LANGKAH kerajaan yang bersedia untuk mengkaji dan memperhalusi semula Akta Insolvensi 1967 bagi mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis pada masa akan datang sangat dialu-alukan dan dilihat tepat pada masanya. Hal ini dilihat cukup signifikan apabila dilaporkan sejumlah 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada golongan belia hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.
Pada 27 September 2021, Perdana Menteri mengesahkan di Parlimen bahawa seramai 10,317 individu telah diisytihar muflis dan 1,246 perniagaan gulung tikar sepanjang Mac 2020 hingga Julai tahun lepas. Pada masa sama, mengikut statistik sehingga 31 Disember 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi, sebanyak 289,766 kes sedang ditadbir atau dalam proses kebankrapan. Justeru, jelas sekali muflis mula menjadi ibarat bom jangka yang hanya tunggu masa untuk meletup sekali gus mengancam kehidupan rakyat terutama golongan belia.
Pada ketika ini, di bawah akta bankrap yang ada, tiada had tempoh seseorang yang muflis untuk keluar daripada status kebankrapan melainkan sudah melunaskan semua hutang kepada pemiutang atau mendapat pelepasan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi. Ketiadaan had tempoh ini memberikan pelbagai kesan negatif kepada kehidupan individu terlibat khususnya golongan muda yang umpama putus asa untuk meneruskan kehidupan serta turut boleh menjejaskan kesihatan mental mereka melalui tekanan hidup melampau.
Ironinya, golongan muda dilihat cukup terdedah, berpotensi besar dan berisiko tinggi untuk diisytihar muflis kerana gagal mengurus proses pembayaran balik hutang. Misalnya, sejak negara dilanda wabak Covid-19 yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kehidupan rakyat serta menaikkan kos sara hidup secara mendadak, golongan muda di negara ini didapati banyak bergantung kepada pinjaman peribadi dan kad kredit bagi menampung keperluan harian. Kenaikan harga barangan dan tekanan inflasi pula terus memburukkan lagi keadaan.
Berdasarkan laporan analisis Experian Information Services (Malaysia), golongan individu berumur antara 22 hingga 28 tahun adalah mereka yang mempunyai kesukaran untuk membayar balik hutang kad kredit dan pinjaman peribadi masing-masing ketika ini.
Analisis Experian i-SCORE yang menggariskan trend skor dan kemudahan kredit rakyat Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2022 turut menunjukkan jumlah pembayaran balik bagi segmen hutang tidak bercagar iaitu kad kredit dan pinjaman peribadi dalam kategori 90 hari atau lebih membabitkan golongan umur berkenaan adalah tinggi iaitu sebanyak 26.4 peratus pada 2022. Peratusan itu mencerminkan 26 daripada 100 pengguna dalam kumpulan umur 22 hingga 28 tahun menghadapi kesukaran untuk membayar balik dalam tempoh 90 hari selepas pembayaran mereka perlu dibayar.
Hakikatnya, golongan muda mungkin tidak sedar bahawa tindakan mereka bergantung harap kepada kad kredit dan pinjaman peribadi hanyalah umpama gali lubang tutup lubang untuk meneruskan kehidupan pada jangka masa pendek tanpa menyedari kesan negatif jangka panjang seperti boleh berada dalam keadaan keterhutangan yang serius serta menyebabkan mereka diisytihar muflis.
IHSAN
Justeru, setelah mengambil kira keadaan ekonomi dan pendapatan semasa rakyat yang tidak menentu, kenaikan kos sara hidup serta inflasi, adalah sangat wajar kita merintis jalan ke arah jalan penyelesaian lebih menyeluruh tentang isu muflis di negara kita.
Dalam konteks inilah kita menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk mengkaji semula beberapa elemen dalam Akta Insolvensi 1967 dan diubah suai mengikut keadaan semasa bagi mengelak lebih ramai anak muda terutamanya jatuh muflis. Antaranya, kita menyambut baik cadangan Pemuda Barisan Nasional (BN) agar digubal akta baharu yang memberi peluang kepada mereka yang muflis melepaskan diri daripada status tersebut secara automatik. Sewajarnya kita mewujudkan undang-undang yang lebih mesra dan bertimbang rasa dan bukannya berbentuk hukuman tanpa ihsan.
Kita juga boleh merujuk amalan di negara luar seperti di n Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS) di mana undang-undang mereka membolehkan seseorang itu diisytiharkan muflis sejurus selepas penghutang tersebut melalui proses pencairan aset untuk dibayar kepada pemiutang. Ini bermakna baki hutang tertunggak tidak perlu dibayar oleh pemiutang.
Selain itu, isu muflis ini juga dilihat berlaku apabila institusi pemberi pinjaman dan kad kredit terlalu ‘bermurah hati’ dan menjerat pengguna dengan memberikan kemudahan pinjaman dan kad kredit walaupun pada hakikatnya mereka tidak layak. Oleh kerana mengejar laba melalui bilangan pelanggan dan kuota, mereka tetap memberikan kemudahan tersebut sehingga akhirnya individu terbabit terperangkap dan tidak mampu membayar semula hutang yang menimbun.
Hakikatnya pada hari ini, seseorang individu dengan mudahnya memiliki dua hingga tiga kad kredit pada satu-satu masa dan bebas menggunakannya bila terdesak di mana akhirnya sukar untuk membayar balik. Maka dalam hal ini kita berharap Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan pemantauan yang lebih agresif terutama dengan cara mengetatkan lagi syarat tawaran pinjaman peribadi dan kelulusan kad kredit di samping institusi yang terlibat juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata.
Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan berterusan, perlu dipergiatkan lagi inisiatif untuk mendidik rakyat terutama golongan muda agar bijak mengurus kewangan diri khususnya hutang yang perlu dibayar balik. Ringkasnya, kita perlu mendidik rakyat mengenai cara mengurus kredit sepanjang hidup mereka supaya tidak mudah tergoda dengan kemudahan kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga akhirnya jatuh muflis.
Tuntasnya, desakan hidup pada ketika ini mendorong rakyat bergantung harap pada pinjaman peribadi dan kad kredit untuk survival kehidupan harian. Justeru, campur tangan kerajaan sangat penting dalam mencari jalan penyelesaian lebih menyeluruh agar mereka ini tidak terjerat dengan perangkap muflis. Jujurnya, kita perlu membantu rakyat menguruskan kewangan peribadi dan keluarga dengan lebih cermat dan berhemat. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










