Pemimpin kuasai bahasa Melayu jadi teladan

Pemimpin kuasai bahasa Melayu jadi teladan

MICHELLE NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEBAGAI wakil rakyat termuda di Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, MICHELLE NG, 32, menjalankan pelbagai langkah dan inisiatif dalam membantu penduduk. Lulusan ijazah sarjana undang-undang dari London School of Economics ini juga mempunyai banyak idea dan perancangan dalam mengangkat taraf kehidupan warga Subang Jaya.

“Masalah trafik dan gangguan air tidak berjadual merupakan antara perkara utama yang ingin saya selesaikan,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, THAQIB SHAKER, baru-baru ini.

UTUSAN: Sejak bergelar Yang Berhormat (YB) pada 2018, apa gerak kerja atau polisi yang telah dilaksanakan kepada penduduk Subang Jaya?
MICHELLE: Subang Jaya terkenal dengan kesesakan trafik yang teruk memandangkan banyak pemandu memilih menggunakan laluan Subang Jaya terutama dari Klang ke Petaling Jaya serta Puchong ke Petaling Jaya bagi mengelak tol. Selain itu, hubungan first mile last mile (kesalinghubungan batuan pertama dan akhir) dilihat masih kurang memuaskan meskipun Subang Jaya mempunyai laluan transit aliran ringan (LRT) sebagai tulang belakang.

Untuk mengatasi masalah ini, pejabat saya memperkenalkan Kumpool, iaitu sistem bas e-hailing. Sistem ini menggunakan van kecil, oleh itu dapat memasuki jalan-jalan kecil di kawasan perumahan. Berbanding perkhidmatan bas biasa yang mempunyai antara 10 hingga 20 hentian, sistem ini mempunyai 200 hentian. Sistem ini hanya menggerakan van-van jika terdapat tempahan.

Algoritmanya akan mengumpulkan penumpang-penumpang yang sedang ke arah sama untuk memaksimumkan perjalanan. Kelebihannya, pengusahanya tidak akan membazirkan sumber kerana van hanya akan berjalan apabila terdapat penumpang. Kumpool juga beroperasi berdasarkan aplikasi. Penumpang dapat menjejak ketibaan van. Jadi, masalah ketibaan yang tidak menentu juga dapat diatasi.

Sejak pelancaran Kumpool enam bulan lalu, saya difahamkan Subang Jaya adalah kawasan di mana sistemnya paling berjaya kerana dapat mencatatkan 200 hingga 300 penumpang (sehari).

Apa fokus utama YB?
Selain menangani isu trafik, saya juga ingin menaik taraf kualiti kehidupan penduduk kawasan pangsapuri kos rendah yang kebanyakannya usang dan kotor. Bagi mencapai matlamat tersebut, maka saya menggalakkan komuniti berdikari. Pada minggu pertama saya dipilih sebagai wakil rakyat, salah satu blok di Pangsapuri Angsana terbakar. Ini menyebabkan terpotong bekalan elektrik, air dan lif. Beberapa penduduk telah mohon bantuan saya untuk isu lif.

Saya menggunakan peluang tersebut dengan menerangkan berkenaan sistem pengurusan bersama (JMB) dan menggalakkan mereka menubuhkannya kerana pangsapuri kos rendah yang mempunyai JMB diberi keutamaan untuk mendapat bantuan kerajaan. Saya berjanji kepada mereka bahawa saya akan membimbing mereka sehingga berjaya. Kami bermula dengan mengusahakan program-program kecil. Kini, dua daripada empat blok telah mendirikan JMB masing-masing.

Apa permasalahan utama membelenggu komuniti Subang Jaya yang harus diberi lebih perhatian?
Gangguan air tidak berjadual akibat pencemaran air. Walaupun isu ini belum selesai, usaha penambahbaikan oleh kerajaan negeri berjaya mengurangkan bilangan insiden. Antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri pernah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Sumber Air Selangor yang dipengerusikan saya. Jawatankuasa ini ditubuhkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor disebabkan insiden-insiden gangguan air yang berterusan. Penyata jawatankuasa kami yang mengandungi 39 saranan boleh dimuat turun daripada laman web DUN Selangor.

