Sampai bila pak tani harus miskin?

Sampai bila pak tani harus miskin?

INILAH gambar yang ditemukan penulis dalam media sosial menunjukkan sepasang suami isteri membanting tulang manakala anak mereka bermain di tepi sawah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKEPING gambar di media sosial ini mengharukan. Sepasang suami isteri menyulam pokok padi di sawah dan anak mereka bermain-main di darat.

Sayu. Hakikatnya itulah hidup pak tani yang menyediakan makanan ruji untuk rakyat, namun hidup mereka sendiri sering kali tersepit antara kemiskinan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Difahamkan, pasangan pak tani dari Yan, Kedah ini agak beruntung kerana terpilih menyertai program Smart Sawah kendalian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Ia merupakan program membantu golongan petani asnaf, fakir miskin di Kedah sejak 2019.

Pun begitu, kemiskinan bukan satu-satunya masalah yang dihadapi kebanyakan petani. Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman mendedahkan, semakin banyak sawah kini jatuh ke tangan broker, ceti atau along atau lebih tepat, kartel.

“Orang Melayu bergantung modal dengan orang Cina, petani bergantung modal dengan broker. Sudah ada jadi jutawan kerana bagi modal kat petani sahaja dengan bagi bunga tinggi.

“Pak tani satu musim buat, jika padi tak jadi, tak untung musim itu, dia tak mampu keluar daripada hutang. Jadi, nak teruskan kehidupan, dia hutang lagi sehingga akhirnya sawah tergadai. Inilah punca tanah sawah Melayu jatuh kepada pihak ketiga,” dedahnya.

RELUNG

Tentu sahaja ada kebenaran hidup pak tani yang sering kali terhimpit dengan hutang. Padi baru dituai, namun separuh sahaja dibawa pulang. Mungkin kurang kerana selebihnya harus dipulangkan kepada kartel ini.

Bukan setahun atau sedekad dua situasi ini berlaku, malah sejak berpuluh-puluh tahun. Itulah hidup pak tani. Jika mereka sekadar mengerjakan sawah di bawah 10 relung, upah setiap musim hanya diibaratkan lepas untuk bayar hutang.

Exco Pertanian negeri, Datuk Azman Nasrudin sendiri mengakui kewujudan orang tengah atau kartel yang menyebabkan kebergantungan pesawah kepada tauke besar atau broker.

Persoalannya, bagaimana untuk membebaskan pesawah daripada cengkaman kartel atau orang tengah? Hapuskan mereka tentu sahaja mustahil, namun memastikan petani sikit demi sikit dapat melepaskan diri dan hutang daripada golongan berkenaan, ia tentu langkah tuntas.

Barangkali langkah terbaik lain adalah mewujudkan lebih banyak Smart Sawah seperti diusahakan LZNK.

Saya sendiri yang membesar sebagai anak pesawah dan sejak berdekad lamanya, sukar untuk dihadam bahawa kehidupan pak tani dahulu dan sekarang tidak banyak berubah dek cengkaman orang tengah. Apatah lagi yang diusahakan pak tani ini bukan sekadar menyara hidup tetapi juga fardu kifayah demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua. Sewajarnya golongan ini terus dibantu berdikari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN