DALAM masa kurang seminggu lagi, masyarakat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha buat kali pertama sejak berada di dalam fasa peralihan endemik. Mengikut kelaziman, satu ke dua bulan sebelum Hari Raya Aidiladha merupakan tempoh sibuk di mana peserta yang berminat untuk menunaikan ibadah korban selesai membuat tempahan nama dan bayaran.
Melihatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dijangka ibadah korban juga akan rancak dan ditunggu-tunggu umat Islam. Berdasarkan perkembangan semasa, umat Islam sudah boleh menunaikan ibadah korban dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kelonggaran yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan atau majlis agama negeri masing-masing.
Kebenaran ini amat dinantikan khususnya pada mereka yang sudah sebati dengan aktiviti ketika melaksanakan ibadah ini. Mereka rindu dengan suasana di mana kelibat masyarakat setempat berkumpul beramai-ramai, bergotong-royong menyembelih, melapah, memotong dan membungkus daging korban seperti tahun terdahulu. Masakan tidak, keakraban dan perpaduan ummah jelas tersemai dan bertambah erat melalui aktiviti sebegini.
Walaupun jumlah penularan kes Covid-19 sudah hampir terkawal sepenuhnya, harus diingatkan wabak ini masih berada di sekeliling kita di samping ancaman baharu penyakit berjangkit lain seperti cacar monyet serta penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD). Justeru, satu kaedah baharu pelaksanaan ibadah korban harus diperkenal dan diperluaskan.
Cadangan kaedah ini yang lebih sistematik dan profesional dijangka boleh merevolusikan cara pelaksanaan ibadah korban di negara kita. Ia dijangka lebih efektif dalam keadaan yang memerlukan kita sentiasa berjaga-jaga serta mampu meminimumkan kadar penularan jangkitan Covid-19 serta penyakit berjangkit lain ketika melaksanakan aktiviti berkaitan ibadah korban.
Kaedah ini hampir sama seperti ibadah korban yang dilakukan di negara-negara Barat yang umat Islamnya hanya minoriti seperti Australia dan New Zealand. Di Australia, penyembelihan ritual secara terbuka sememangnya dilarang. Namun bagi umat Islam di Australia, mereka tiada masalah untuk melaksanakan kewajiban ini seperti di negara asal mereka.
Untuk memastikan keberkesanan kaedah ini adalah disarankan agar keseluruhan proses ditadbir oleh pejabat agama daerah bersama pihak berkuasa tempatan (PBT). Tidak lagi diurus sepenuhnya oleh kariah setempat secara bersendirian seperti sebelum ini. Mereka yang berminat untuk menunaikan ibadah korban akan membuat tempahan seperti biasa tetapi terus kepada pejabat agama daerah. Jawatankuasa kariah setempat masih boleh menyumbang khidmat dengan bertindak sebagai urus setia mengumpulkan tempahan untuk diserahkan kepada pejabat agama daerah khususnya mereka yang mempunyai masalah membuat tempahan.
VETERINAR
Setelah tempahan seluruh kariah di daerah itu diterima, pihak pejabat agama daerah boleh bekerjasama dengan PBT untuk membuat tempahan haiwan ternakan serta rumah sembelihan lokaliti yang mendapat tauliah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Ini akan membolehkan semua tempahan dikumpulkan sekali dan memudahkan penyelarasan pentadbiran.
Apabila hampir tiba Hari Raya Aidiladha, haiwan ternakan yang ditempah secara pukal akan dihantar ke rumah sembelihan yang dilantik, sama ada berperingkat ataupun sekali gus.
Tempahan besar ini akan menjimatkan juga kadar pengangkutan yang perlu ditanggung oleh penganjur.
Dalam kaedah ini, rumah sembelihan sesuatu lokaliti itu akan menjadi pusat setempat bagi pelaksanaan ibadah korban untuk beberapa daerah berdekatan. Ini sekali gus dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja yang ramai, tidak memerlukan ruang atau padang yang luas, mengguna sebaik mungkin tenaga kerja mahir dan peralatan rumah sembelihan serta meningkatkan kadar produktiviti penyembelihan harian.
Sebaik sahaja proses menyembelih, melapah, memotong dan membungkus oleh petugas yang dilantik dan dikawal selia oleh pejabat agama daerah dan PBT ini selesai, rumah sembelihan bertauliah ini akan pula melaksanakan tugas sebagai pusat pengedaran. Berdasarkan senarai tempahan, seperti biasa petugas-petugas akan mengasingkan bungkusan daging untuk diagihkan kepada mereka yang berkenaan termasuk golongan sasar di daerah terbabit.
Proses mengedarkan bungkusan daging ini pula boleh diperkasakan dengan mewujudkan kerjasama pintar bersama syarikat penghantaran tempatan yang mempunyai aset trak sejuk (cold truck). Dengan menggunakan kepakaran sedia ada seperti algoritma penghantaran dan pemetaan digital, proses pengedaran daging korban ini boleh dioptimumkan dan dilaksanakan secara lebih teratur dan terancang. Kaedah ini berpotensi mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik di sesuatu kawasan komuniti berbanding kaedah konvensional ibadah korban.
Sekiranya model ini dapat dilaksanakan seperti dirancang, ia mampu mengubah landskap pelaksanaan operasi ibadah korban di negara kita pada masa hadapan. – UTUSAN
DR. Mohd. Hafiz Zulfakar ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi & Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam.