Usaha pertama yang dilaksanakan bersifat mencegah, iaitu pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1997. Denda RM100,000 untuk pencemaran air dipinda merangkumi denda minimum RM200,000 dan denda maksimum sebanyak RM1 juta, mewajibkan hukuman penjara dan pesalah perlu membayar kos pembersihan.

Usaha kedua adalah rondaan sekali sebulan di sepanjang sungai dan kini kekerapannya ditambah kepada 24 jam sehari.

Usaha ketiga adalah penambahbaikan infrastruktur iaitu dengan pembinaan off-river-storage (ORS) di Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3. Peranan ORS seolah-olah tangki besar kepada LRA. Apabila sungai tercemar, salur masuk LRA akan ditutup dan air dari ORS akan digunakan. Projek ini dijangka selesai pada Julai 2023.

Dengan ketiga-tiga usaha ini, peluang berlakunya henti tugas akibat pencemaran dijangka dapat dikurangkan sehingga satu peratus.

Ada perkara atau gerak kerja ingin YB laksanakan yang memerlukan sokongan atau bantuan kerajaan Pusat?
Subang Jaya amat memerlukan Klinik Kesihatan (KK). Subang Jaya mempunyai 480,000 bilangan penduduk. 10 peratus daripadanya adalah warga emas dan 10 peratus lagi penduduk miskin. Ini membawa jumlah sebanyak 96,000 penduduk bagi kedua-dua kumpulan tersebut.

Bagi layak mendapat KK Jenis 3, kami hanya perlu sekitar 30,000 hingga 50,000 bilangan penduduk di satu-satu kawasan liputan.

Bagaimanapun, Subang Jaya sehingga kini tidak mempunyai KK. KK yang sepatutnya mula dibina tahun ini telah dibatalkan oleh kerajaan Pusat.

Apa usaha YB untuk menangani masalah perubahan iklim?
Pada 2019, kami memperkenalkan sistem kitar semula di mana bahan-bahan yang boleh dikitar semula dikutip terus dari depan rumah penduduk.

Sistem sebegini adalah lebih efektif daripada mendirikan pusat kitar semula kerana kemudahan tersebut selalu dijadikan tempat pembuangan sampah haram, maka ia mendatangkan masalah kepada masyarakat sekeliling.

Kedua, kehidupan penduduk bandar yang sibuk, tidak mempunyai masa untuk membawa bahan buangan ke pusat kitar semula.

Ketiga, sistem kutipan lebih senang dan dapat meningkatkan aksesibiliti penduduk kepada sistem kitar semula dan keempat, lebih banyak dikitar semula, lebih banyak penjimatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana dapat mengurangkan berat sampah yang perlu dibayar fi di tapak pelupusan sampah.

Sistem yang kami perkenalkan ini boleh dilaksanakan menerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan penduduk. Hasil yang dikutip dikembalikan kepada mereka untuk melaksanakan projek-projek yang sesuai bagi taman perumahan masing-masing. Sebagai contoh, kawasan perumahan USJ 3/4 dan USJ 5/1 berjaya mengutip dana mencukupi untuk memasang lampu solar pada dinding rumah penjuru di jalan-jalan yang gelap.

Pandangan YB tentang penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur dalam pertuturan harian rakyat dan apa yang YB lakukan untuk memastikan bahasa kebangsaan terus subur dalam kalangan masyarakat?
Bagi saya, setiap rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu. Pada hemat saya, cara paling baik untuk memastikan bahasa kebangsaan terus subur dalam masyarakat adalah dengan menguasainya sendiri dan menjadi teladan kepada orang lain.

Setiap kali saya bertutur dalam bahasa kebangsaan atau apabila saya memuat naik video perbahasan dalam sidang dewan, maka penduduk saya yang lebih selesa bertutur bahasa Inggeris akan berasa terharu dan memuji kefasihan saya bertutur bahasa Melayu. Perbuatan sebegini sebenarnya membuka ruang untuk saya menerangkan bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah asas sebagai rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×