Subsidi: Elak termakan tohmah

Subsidi: Elak termakan tohmah

Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran jika mahu hapuskan subsidi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN kerajaan untuk tidak lagi meneruskan pemberian subsidi sebanyak RM720 juta kepada penternak ayam mulai 1 Julai lalu menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan rakyat. Kerajaan dilaporkan membuat keputusan untuk memberhentikan pemberian subsidi kepada penternak ayam kerana kononnya mereka tidak menuntutnya atas sebab-sebab tertentu.

Dengan itu, kerajaan membuat keputusan untuk menyalur subsidi yang dikhususkan kepada penternak ayam itu terus kepada golongan B40 dalam meringankan beban mereka. Berikutan pengumuman tersebut, ada segelintir pihak mendakwa akan berlaku kenaikan harga barangan di pasaran dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kerajaan mengagihkan RM720 juta daripada pendapatan negara sebagai subsidi kepada penternak ayam supaya harga ayam dalam pasaran kekal pada harga RM8.90 sekilogram.

Kita perlu ingat bahawa meskipun subsidi untuk penternak ayam dihentikan, kerajaan tidak menarik balik subsidi-subsidi lain. Malah kerajaan dilihat terus meningkatkan kadar subsidi terhadap produk dan perkhidmatan terutama bagi minyak masak, gas dan barang keperluan asas lain. Misalnya, kerajaan masih menanggung subsidi-subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair, minyak masak, tepung dan elektrik hampir RM80 bilion pada tahun ini.

Jangan kita lupa, kerajaan masih menyediakan subsidi sebanyak RM2.50 untuk seliter petrol RON95 supaya rakyat dapat membelinya pada harga RM2.05.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu rakyat marhaen menyebabkan kerajaan menambah subsidi daripada RM43 bilion kepada RM80 bilion dalam Bajet 2022. Malah pemberian subsidi telah membantu negara mengekalkan kadar inflasi pada 2.2 peratus berbanding 8.3 peratus di Amerika Syarikat dan sembilan peratus di United Kingdom.

Namun, ada pihak yang cuba menimbulkan persepsi bahawa kononnya pemberhentian subsidi kepada penternak ayam akan menyebabkan impak besar kepada rakyat, seolah-olah keseluruhan barang keperluan asas di pasaran akan mengalami kenaikan harga dengan mendadak.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan tidak menarik balik pemberian subsidi, sebaliknya menambahkan jumlah subsidi kepada rakyat untuk meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi global kesan perang Ukraine-Russia.

Rakyat perlu sedar bahawa jumlah subsidi kepenggunaan yang disediakan oleh kerajaan semasa merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah negara. Bahkan jumlahnya adalah lebih besar berbanding jumlah subsidi yang ditanggung oleh mana-mana kerajaan pemerintah di dunia.

Dalam pada itu, rakyat perlu memahami mekanisme subsidi dalam konteks ekonomi makro. Subsidi adalah insentif yang disediakan oleh kerajaan kepada individu atau ahli perniagaan dalam bentuk wang tunai, geran atau pengurangan cukai dalam usaha membantu pihak pengeluar meningkatkan pengeluaran (tawaran) atau perkhidmatan dalam pasaran. Tanpa subsidi, pihak pengeluar mungkin menaikkan harga produk atau perkhidmatan bagi mengelak kerugian di pihak mereka.

TAMAK

Jadi, subsidi disediakan oleh kerajaan bagi barang dan perkhidmatan keperluan asas untuk mengelak harga barang dan perkhidmatan asas tidak naik melambung sewenang-wenangnya.

Namun, pemberian subsidi semata-mata tidak akan mengurangkan harga barang atau perkhidmatan secara tersendiri atau automatik. Penetapan harganya juga bergantung kepada faktor-faktor lain seperti pengeluaran dan permintaan termasuk cuaca, alam sekitar, geopolitik dan psikologi atau sikap ahli peniaga dan pengguna.

Kadangkala faktor kekurangan pekerja turut menyumbang kepada kenaikan harga pengeluaran. Ada kalanya sikap tamak pengeluar dan peniaga untuk mencari lebih keuntungan juga dijangka menyumbang terhadap kenaikan harga barang. Faktor geopolitik seperti perang Ukraine-Russia, negara pengeluar produk makanan dan petrol mempengaruhi harga barangan dalam pasaran di Malaysia.

Hal ini kerana Malaysia banyak bargantung kepada import barang makanan. Sebagai contoh, Malaysia mengimport barang makanan bernilai RM56 bilion pada 2021. Pasti ini dapat menjelaskan bahawa pemberian subsidi oleh kerajaan sahaja tidak akan membendung kenaikan harga barang di pasaran.

Secara umum dan asasnya, harga barang adalah ditentukan oleh faktor tawaran dan permintaan. Sekiranya permintaan sambil tawaran berkurangan maka harga terhadap barangan tersebut meningkat. Dengan ini jelas kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran termasuk sikap peniaga dan konsumer yang merupakan faktor di luar kawalan kerajaan.

Justeru, dakwaan kononnya pemberhentian subsidi untuk penternak ayam menaikkan harga barang adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya, kenaikan harga barang adalah fenomena biasa yang berlaku di seluruh dunia terutama akibat kesan Covid-19, cuaca buruk, geopolitik dan lain-lain. Malaysia juga tidak terlepas daripada fenomena ini kerana ekonomi kita banyak bergantung kepada ekonomi dunia.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan faktor sikap peniaga yang cuba mencari keuntungan berlebihan, kenaikan harga barang dalam pasaran dunia dan kekurangan pekerja juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang. Meskipun harga barang kian naik kerana pelbagai faktor seperti dihuraikan di atas, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan politik dengan mengaitkan subsidi kerajaan dengan kenaikan harga barang.

Sehubungan ini, apakah agensi komunikasi kerajaan dan ahli Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab akan menjelaskan perkara sebenar berkaitan subsidi dan kenaikan harga barang supaya rakyat terutamanya pengundi di luar bandar tidak dipengaruhi dengan dakwaan dan tohmahan pihak tertentu menjelang PRU15? – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×