Percepat tenaga boleh diperbaharui tangani krisis Asia Barat

Percepat tenaga boleh diperbaharui tangani krisis Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS geopolitik Asia Barat melibatkan konflik berpanjangan, ketegangan politik serta ketidaktentuan bekalan tenaga global memberi kesan besar kepada ekonomi dunia ekoran meningkatkan risiko gangguan terhadap laluan strategik perdagangan minyak dunia, khususnya Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global.

Sebarang gangguan terhadap laluan ini mencetuskan kejutan besar kepada pasaran tenaga antarabangsa dan menyebabkan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia.

Keadaan ini menunjukkan betapa rapuhnya sistem tenaga global yang masih bergantung kepada kawasan tertentu yang sering terdedah kepada konflik geopolitik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malaysia sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada bahan api fosil seperti gas asli dan arang batu tidak terkecuali daripada kesan turun naik harga tenaga global. Perubahan harga minyak dunia secara langsung memberi tekanan kepada kos import tenaga negara, sekali gus memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan, harga makanan dan kos operasi industri.

Dalam keadaan ini, Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah strategik jangka panjang. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan lestari negara tetapi juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan transformasi sistem tenaga ke arah lebih hijau, berdaya tahan dan mampan.

Krisis di Asia Barat membuktikan pergantungan kepada minyak fosil menjadikan ekonomi negara mudah terdedah kepada kejutan luaran. Apabila konflik berlaku, harga minyak mentah boleh melonjak melebihi AS$100 (RM396.39) setong, sekali gus meningkatkan kos tenaga global dalam tempoh singkat. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada negara pengimport seperti Malaysia.

Dalam jangka panjang, ketidaktentuan ini boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara jika tidak ditangani secara struktur.

Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar dalam bidang tenaga hijau. Negara ini menikmati sinaran matahari sepanjang tahun yang menjadikan tenaga solar sebagai sumber paling praktikal untuk dikembangkan. Selain itu, Malaysia juga memiliki sumber hidro, biojisim dan angin yang boleh dimanfaatkan secara lebih meluas dalam campuran tenaga negara.

Melalui NETR, Malaysia menyasarkan tenaga boleh diperbaharui mencapai sehingga 70 peratus dalam campuran tenaga menjelang 2050. Sasaran ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga memperkukuh keselamatan tenaga negara daripada risiko geopolitik luar.

Tenaga boleh diperbaharui menawarkan kelebihan utama kerana tidak bergantung kepada lokasi geopolitik tertentu. Tenaga solar boleh dijana secara domestik tanpa kebergantungan kepada negara luar. Ini membolehkan Malaysia membina sistem tenaga yang lebih stabil dan bebas daripada tekanan konflik antarabangsa.

Peralihan ini juga membuka peluang ekonomi baharu yang besar. NETR mengunjurkan pelaburan sehingga RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang 2050 dalam sektor tenaga hijau. Perkembangan ini dijangka mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan tenaga, pemasangan solar, penyelenggaraan sistem, teknologi hijau serta penyelidikan dan pembangunan.

Dalam konteks krisis Asia Barat, pembangunan sektor ini juga merangsang pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih mampan dan inklusif.

Namun begitu, Malaysia tetap berdepan beberapa cabaran utama dalam melaksanakan peralihan tenaga ini. Kos permulaan yang tinggi, keterbatasan infrastruktur grid serta isu penyimpanan tenaga menjadi antara halangan utama yang perlu ditangani secara sistematik.

Tenaga solar, misalnya, bergantung kepada cuaca dan waktu siang. Oleh itu, Malaysia perlu memperkukuh teknologi penyimpanan tenaga seperti bateri berskala besar serta membangunkan grid pintar bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan efisien.

Selain aspek teknologi, Malaysia juga perlu memperluas kesedaran dalam kalangan masyarakat dan industri. Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergantung kepada tenaga konvensional kerana faktor kos dan kurangnya pendedahan terhadap manfaat tenaga hijau.

Kerajaan perlu memperkenalkan insentif yang lebih menarik seperti subsidi peralihan tenaga, pengecualian cukai dan skim pembiayaan hijau. Langkah ini akan mempercepatkan penerimaan tenaga boleh diperbaharui tanpa membebankan sektor perniagaan, khususnya PKS.

 

MALAYSIA berpotensi muncul sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyeluruh dan sokongan semua pihak.

 

 

Dalam masa sama, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama serantau melalui inisiatif seperti ASEAN Power Grid. Rangkaian ini membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan termasuk eksport tenaga hijau ke negara jiran. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan tenaga serantau tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.

Dari sudut dasar, NETR yang merangkumi enam teras utama termasuk kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, bioenergi, mobiliti hijau dan teknologi penangkapan karbon. Pendekatan ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Namun, kejayaan pelaksanaan dasar ini bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Tanpa koordinasi yang berkesan, peralihan tenaga akan bergerak perlahan dan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Dalam konteks geopolitik, tenaga boleh diperbaharui juga berperanan sebagai alat pengukuhan kuasa negara. Negara yang mempunyai sumber tenaga domestik yang kukuh akan lebih berdaya tahan terhadap tekanan luar dan tidak mudah terjejas oleh konflik global.

Dengan mengurangkan kebergantungan import bahan api, Malaysia bukan sahaja memperkukuh keselamatan tenaga tetapi juga meningkatkan kestabilan ekonomi jangka panjang. Ini selaras dengan prinsip keterjaminan tenaga yang menjadi teras penting dalam dasar tenaga negara.

Selain itu, peralihan kepada tenaga bersih turut memberi impak positif kepada alam sekitar. Sektor tenaga merupakan penyumbang utama pelepasan karbon. Dengan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, negara dapat mengurangkan kesan perubahan iklim seperti banjir, kemarau dan cuaca ekstrem.

Dari sudut sosial pula, mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Akses kepada tenaga bersih dan stabil dapat menyokong pembangunan luar bandar, meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos sara hidup.

Pun begitu, Malaysia perlu melahirkan tenaga kerja mahir dalam teknologi hijau melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kursus kejuruteraan tenaga serta program inovasi teknologi hijau.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya. Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini