MUKADIMAH
TIDAK sampai tiga bulan, Kadar Dasar Semalam (OPR) naik sekali lagi dengan 25 mata asas (bps) menjadikan jumlah terkini 2.25.
Susulan itu, pelbagai pandangan dilontarkan sama ada membabitkan pakar mahupun pemain industri terhadap jangkaan situasi semasa ekonomi dan pada masa akan datang.
Tidak kurang rakyat biasa turut terkesan susulan kenaikan tersebut yang dilihat bakal membebankan mereka.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, SHAHRIL SUFIAN HAMDAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut dibantu, jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.
MINGGUAN MALAYSIA: Malaysia menanggung subsidi tertinggi iaitu hampir RM80 bilion. Adakah wajar sekiranya ia dikaji semula dalam situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang?
SHAHRIL SUFIAN: Sekarang ini rakyat memang memerlukan bantuan. Sebab itu kalau kita lihat kerajaan sanggup dan terpanggil untuk membelanjakan sejumlah wang yang dilihat paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Malah, sebelum ini pun angka yang diberikan tidaklah sebesar sekarang. Jadi persoalannya bagaimana kerajaan mencari jalan untuk memberi subsidi yang boleh kawal inflasi?
Rakyat masih rasa terkesan dengan inflasi, namun ia ditampung dengan subsidi. Kadar inflasi kita pun dalam anggaran 2.2 sehingga 2.8 peratus. Bayangkan jika tiada subsidi, inflasi mungkin melonjak naik sehingga 11 ke 12 peratus. Negara lain pun dalam 10 peratus kadar inflasinya.
Kita boleh lihat pada situasi semasa. Saya ambil contoh harga minyak mentah sebelum ini yang kini agak tinggi iaitu sehingga mencecah RM4.50 seliter tanpa subsidi. Tapi berapa harga yang kita beli? RM 2.05 sen bukan untuk RON95? Maknanya subsidi kerajaan beri 100 peratus. Justeru, jumlah tersebut cukup menunjukkan subsidi memang perlu untuk pastikan inflasi tidak melonjak terlalu tinggi.
SUBSIDI SATU KEPERLUAN
Adakah subsidi ini satu keperluan diberikan sampai bila-bila atau perlu dihentikan apabila tiba masa tertentu?
Subsidi bergantung pada harga pasaran. Contoh, kalau petrol harga tidak terlalu tinggi maknanya kita tidak tanggung subsidi yang terlalu tinggi. Pada saya subsidi ini perlu .
Cuma untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu mekanisme agar subsidi bersasar dapat diberikan kepada golongan memerlukan dan tidak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi (T20).
Kajian dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan lebih 80 peratus subsidi dinikmati T20 dan sudah tentu kita perlukan cara yang lebih efisien agar ia diberi kepada golongan memerlukan iaitu berpendapatan rendah (B40) dan M40.
Ada segelintir pakar berpandangan supaya mekanisme pemberian subsidi diubah termasuk diberi mengikut kawasan.
Dari segi teori mungkin nampak cantik tapi dari segi praktikal untuk mendiskriminasi subsidi mengikut lokasi agak sukar. Pada saya lebih baik ikut melalui jumlah pendapatan.
GAJI MINIMUM
Bagaimana pula dengan pelaksanaan gaji minimum mengikut kawasan sebagaimana pandangan pakar ekonomi sebelum ini?
Saya setuju. Pada jangka masa panjang mungkin boleh difikirkan cara bagaimana untuk memberi gaji wajar, bukan gaji minimum lagi.
Kita sudah ada data daripada pelbagai agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Berapakah kadar pendapatan wajar ikut lokasi. Satu hari nanti kita harap dengan adanya data lengkap, ia dapat dilaksanakan. Cuma susah untuk buat dalam jangka masa pendek termasuk tahun depan. Tapi saya yakin kerajaan akan fikirkan ke arah itu.
Bagaimana saudara melihat kenaikan Dasar Semalaman Semasa (OPR) Rabu lalu? Adakah ia sesuatu yang membimbangkan dan menjejaskan rakyat?
Mengikut Akta BNM 2009 jelas bahawa mereka mempunyai kebebasan dalam menetapkan dasar monetari termasuk kadar faedah. Dalam hal ini telah ditetapkan satu struktur oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC). Maka saya fikir BNM berpandangan untuk memastikan ada kaedah mengurangkan inflasi, maka OPR ditingkatkan.
Dan juga mahu kurangkan kemerosostan nilai ringgit, sekali lagi faedah ditingkatkan. Tapi peningkatan kadar faedah ini dilihat sebagai blunt tool, sebab apa? Sebab ia pukul rata.
Daripada segi teori nampak membantu. Tapi kesan berbeza mengikut individu dan segmen. Maknanya siapa yang membuat pinjaman dengan kadar faedah yang fleksibel akan mengalami kesan.
Kalau orang kaya mungkin tiada masalah, tapi kalau banyak tertumpu pada M40 dan B40, maka BNM perlu pertimbangkan aspek ini dalam keputusan kenaikan OPR. BNM ada MPC yang bebas. Kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa.
Adakah ini bermakna kerajaan langsung tiada kuasa menasihati atau memastikan OPR tidak dinaikkan BNM?
Kita perlu berbalik kepada undang-undang. Andai kata satu hari nanti perlu dipinda undang-undang untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan supaya ada pengaruh secara terus, ia perlu dibincangkan.
Tapi apa yang nak tekankan ialah, BNM perlu berdepan dengan rakyat untuk menjelaskan rasional sebarang pelaksanaan yang dibuat. Di negara luar, Gabenor akan disoal oleh Parlimen, disoal terbuka menerusi televisyen bagi menjelaskan satu-satu tindakan dibuat.
Sama ada di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Gabenor menjawab banyak soalan.
Saya rasa kalau mahu BNM terus bebas, mereka juga perlu berdepan dengan pelbagai soalan daripada rakyat. Sebab mereka diberi kebebasan untuk tetapkan dasar monetari. Mereka bukan wakil rakyat dan setiap keputusan yang dibuat BNM beri kesan kepada semua.
Justeru, BNM perlu kedepan dan bukannya hanya buat kenyataan secara umum. Mereka juga perlu lebih proaktif dan rasional kerana ini urusan membabitkan mereka. Saya cadangakn mereka memberikan penjelasan kepada Parlimen secara terbuka. Lagipun Parlimen ada jawatankuasa tersendiri sekiranya tidak dapat masuk dalam Parlimen.
OPR NAIK SEKALI LAGI?
Adakah OPR dijangka naik sekali lagi pada tahun ini? Apa jangkaan saudara?
Soalan ini sepatutnya tanya pada BNM dan jawapan perlu diberikan BNM sama ada merancang untuk menaikkan kadar OPR lagi atau sebaliknya.
Kemudian perlu dijelaskan apa rasional di sebalik kenaikan tersebut. Dan apabila sudah jelas, semestinya akan ada respons daripada pelbagai pihak.
BNM perlu telus dalam komunikasi dan lebih rasional. Mereka ada hak untuk menetapkan kadar OPR, takkan mahu berselindung?
Adakah Malaysia boleh terjerumus kepada hiperinflasi?
Tidak. Ada harga barang tertentu melonjak naik ada yang tidak naik. Faktor yang boleh sebabkan hiperinflasi ini apabila setiap bulan harga dan gaji sama naik. Apabila gaji naik pengeluar juga naikkan harga. Ia bergerak sebegitu. Namun perkara itu tidak berlaku pada masa sekarang. Saya masih menaruh harapan ia tidak berlaku sebab adanya subsidi yang tinggi.
Dalam ketidaktentuan ekonomi ini, apa yang saudara paling bimbangkan?
Saya paling risau kalau inflasi wujud bersama-sama kerencatan ekonomi. Sekarang ekonomi masih positif. Saya jangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus melonjak. Jadi masalah yang dihadapi sekarang adalah inflasi.
