GENERASI muda yang lahir selepas 1990 mungkin langsung tidak mengenali penulis sastera kebangsaan bernama Joseph Selvam. Situasi ini tidaklah menghairankan kerana tidak ada usaha mana-mana pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mempromosi sumbangan dan karya-karya beliau.
Joseph Selvam lahir di Ladang Merlimau, Melaka pada 6 Disember 1940.
Beliau antara penulis kaum India yang paling awal menulis sajak bahasa kebangsaan pada 1960-an dan banyak tersiar di majalah Balai Muhibbah pada 1970-an. Terdahulu, sajak, cerpen dan rencana tulisannya tersiar di akhbar Tamil Nesan, Tamil Murasu dan Tamil Malar sejak 1962. Beliau cuba menulis sajak dan cerpen bahasa kebangsaan mulai 1967 tetapi hanya mula mendapat ruang siaran pada 1972 menerusi Balai Muhibbah terbitan Kementerian Perpaduan Negara.
Saya mengumpul pelbagai maklumat mengenai beliau sewaktu membuat kajian sarjana sastera tentang penglibatan kaum India dalam sastera kebangsaan sejak 1930-an. Hasil kajian itu diterbitkan sebagai buku dengan judul Kavya Sastra (2021). Sesungguhnya, pengalaman dan komitmen Joseph Selvam boleh dijadikan motivasi kepada generasi muda yang mahu terlibat dalam bidang penulisan sastera kebangsaan.
Misalnya, Joseph Selvam hanya belajar hingga darjah dua di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau. Kemudian, beliau belajar sendiri sehingga lulus MCE (setaraf Sijil Pelajaran Malaysia) pada 1960 dan melanjutkan pelajaran di Maktab Latihan Harian (DTC), Kuala Lumpur.
Selepas tamat latihan, beliau menjadi guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jasin, Melaka. Joseph Selvam juga mahir dalam tulisan Jawi sehingga beliau mengajar mata pelajaran Jawi bagi murid-murid darjah empat di SJK (I) Jasin.
Pada masa sama, beliau menceburi bidang penulisan dengan penuh minat. Komitmennya dapat diperhatikan apabila hampir 60 sajak Melayu berjaya dihasilkan dalam tempoh dua tahun (1972-1974) dan 20 daripadanya tersiar di Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Balai Muhibbah, Dian, Majalah Filem dan Hiburan. Jumlah karya yang direkodkan adalah 200 sajak, 25 cerpen, enam rencana, dua kertas kerja, empat kumpulan sajak persendirian, dan pelbagai antologi sajak bersama penulis lain.
Joseph Selvam turut cuba memainkan peranan dalam menggalakkan belia kaum India terlibat dalam sastera kebangsaan dengan menganjurkan bengkel penulisan. Malangnya, tidak ada bukti kemunculan mana-mana penulis baharu hasil daripada usaha itu.
Penulis veteran ini terpaksa menghentikan usahanya susulan mengalami strok tidak lama selepas bersara pada usia 60 tahun dan tinggal bersama anak sulungnya, Richard Kumar di Ayer Keroh, Melaka. Saya berusaha mengunjunginya sejak 2019 tetapi tidak berkesempatan sehingga beliau meninggal dunia pada 8 Julai 2022 iaitu pada usia 82 tahun.
Maka, saya berusaha menulis mengenai Joseph Selvam dengan harapan generasi muda pelbagai kaum akan kembali berminat mencari dan membaca karya-karya beliau. Atau sekurang-kurangnya tahu tentang kewujudan seorang penulis veteran kaum India yang begitu aktif memperkaya sastera kebangsaan dari 1960-an hingga 1990-an.
GEREJA
Buku Nadi Perpaduan merupakan kumpulan sajak sulung bagi Joseph Selvam. Buku setebal 23 halaman ini diterbitkan pada 1972 dan majlis perasmian disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, V.T. Sambanthan. Buku kedua berjudul Merintis Jalan ke Bahagia (1973) diterbitkan dalam bentuk stensilan oleh Persatuan Kelab Bell Belia Tamil, Jasin. Buku 34 halaman ini memuatkan 28 sajak.
Kumpulan sajak Dalam Perjuangan (1974) setebal 30 halaman juga dicetak dalam bentuk stensilan. Ia memuatkan 20 sajak dan didedikasi kepada kedua-dua anaknya, Richard Kumar dan Robert Raj. Kumpulan 25 sajak dalam buku setebal 34 halaman berjudul Dalam Sinar Matamu diterbitkan Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) sempena Hari Puisi Keempat yang berlangsung pada Ogos 1975 di Tanjung Kling, Melaka.
Kelahiran kumpulan sajak Penerimaan sempena Bulan Dakwah pada 1978 membuatkan ramai menyangka Joseph Selvam sudah memeluk Islam. Buku setebal 12 halaman ini memuatkan 10 sajak bertema Islam seperti Azan dan Aku, Suara, Kutemui Kau dan Tuhanku. Untuk rekod, mendiang tidak pernah meninggalkan agama Kristian. Malah, beliau menghasilkan buku bahasa Tamil berjudul Iraimagan Kaviyam yang masih diraikan orang Tamil beragama Kristian sehingga kini. Buku ini terbitan Gereja St. Francis Xavier, Melaka dan menyajikan riwayat hidup Nabi Isa dalam bentuk sajak. Buku tersebut dilancarkan di Melaka pada 30 ovember 1997 dan di Johor pada 2 April 2016. Tidak dinafikan, orang Tamil beragama Kristian menganggap buku itu sebagai sumbangan terbesar mendiang dalam bidang kesusasteraan dan keagamaan.
Sementara itu, dalam bidang sastera kebangsaan, Joseph Selvam menerima Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu pada majlis penyampaian Anugerah Sasterawan Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 24 Januari 2010. Beliau diwakili isterinya, Nesamani untuk menerima hadiah RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.
Penulis veteran ini turut menterjemah buku sajak panjang Kuyil Paattu (1923) karya Subramania Barathi @ Bharathiyar iaitu penyair Tamil tersohor dari India kepada versi tempatan dengan judul Nyanyian Burung (1979).
Joseph Selvam terus aktif pada 1980-an dan karyanya termuat dalam buku seperti Perhimpunan (1982), Pertemuan (1982), Sajak-sajak Kecil (1984) dan Cita-cita (1984). Buku setebal 14 halaman berjudul Percakapan Puisi Untuk YAB Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik diterbitkan MIC Melaka pada 1984 dan dideklamasi oleh Joseph Selvam dalam majlis khas bagi meraikan Ketua Menteri Melaka ketika itu.
Pada 1988, Penama menerbitkan Biodata dan Kesan Cemerlang Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang ditulis khas oleh Joseph Selvam sempena genap enam tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Sajak-sajak beliau turut termuat dalam antologi seperti Mencari dan Mengerti (1975), Dari Musim ke Musim (1977), Gema Membelah Gema 4 (1978), Nafas Kemanusiaan (1980), Malaysia dalam Puisi (1988), Melodi Hidup (1989) dan Simfoni Kasih (1996).
Semoga pengarang penting seperti Joseph Selvam tidak hilang dan lenyap daripada ingatan peminat sastera di Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










