ISTERI dan anak-anak merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada para suami. Suami bukan hanya diwajibkan memberi nafkah dalam bentuk wang ringgit, mereka juga bertanggungjawab bagi menyediakan pendidikan, melindungi maruah, menjaga keselamatan dan memimpin ahli keluarga. Justeru atas dasar tersebut, mereka dianugerahkan gelaran qawwam atau pemimpin oleh Allah SWT sepertimana ayat 34 surah al-Nisa’: “Kaum lelaki adalah pemimpin (qawwam) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Malangnya, terdapat segelintir suami yang sanggup mengesampingkan tanggungjawab tersebut dan membiarkan isteri dan anak-anak menderita disebabkan pengabaian dilakukan. Pengabaian dimaksudkan di sini bukan hanya melibatkan nafkah, malah tindakan suami ‘melarikan diri’ dengan meninggalkan rumah tangga, isteri dan anak-anak atau lebih dikenali dengan istilah ‘gantung tak bertali.’
Menurut kajian saya terhadap 669 kes permohonan talak dan taklik di Selangor sepanjang 2015 hingga 2019, didapati gantung tak bertali merupakan punca kedua tertinggi yang menyumbang kepada pembubaran perkahwinan (22%).
Kajian ini juga mendapati bilangan isteri yang paling ramai memfailkan kes perceraian di mana mereka ditinggalkan dalam tempoh masa empat hingga 12 bulan (36%), diikuti satu hingga dua tahun (30%), tiga hingga lima tahun (14%), kurang empat bulan (10%), enam hingga 10 tahun (7.3%), 11 hingga 15 tahun (2.3%) dan 16 hingga 20 tahun (0.4%).
Selain itu, saya juga mendapati tempoh paling lama seseorang isteri ditinggalkan sebelum memfailkan kes ke mahkamah syariah adalah antara 16 hingga 20 tahun.
Tidak dapat dipastikan kenapa seseorang isteri sanggup menunggu suaminya selama berbelas tahun. Berikut beberapa petikan dinyatakan oleh para isteri menerusi penyataan tuntutan yang difailkan di mahkamah syariah:
Kes 1: “Selepas saya melahirkan anak pada 17 Oktober 1998, defendan (suami) cakap nak pergi cari kerja di kampungnya di Segamat. Dia pergi pada tahun 1999 kemudian ada balik tiga kali tengok saya dan anak. Selepas itu, dia tidak balik langsung semenjak Mei 1999 sehingga sekarang (2015). Saya lambat failkan kes sebab hanya nak besarkan anak.”
Kes 2: “Defendan (suami) tinggalkan saya selama lapan tahun semenjak 2007 hingga 2015. Saya dan defendan hanya tinggal bersama sebagai suami isteri selama setahun sahaja.”
Lebih menyedihkan apabila isteri yang melangsungkan perkahwinan dengan warga asing ditinggalkan langsung tanpa sebarang khabar berita.
IDAH
Sepertimana pernyataan di atas, kebanyakan isteri lebih sanggup menunggu dan tidak memfailkan kes di mahkamah syariah disebabkan kerana ingin memberi tumpuan membesarkan anak-anak, masih mengharapkan suami kembali ke pangkuan keluarga, mahupun kerana tiada sokongan daripada ahli keluarga terdekat. Malah kajian yang dilakukan juga mendapati masih ramai golongan wanita yang jahil tentang hak dan tindakan perlu diambil apabila berdepan dengan situasi sedemikian (Mohd. Khairul Anwar Ismail, dll, 2014).
Sebenarnya, bagi isteri yang ditinggalkan selama empat bulan atau lebih, mereka boleh memfailkan permohonan perceraian secara taklik atau fasakh di mahkamah.
Pastikan juga perbuatan suami yang meninggalkan isteri tersebut dilakukan secara berturut-turut. Namun, jika suami meninggalkan isteri melebihi empat bulan secara tidak berturut, maka isteri masih boleh memfailkan permohonan pembubaran di mahkamah menerusi fasakh. Mahkamah yang menerima permohonan tersebut boleh mengeluarkan perintah taklik atau fasakh apabila berpuas hati dengan pembuktian yang dikemukakan walaupun tanpa kehadiran suami.
Seseorang isteri yang ditinggalkan juga berhak untuk mendapatkan hak-hak selepas perceraian seperti nafkah tertunggak, nafkah idah, nafkah anak, hak jagaan anak, mutaah dan harta sepencarian. Malah jika suami enggan menghadirkan diri, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap mereka, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya kerana menghina perintah mahkamah menurut Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
Jika sabit kesalahan juga, seseorang bapa/bekas suami/suami boleh dipenjarakan kerana kegagalan memberi nafkah atau tidak mematuhi perintah mahkamah. Begitu juga tuntutan kewangan boleh dilakukan terhadap ahli keluarga suami seperti bapa dan saudara lelaki jika suami ‘hilang’ atau enggan menghadirkan diri ke mahkamah.
Melihat kepada peningkatan trend pengabaian terhadap isteri dan anak-anak, maka adalah perlu kaum lelaki diperkasakan dalam erti kata sebenar. Bukan hanya sado di pandangan mata, tetapi mereka juga perlu dididik untuk menjadi superhero yang melindungi, memelihara dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarga masing-masing. Didikan awal bagi menghormati dan melindungi kaum wanita hendaklah dimulakan dari rumah, kemudian diteruskan secara formal dan tersusun di sekolah atau pusat pengajian tinggi.
Apalah ertinya al-Quran memberikan julukan qawwam kepada kaum lelaki jika mereka sendiri tidak dapat menghargai keistimewaan tersebut, bertindak dayus dan nusyuz terhadap Allah SWT? – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