Akan tetapi kalau inflasi datang dengan kerencatan ekonomi , ia akan masuk ke zon stagflasi. Sekiranya ekonomi jatuh, boleh berlaku pengangguran. Akan tetapi sekarang kita lihat pengangguran sudah turun empat peratus dan kembali seperti pra Covid-19.
Sekiranya OPR terus naik, adakah sektor ekonomi tertentu seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terganggu?
Akan ada sektor tertentu yang mengalami gangguan. Kenaikan OPR akan memperlahankan perbelanjaan dan pelaburan. Itu logik. Sebab itu, BNM perlu ke depan dan beri penjelasan kerana mereka yang membuat keputusan ini.
KRISIS EKONOMI
Adakah berkemungkinan negara akan mengalami krisis ekonomi seperti 1998?
Saya nampak banyak perbezaan. Masalah inflasi yang dihadapi turut berlaku pada satu dunia. Tapi kita belum ada masalah pengangguran besar-besaran sehingga menyebabkan syarikat tutup.
Kita cuma ada masalah kos sara hidup. Bukannya masalah pengangguran. Ia hanya wujud sewaktu Covid-19. Sekarang kita perlu fokus bagaimana mahu uruskan masalah inflasi dan sekuriti makanan.
MALAYSIA MACAM SRI LANKA ?
Adakah Malaysia bakal menjadi seperti Sri Lanka sekiranya inflasi terus berlaku?
Insya-allah tidak. Kadang-kadang ada pihak tertentu terutama pembangkang cuba lakarkan satu gambaran yang terlalu dramatik. Kita ada rizab pertukaran asing dalam keadaan baik. Saya rasa dalam AS$116 bilion (RM513 bilion). Akan tetapi Sri Lanka ada AS$1.9 bilion (RM8.54 bilion) Kemudian kita lebih banyak eksport daripada import.
Selain itu, mereka import lebih banyak berbanding eksport. Perbezaan lain adalah kadar hutang KDNK kita adalah 60 peratus manakala Sri Lanka 101 peratus.
Hutang Sri Lanka juga adalah dalam mata wang asing. Jadi apabila mahu membayar balik, perlu jual mata wang mereka. Kita pula meminjam menggunakan mata wang sendiri.
Maknanya, bon yang kerajaan keluarkan dalam ringgit. Maka tidak timbul soal bankrap. Tapi kalau pinjam dalam mata wang asing, seperti mana berlaku krisis Asia pada tahun 90-an, banyak hutang dalam AS$. Apabila ringgit merudum, kita perlu bayar lebih. kalau pinjam dalam mata wang sendiri, kita bayar dalam jumlah yang kita guna.
Sri Lanka juga banyak mengimport bahan makanan. Dia telah haramkan import baja juga dan mahu petani keluarkan makanan organik. Ini sekali gus menyebabkan hasil merudum sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengimport makanan pula. Jadi atas sebab perbezaan itu, Insya-Allah tidak akan berlaku seperti Sri Lanka.
SEKARANG MASA UNTUK PRU-15
Jadi adakah PRU-15 sesuai diadakan pada masa sekarang, dalam ketidaktentuan ekonomi ?
Bagi saya tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti dibincangkan sebagaimana ketetapan parti. Kalau hendak bahas bila masa sesuai atau bila masa yang tidak sesuai, cerita ini tidak akan habis. Sebab yang buat keputusan op five. Mereka perlu duduk dan bincang. Orang UMNO dambakan agar lima orang ini duduk cepat dan buat keputusan.
Tambahan pula hasrat parti jelas iaitu PRU-15 mesti datang sebelum pemilihan dan dalam keadaan lawan kita belum berpadu, ada baiknya mempertimbangkan supaya PR-15 diadakan pada kita masih mendapat sokongan dan pada waktu lawan belum dapat sokongan. Hasrat parti jelas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan konvensyen. – MINGGUAN MALAYSIA










