SYABAS Media Mulia Sdn. Bhd. kerana menerbitkan dua buah buku baharu sempena genap dua tahun akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! diterbitkan pada 20 Julai lalu.
Salah satu buku berkenaan bertajuk Koleksi Kisah Seram: Apabila Lampu Dipadam adalah berdasarkan cerita yang pernah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Kosmo!. Ia boleh dibeli menerusi tempahan secara dalam talian di laman web http://shop.mediamulia.com.my.
Antara kisah menarik dalam buku itu ialah misteri wanita berkebaya di tepi lebuh raya, puntianak di jambatan Sungai Pinggan dan misteri penghuni katil nombor empat.
Buku ini amat berguna untuk rujukan para pengkaji fenomena tersebut yang sekarang nampaknya lebih kepada siapa pencipta kandungan yang akan mendapat lebih ramai pengikut di YouTube dan individu mana paling berani berhadapan dengan hantu.
Aneh sekali, setiap kali diadakan sesi rakaman video di kawasan atau bangunan yang dikatakan berhantu, entiti terus muncul sedangkan menurut cerita otai (orang lama) yang pernah ‘memburu’ hantu ini, daripada banyak misi yang dijalankan jarang sekali terjumpa. Kalau dapat terserempak hantu itu adalah bonus.
Sesuai sekali dengan pendekatan dan perspektif baharu Utusan Malaysia yang membawa tema Pemikiran Baharu, maka diharapkan akan wujud penyelidikan hantu 2.0 yang berasaskan ilmu dan kaedah saintifik serta bukan sekadar main terjah sahaja.
Saya teringat dalam satu grup sembang kisah-kisah hantu, banyak maklumat berguna dikongsikan termasuk senarai nombor bilik hotel dan rumah tumpangan yang dikatakan berhantu.
Dikatakan kaedah paling senang untuk mengetahui sesuatu bangunan atau kawasan mempunyai entiti adalah dengan cara menonton semula video atau gambar yang dirakam di situ.
Tempat yang mempunyai entiti akan terdapat banyak orb (bebola cahaya).
Antara perbincangan menarik yang dilontarkan dalam grup sembang berkenaan adalah persoalan kenapa orang Amerika Syarikat (AS) tidak pernah melaporkan mereka terserempak dengan hantu-hantu yang popular di Malaysia atau Indonesia?
Antaranya puntianak iaitu hantu perempuan yang suka menghisap darah orang beranak, pocong pula ialah hantu berupa mayat yang dibalut dengan kain kafan dan toyol, sejenis hantu yang kononnya suka mencuri wang. Setiap bangsa mempunyai kisah hantu tersendiri dan yang selalu ditemui adalah jenis-jenis hantu dipercayai oleh masyarakat itu.
Sebab itu ada yang berkongsi pendapat, hantu hanya imaginasi. Walaupun hanya khayalan, entiti terbabit nampak benar-benar nyata dan boleh berinteraksi dengan manusia jika kita tidak bernasib baik termasuk ke alam imaginasi atau mempunyai deria keenam yang boleh melihat alam lain.
Para penyelidik di Barat menggunakan istilah astral bagi merujuk kepada alam imaginasi ini yang dikatakan berada paling hampir dengan dunia kita.
UNIVERSITI
Konsep ini bukan baharu jika kita mengikuti kursus-kursus motivasi apabila penceramah selalu menyebut segala apa yang kita mahu wujud di alam nyata perlu kita bayang wujud di alam imaginasi terlebih dahulu.
Entiti akan menjadi semakin nyata jika kita menyertakan emosi kepada apa yang kita bayang. Dalam konteks hantu, perasaan takut ialah emosi. Semakin takut kita kepada hantu, semakin nyata hantu itu kepada kita. Mereka yang suka menyelidik hantu payah berjumpa entiti itu kerana mereka tidak takut.
Untuk mengetahui tentang alam astral, kita perlu membaca dokumen kajian Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat pada 1983 bertajuk Analysis and Assessment of the Gateway Process. Dokumen itu secara senyap-senyap telah dibuang status rahsia pada 2003 bagi membolehnya dibaca oleh orang awam.
Dokumen tersebut mengesahkan wujud alam astral dan pelbagai jenis entiti yang menghuninya. Ia turut menyentuh secara mendalam kajian oleh penyelidik AS, mendiang Robert A. Monroe yang menggunakan bunyi khas dinamakan Hemi-Sync untuk membantunya meneroka alam tersebut.
Sebenarnya penyelidik di Barat lebih maju sehingga kajian tentang alam imaginasi itu dikaji di peringkat universiti. Antaranya yang dilakukan oleh Makmal untuk Kemajuan dalam Kesedaran dan Kesihatan (LACH), Universiti Arizona, AS diketuai Pengarahnya, Profesor Dr. Gary E. Schwartz.
ELEKTRIK
Menerusi projek LACH dinamakan SoulPhone yang boleh dirujuk di laman web www.thesoulphonefoundation.org, Schwartz dan pasukannya yang terdiri daripada jurutera elektrik dan pengatur cara perisian telah menjalankan kajian selama 12 tahun untuk berkomunikasi dengan entiti di alam astral menggunakan kaedah-kaedah saintifik.
Kajian pasukannya boleh disifatkan sebagai disruptive knowledge (pengetahuan yang menimbulkan gangguan) yang mencabar budaya dan status quo dipegang oleh masyarakat kerana mahu membuktikan kewujudan alam bukan fizikal menerusi penyelidikan sains.
Ia sama seperti yang digelar Profesor Harvard Business School, Clayton M. Christensen sebagai disruptive technology, contohnya aplikasi e-hailing digunakan oleh Grab menggantikan perkhidmatan dan peralatan yang telah digunakan sejak sekian lama dan mewujudkan satu industri baharu.
Pasukan Schwartz menggunakan teknologi pengesanan terbaharu berasaskan cip silikon dinamakan silicon photomultiplier yang menghasilkan tenaga elektrik apabila terdapat foton (zarah tenaga yang membentuk cahaya). Teknologi sedemikian telah digunakan bagi mengesan cahaya bintang yang sangat malap.
Perisian komputer juga telah dicipta yang disambung dengan alat pengesan dan telefon pintar bagi mengenal pasti entiti secara automatik. Setakat ini sebanyak 2,000 sesi kajian telah dijalankan.
Bagaimanapun, pasukan Schwartz masih memerlukan bantuan kepakaran pelbagai pihak termasuk dari Malaysia kerana kaedah komunikasi sekarang agak terhad. Komunikasi itu berbentuk soalan dan entiti hanya menjawab dalam bentuk ya atau tidak. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










