Sekolah Cina tapak perpaduan?

Sekolah Cina tapak perpaduan?

SEKOLAH Cina dicanangkan sebagai lebih sepadu sifatnya berbanding sekolah kebangsaan yang hanya mempunyai sekitar lima peratus murid bukan Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK kali kedua dalam waktu singkat ini, sekolah vernakular diperintahkan sebagai sah di sisi Perlem­bagaan Persekutuan. Dengan ini, ia tidak bercanggah dengan governans negara walaupun didakwa beberapa pihak sebagai tidak mem­bantu langsung dalam pe­mupukan perpaduan negara.

Ini antaranya dilihat pada lepasannya yang didapati tidak mampu mempamerkan jati diri kebangsaan dengan jitu pada banyak sisi. Antaranya kesediaan berintegrasi secara sukarela ke dalam struktur sosial Melayu, misalnya bahasa dan budaya Melayu seperti yang diperlukan oleh Perjanjian Etnik menjelang kemerdekaan bahawa simbol dan proses sosiobudaya Melayu dipersetuju sebagai identiti nasional negara dan identiti budaya warganegaranya.

Dengan perintah ini, sekolah Cina terus-terusan bukan sahaja mempertahankan kesesuaiannya dalam landskap kepelbagaian negara, tetapi menegaskan untuk sekian kali bahawa ia sebenarnya tapak perpaduan paling unggul. Ini dibuat atas dasar enrolmennya yang kini sekitar 20 peratus murid bukan Cina dengan majoriti daripada etnik Melayu.

Sehubungan dakwaan ini yang bersandarkan peratusan itu, sekolah Cina dicanangkan sebagai lebih sepadu sifatnya berbanding sekolah kebangsaan yang hanya mempunyai sekitar lima peratus murid bukan Melayu.

Dakwaan itu kelihatan bukan sahaja logik tetapi benar atas kertas, yakni betul seperti tertera pada teorinya tetapi tidak dalam realiti. Ini kerana walaupun sekitar satu per lima murid sekolah Cina adalah bukan Cina, mereka sebenarnya kelompok minoriti yang tidak pun diendahkan sangat oleh kelompok majoriti. Ini bermakna murid Cina sebagai kelompok dominan rata-ratanya didapati tidak pun memberi sokongan antaranya dengan bergaul mesra, selalu bekerjasama dan sudi membantu mereka yang tidak seetnik.

Hal sama dapat dilihat pada warga pendidik juga majoritinya daripada etnik Cina yang pula berupa lepasan sekolah Cina. Mereka ini secara umumnya didapati kurang mesra untuk membantu murid bukan Cina yang rata-ratanya memang menghadapi masalah pendidikan serius.

Ini kerana murid bukan Cina tidak berjaya menguasai bahasa Mandarin dengan baik walaupun sudah bertahun-tahun mempelajarinya untuk mengikuti semua pelajaran yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa ibunda etnik Cina.

Sehubungan ini, murid bukan Cina yang bermasalah sering diusulkan agar berpindah sahaja ke sekolah kebangsaan. Ini dilakukan pertama-tamanya untuk menjaga reputasi sekolah yang akan terjejas pencapaiannya apabila terdapat ramai sangat murid yang mempamerkan prestasi yang langsung tidak memberangsangkan.

Secara kebetulan sahaja, ia juga adalah untuk kebaikan murid bukan Cina itu sendiri yang tidak berjaya memperoleh apa-apa jua pengetahuan kerana amat sangat lemah dalam bahasa Mandarin yang merupakan bahasa pengantar utama lagi tunggal.

LINGKARAN MALAIKAT, SYAITAN

Jika tujuan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke sekolah Cina adalah untuk menguasai bahasa Mandarin sebagai bahasa tambahan, ia boleh sahaja dilakukan dengan mempelajarinya sebagai hanya mata pelajaran di sekolah kebangsaan yang ikut menawarkannya. Dalam pada ini, terdapat pula ibu bapa yang mahu anak mereka memperoleh jati diri Cina yang ditanggap sebagai sifat istimewa bagi kehidupan berjaya atas keteguhan hati dan kekentalan jiwa yang dipercayai ada pada warisan Cina.

Seperkara lain ialah ketidakbenaran dakwaan etnik Cina bahawa enrolmen kepelbagaian murid yang agak tinggi itu menjadikan sekolah Cina tapak perpaduan terunggul. Ini kerana sekolah Cina bukan sahaja terkenal tetapi diakui memang mengejar prestasi akademik cemerlang tanpa mengira caranya. Dengan ini, usaha pemupukan perpaduan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan mudah dan jaya kerana adanya suasana kepelbagaian yang kondusif itu tidak dimanfaatkan langsung. Ia dikesampingkan untuk semata-mata memperoleh pencapaian akademik yang dianggap sebagai satu-satunya pembangunan insaniah paling ghalib bagi golongan muda untuk berjaya kelak dalam mencapai kecemerlangan ekonomi selain kerjaya.

Sepatutnya sifat kepelbagaian yang kondusif itu dimanfaatkan juga untuk tujuan kemakmuran sosial dengan bukan sahaja simpati tetapi empati daripada kelompok majoriti kepada yang minoriti. Dengan ini, sekolah Cina akan dilihat sebagai bersifat lingkaran malaikat (virtuous circle), iaitu ia berjaya menjana kekuatan daripada sesuatu kelemahan. Dalam hal ini, kemunduran murid bukan Cina perlu dibantu secara bersungguh-sungguh sehingga memperoleh kemajuan.

Sebaliknya ia tidak boleh, malah perlu berhenti daripada bersifat lingkaran syaitan (vicious circle), yakni sentimen kecinaan sedia ada yang disemarakkan lagi dengan agresifnya di sekolah Cina. Untuk ini berakhir, penolakan oleh etnik Cina terhadap etnik bukan Cina di sekolah Cina harus segera ditamatkan. Kalau gejala begini masih terus-terusan berlaku, ia harus diputuskan oleh satu kuasa, iaitu sekolah satu aliran sahaja sebagai intervensi wajib untuk menamatkan rantaian negatif ini.

Berdasarkan penghakiman dalam bahasa Inggeris, sekolah vernakular diperintahkan sebagai constitutional dari segi konsep constitution. Sehubungan ini, ia sebenarnya juga harus constitutional dari segi gagasan constitute/constituent, iaitu kewujudannya harus ikut membina perpaduan negara kerana ia juga merupakan salah satu unsur penting dalam komposisi proses itu.

Oleh itu, sekolah Cina wajib mendukung konseptualisasi kedua-duanya, iaitu bukan sahaja dari segi Perlembagaan Persekutuan tetapi juga strukturnya untuk bersifat lebih nasional dan kurang cauvinis Cina sesuai dengan nama rasminya, iaitu sekolah jenis kebangsaan (SJK). – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×