SEBELUM ini saya menulis tentang kelemahan guru dalam menangani isu buli di sekolah. Artikel tersebut menyebabkan sebahagian besar guru, bekas guru mahupun ibu bapa bersuara dan tidak kurang yang melenting. Ada bersetuju dan ada yang kurang senang dengan artikel berkenaan.
Bukan berniat untuk ‘memijak’ profesion perguruan yang dianggap suci tetapi artikel tersebut sebagai jentikan agar pihak sekolah lebih peka terhadap masalah dalaman selain ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau perubahan sikap anak. Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan juga perlu menyedari kes buli di sekolah tidak pernah selesai sehingga hari ini.
Adakalanya apa yang berlaku di sekolah tidak diceritakan kepada ibu bapa kerana pelajar ketakutan atau diugut. Jadi, apabila guru menyedari kelompangan ketidakhadiran pelajar ke sekolah, sepatutnya mereka bertanya kepada pelajar atau ibu bapa. Gunakan bahasa yang lembut dan mesra agar pelajar atau mangsa buli lebih selesa untuk bercerita perkara sebenar.
Banyak komentar yang sempat saya baca di laman Facebook Cikgu Share menyebut kes buli berlaku disebabkan kuasa guru disekat oleh dasar Kementerian Pendidikan; guru takut ‘berlebih-lebih’ kerana risau disaman oleh keluarga pelajar terutama dari golongan ‘kayangan’; guru sudah penat dengan pelbagai masalah dan bebanan kerja, jadi mereka hanya tunggu cukup bulan untuk dapat gaji selain mahu mengembalikan hukuman rotan sebagai penyelesaian.
Hakikat yang kita ketahui sejak dahulu lagi, guru sangat sinonim dengan rotan. Bagi mereka, merotan dapat mendidik sekali gus melahirkan insan yang cemerlang bukan sahaja dalam pelajaran tetapi sahsiah dan jati diri.
Pendekatan yang diambil guru terdahulu dalam menangani pendidikan anak-anak adalah tegas. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud kekerasan merupakan pendekatan yang dominan. Bagi anak-anak yang lebih besar, biasanya pendekatan nasihat dan teguran dilakukan sesuai kematangan usia manakala bagi anak-anak lebih kecil, pendekatan lebih keras dilakukan bagi tujuan mendisiplinkan mereka.
Bagaimanapun, hukuman denda seperti rotan tidak lagi relevan dalam konteks hari ini malah tidak boleh menyelesaikan masalah sebaliknya hanya memberi kesan kepada psikologi dan emosi pelajar lebih-lebih lagi jika dilakukan di hadapan rakan-rakan. Tanpa disedari, amalan merotan akan mengeruhkan keadaan apabila pembuli berdendam dan tidak mustahil mereka akan lakukan perkara lebih teruk kepada mangsa sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah. Parut atau lebam kesan dirotan tidak akan memberi sebarang pengajaran sebaliknya hanya rasa sakit, dendam dan benci.
Malah, tindakan merotan juga akan menyebabkan pelajar hilang hormat serta membenci guru selain sebagai satu jalan untuk menyebarkan keganasan di luar sekolah. Selain itu, ia juga akan memberi kesan negatif termasuk pelajar menjadi agresif, ego dan membantutkan perkembangan kognitif serta emosi.
Ya, kita sering mendengar, “Saya dulu elok je kena rotan, jadi juga manusia” atau “Masa kecil saya pernah dirotan sebab itu berjaya hari ini.”
Mungkin bagi sesetengah kes, benar ia dapat membentuk peribadi pelajar untuk menjadi lebih baik tetapi untuk zaman ini, bagi saya cukup-cukuplah menyebarkan dakyah sebegitu kerana anak yang dirotan akan hilang keyakinan diri dan tidak akan mempercayai sesiapa lagi.
PERANG PSIKOLOGI
Dalam Islam, walaupun merotan dibenarkan dalam aspek pendidikan, namun ia merupakan pilihan terakhir. Hukuman dengan cara merotan ini tidak boleh dilaksanakan pada kali pertama kesalahan murid tanpa sebarang penjelasan yang jelas. Ini kerana wujudnya kerisauan seseorang guru akan merotan dengan emosi atau terbawa-bawa perasaan marah yang akhirnya boleh membawa kepada kecederaan teruk sehingga dianggap sebagai kes dera. Sebaliknya adalah jauh lebih baik apabila pihak sekolah memberi peluang kepada pelajar menjelaskan setiap tingkah laku dan memberikan peluang kepada mereka untuk memperbaiki kesalahan.
Seperti kita ketahui, hukuman fizikal seperti rotan menjadi perdebatan hangat oleh para sarjana dari serata dunia khususnya Amerika Syarikat (AS), Sweden dan kebanyakan negara maju.
Majoriti berpendapat, hukuman sebegitu hanya memberi kesan buruk kepada perkembangan sosial dan psikologi pelajar.
Sweden merupakan negara pertama mewujudkan akta pengharaman sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap anak di negara itu sejak 1979 sebelum banyak negara lain mengikut langkah tersebut termasuk Malaysia. Pun begitu, ramai tidak bersetuju apabila hak dan peranan guru di negara ini dalam isu merotan dinafikan kerana bagi para pendidik, hanya dengan merotan dapat menyelesaikan masalah disiplin termasuk buli.
Para pendidik perlu sedar mereka sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan melanggar peraturan mahupun undang-undang pendidikan lebih-lebih lagi jika terbuai dengan perasaan marah. Atas sebab itu, Kementerian Pendidikan menyediakan pelbagai panduan dengan tujuan meningkatkan kefahaman dalam pengurusan disiplin atau hal ehwal pelajar di sekolah agar pihak sekolah dapat melaksanakan tugas berdasarkan peraturan ditetapkan.
Jauh lebih baik, para pendidik mematuhi apa jua peraturan yang ditetapkan kementerian bagi mengelakkan perkara tidak diingini lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi maklumat hari ini.
Percayalah, jejak digital adalah perkara paling ditakuti kerana terkandung pelbagai bukti yang boleh mensabitkan kesalahan seseorang guru sekiranya memandang ringan peraturan yang ditetapkan dengan jelas oleh kementerian. Tindakan yang betul selari dengan perkembangan semasa akan membantu menyelesaikan apa jua masalah pelajar di sekolah. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










