Puasa Arafah diampun dosa dua tahun

Puasa Arafah diampun dosa dua tahun

WUKUF hari Arafah dan doa mustajab khusus untuk jemaah haji yang berada di tanah suci manakala kita di sini disunatkan berpuasa dan turut berdoa kepada Allah SWT. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA bekerja sehari tetapi ganjarannya bonus dua tahun, pasti ramai yang berebut-rebut dan mungkin sanggup bertumbuk untuk mendapatkannya. Orang yang menolak peluang sedemikian dianggap bodoh dan menolak tuah.

Demikianlah analogi untuk orang sihat tetapi mensia-siakan peluang keemasan yang hanya datang sekali setahun iaitu tidak menunaikan puasa sunat hari Arafah. Di Malaysia, kita menyambut hari Arafah esok, berbeza dengan Arab Saudi yang menyambutnya hari ini.

Memandangkan kita sambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad, 10 Julai sebagaimana diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, maka digalakkan puasa sunat Tarwiyyah (hari kelapan Zulhijah) pada Jumaat dan puasa sunat Arafah pada Sabtu.

Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari seperti Malaysia dan lain-lain, penentuan 9 Zulhijah adalah mengikut imkanur-rukyah negara masing-masing. Malaysia terletak kira-kira 7,000 kilometer dari Arab Saudi mempunyai ‘matla’ (zon terbit matahari dan bulan) berbeza dan mempunyai kaedah falak yang jelas serta diperakui oleh ulama falak dalam menentukan tarikh penting dalam Islam.

Kelebihan puasa hari Arafah disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Ia berdasarkan hadis baginda yang bermaksud: Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim)

Selain itu, amalan yang boleh dilakukan pada hari Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia merupakan waktu berdoa paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan. Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih.

KORBAN

Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu). (Riwayat al-Tirmidzi)

Wukuf hari Arafah dan doa mustajab ini khusus untuk jemaah haji yang berada di sana. Amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib. Walaupun wukuf dan doa mustajab dikhususkan untuk jemaah haji yang berada di Arafah, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan kelebihan padanya.

Untuk itu, jangan lepaskan peluang berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing tanpa mengehadkan tempoh berdoa kepada masa tertentu. Bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Sebabnya tiada dalil khusus yang mengehadkannya.

Amalan seterusnya adalan melaksanakan ibadah korban. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (tanda kesyukuran). (al-Kauthar: 2)

Tujuan berkorban binatang ternakan adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Waktu menyembelih binatang korban bermula selepas solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah waktu asar hari tasyrik iaitu 13 Zulhijah. Waktu afdal adalah waktu duha pada 10 Zulhijah.

ADAT

Dalam melaksanakan ibadat korban, setiap individu kena tahu beza antara adat dan ibadat. Inilah pentingnya pendidikan agama yang perlu dipasak kemas bermula dari usia awal. Masyarakat perlu diberi penekanan dan kefahaman yang jelas bahawasanya ibadah korban ini merupakan satu syiar Islam yang agung.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu. Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (al-Hajj: 36)

Selain itu, Nabi SAW bersabda: Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah selain daripada menyembelih haiwan korban.

Sesungguhnya haiwan korban itu kelak di hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu jatuh ke tanah, pahala korbannya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan pahala korban itu. (Riwayat al-Timidzi)

Maka jelaslah, ibadah korban bukanlah adat yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat semata-mata. Namun, terisi padanya keagungan syiar dan pahala serta ganjaran yang menjadikannya sebuah ibadat amat dituntut.

Hal ini bersumberkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak berqurban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami. (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Meskipun dalam Mazhab Syafie dan hatta jumhur ulama sekalipun berpandangan hukum korban adalah sunat muakad, apabila berkaitan dengan kemampuan melaksanakannya maka seolah-olah menjadi satu ‘kewajipan’ terkhusus kepada mereka yang punya kelapangan. Ukuran kelapangan dan kemampuan ini turut dijelaskan oleh sebahagian ulama adalah dalam kalangan mereka yang memiliki harta mencukupi nisab zakat.

Antara hikmahnya sebagaimana disebut oleh Sheikh Muhammad al-Amin al-Syinqithi rahimahullah dengan katanya: “Janganlah meninggalkan ibadah korban jika seseorang mampu untuk menunaikannya. Kerana Nabi SAW sendiri memerintahkan dalam sabdanya: Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu dan ambil perkara yang tidak meragukanmu.

Selayaknya bagi mereka yang mampu agar tidak meninggalkan ibadah korban. Ini kerana dengan berkorban akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan. Itulah yang dimaksudkan dengan perkara yang tidak meragukan berdasarkan hadis Nabi SAW tadi.

Seperkara lagi yang perlu kita perbanyakkan ialah bertakbir. Ia bermula selepas solat subuh esok hingga hujung waktu asar hari ketiga tasyrik. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN