Inflasi: Negara maju turut terjejas

Inflasi: Negara maju turut terjejas

ISU inflasi merupakan permasalahan global yang turut menjejaskan kebanyakan negara maju. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA berdepan dengan satu lagi cabaran baharu yang juga sama mencabar seperti kemunculan varian Covid-19 pada awal 2020. Bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain kini turut berdepan dengan cabaran ekonomi seperti kenaikan inflasi mendadak yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Banyak negara sudah memasuki fasa pemulihan ekonomi sejurus selepas wabak Covid-19 mula reda dan beransur pulih, namun kita diduga dengan konflik di antara Russia dan Ukraine.

Konflik tersebut merupakan salah satu faktor yang mencetus kepada kekurangan bekalan makanan dunia seterusnya melonjakkan harga makanan.

Mustahil untuk kita mengasingkan diri daripada tekanan kenaikan harga makanan ini kerana kita banyak bergantung kepada sumber makanan dari negara lain. Contoh mudah, jika dahulu harga roti canai sekitar RM1.20 kini meningkat kepada RM1.50 berikutan harga gandum yang semakin meningkat. Russia merupakan pengeksport utama bijirin di dunia membekalkan lebih 30 peratus bekalan gandum. Krisis yang berlaku ini memberi tempias hebat kepada seluruh dunia yang menggunakan gandum.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga mengeluarkan laporan statistik terbaharu mengenai Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Mei yang melonjak kepada 2.8 berbanding 2.3 peratus pada bulan sebelumnya. Kenaikan ini didorong oleh harga makanan yang tinggi di pasaran berikutan sumber utama makanan seperti gandum dan jagung melonjak naik.

Jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, kadar inflasi mereka jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Kadar inflasi di Singapura bagi Mei berada pada kadar 5.6 peratus, tertinggi sejak November 2011. Thailand pula merekod kadar inflasi yang tertinggi sejak 14 tahun lalu dengan kadar inflasi sebanyak 7.1 peratus.

Di zon Eropah, kadar inflasi Indeks Harmoni Harga Pengguna zon Eropah meningkat dengan ketara daripada 5.9 peratus pada Februari kepada 8.1 peratus pada Mei lalu. Ini adalah realiti dan implikasi yang harus kita hadapi dan tangani secara bersama sebagai satu Keluarga Malaysia.

Kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan harga barangan terkawal.

Sepanjang tahun ini, kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion merangkumi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), minyak masak berpaket, telur ayam, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan lain-lain subsidi. Impak inflasi negara mungkin akan mencecah 11.4 peratus jika tiada subsidi diperuntukkan oleh kerajaan. Tidak ada mana-mana kerajaan juga yang pernah mengeluarkan subsidi sebesar itu. Namun, kerajaan pimpinan Ismail Sabri sentiasa mengutamakan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Pemberian tambahan BKM, mengekalkan subsidi bagi minyak masak paket, harga ayam ditetapkan mengikut harga siling serta mengekalkan tarif elektrik merupakan usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini untuk mengawal inflasi daripada terus membebankan rakyat. Susulan pengumuman Perdana Menteri tempoh hari mengenai BKM Fasa 2 serta BKM Tambahan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.74 bilion kepada 8.6 juta penerima melebihi jumlah kumpulan B40. Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah termasuk kumpulan M40.

PELIK

Baru-baru ini, ramai berpandangan bahawa kerajaan telah menarik subsidi untuk minyak masak berpaket dan juga ayam bulat. Namun jika diteliti dan difahami, kerajaan hanya menarik subsidi untuk minyak masak botol dan mengekalkan subsidi minyak masak paket. Subsidi ini melibatkan 60,000 tan metrik sebulan melebihi keperluan isi rumah sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

Namun yang pelik, ke mana hilangnya minyak masak bersubsidi ini? Malah di bandar-bandar besar hampir tidak kelihatan minyak masak paket.

Peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi iaitu sebanyak RM4 bilion berbanding RM500 juta (2020) serta RM2.2 bilion (2021).

Isu kenaikan harga ayam juga bukan perkara baharu tetapi apabila krisis Russia-Ukraine menyebabkan bekalan makanan dunia terjejas, kita sebagai negara ketiga tertinggi dunia bagi penggunaan ayam turut menerima tempias dari segi harga dan juga bekalan. Langkah segera dilaksanakan oleh kerajaan adalah menetapkan harga siling dan sehingga kini sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk subsidi harga ayam.

Mengenai tarif elektrik, kebanyakan pakar ekonomi berpendapat, kenaikan tidak dapat dielak memandangkan permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global. Ruang legar media sosial juga sudah penuh dengan jangkaan dan pandangan bahawa kerajaan akan menaikkan tarif elektrik.

Ternyata kerajaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia dengan tidak menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik, komersial dan industri. Bagi mengekalkan tarif ini, kerajaan komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion. Negara jiran kita, Indonesia mengenakan kenaikan tarif elektrik baharu selepas lima tahun sejurus berlaku peningkatan harga global.

Di sebalik peningkatan kadar inflasi, konsep ekonomi melihat perkara ini sebagai satu simptom yang baik terhadap pemulihan ekonomi negara memandangkan terdapat peningkatan dari segi permintaan melebihi penawaran. Namun, jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan kumpulan berpendapatan rendah seperti B40 dan B60 terjejas dengan peningkatan kos sara hidup.

Justeru, tidak adil untuk melihat kerajaan hari ini sebagai lemah dalam menangani isu inflasi kerana permasalahan global ini telah menjejaskan kebanyakan negara maju. Kita juga harus terus menyokong usaha kerajaan yang sentiasa memberi keutamaan bagi kemaslahatan hidup Keluarga Malaysia.

Untuk menangani kos sara hidup, kita harus berbalik kepada konsep asas ekonomi iaitu permintaan dan penawaran. Sekiranya permintaan kurang dan penawaran lebih, maka harga akan turun dengan sendirinya. Dalam keadaan yang mencabar ini, kita harus lebih kreatif dan mahu atau tidak, gaya hidup perlu diselaraskan semula. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Media Gerila Resources.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×