar). Golkar dalam pilihan raya 1971 iaitu pilihan raya pertama dalam pemerintahan Presiden Suharto, ia menang. Selepas itu, ia menang pada pilihan raya seterusnya pada 1977, 1982, 1987, 1992 dan 1997. Parti itu menerajui pentadbiran Indonesia selama 32 tahun semenjak Suharto mengambil alih.
Sejak reformasi politik pada 1998 dengan kepimpinan parti bertukar tangan, Golkar menghadapi krisis politik berterusan yang teruk dan belum mampu bangkit kembali sebagai Golkar yang dahulu.
Dan jika persoalan besar ini berjaya ditangani UMNO iaitu mana wajar didahulukan, apakah parti, individu sekali gus PRU15, nescaya UMNO akan bertaut dan bangkit semula, tidak mustahil kembali mengikut jejak LDP. – Mingguan Malaysia







