ALHAMDULILLAH, pada 30 Jun lalu, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Rabitah Al-‘Alam Al-Islami (Liga Muslim Sedunia) berjaya menganjurkan Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 berdekatan ibu negara. Persidangan ini menghimpunkan ulama dan ilmuwan terkemuka dari pelbagai negara di Asia Tenggara.
Penganjurannya begitu signifikan kepada dunia dan secara tidak langsung mengangkat Malaysia sebagai model rujukan mengurus kepelbagaian. Menerima hakikat realiti kemajmukan negara yang berbilang agama dan budaya, aplikasi fiqh al-ta’ayush perlu dihayati berteraskan tiga prinsip utama iaitu persaudaraan sesama Islam (ukhuwah Islamiyyah), persaudaraan sesama warganegara (ukhuwah wataniyyah) dan persaudaraan sesama insan (ukhuwah basyariyyah).
Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 telah mencapai Deklarasi Kesatuan seperti berikut:
. Perpaduan ummah haruslah dibina berpaksikan konsep tasamuh dalam pengamalan dan hubungan sesama manusia sepertimana dianjurkan oleh Islam.
. Fahaman pelampau dan ekstremis perlu ditolak.
. Konsep tasamuh dan menghormati hak-hak kemanusiaan perlu diangkat sebagai agenda utama dalam mempromosikan keamanan seluruh dunia.
. Hala tuju dan visi keamanan global perlu dirangka oleh para pemerintah dan pentadbir berasaskan prinsip holistik maqasid syariah dalam membina integriti dan nilai insaniyyah ummah bagi melahirkan sebuah negara yang maju, aman dan bersatu padu sepertimana saranan al-Quran baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
. Pendekatan fiqh ta’ayush (fiqh kehidupan bersama) perlu dijadikan kerangka asas oleh setiap negara dalam membina lanskap baharu ke arah perpaduan dan keharmonian yang inklusif.
. Pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan panduan dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi memastikan ajaran Islam disampaikan mengikut kefahaman yang betul.
. Seluruh umat Islam perlu menghentikan pertelingkahan, sebaliknya solidariti sesama ummah ke arah melahirkan khaira ummah.
Kepentingan menjaga keharmonian antara kaum dan agama sangat dititik beratkan oleh Islam. Al-Quran meletakkan prinsip ini dalam ayat 8 dan 9, surah Al-Mumtahanah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Hal ini juga boleh dilihat dalam ucapan-ucapan Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah. Antaranya menyentuh tentang pentingnya menjaga dan menjalinkan hubungan baik dalam kepelbagaian masyarakat pada ketika itu dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Dalam riwayat Al-Bukhari, Asma’ binti Abu Bakar berkata, mafhumnya: “Pada suatu hari, ibuku telah datang (dari Mekah) bertemu denganku (di Madinah) dan dia ketika itu masih lagi seorang musyrik pada zaman Rasulullah SAW. Kemudian itu, aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW (tentang kedatangan ibuku), aku bertanya, (Ibuku telah datang dari Mekah untuk bertemu denganku dan dia masih lagi seorang Musyrik), dan dia berkeinginan (untuk berbuat baik dengan anaknya), apakah aku boleh bersilaturrahim dengan ibuku?” Baginda menjawab, “Ya, bersilaturrahimlah dengan ibumu.”
Begitulah juga dalam konteks pentadbiran bernegara, terserlah kebijaksanaan baginda melalui intipati Piagam Madinah yang menjadi perlembagaan menyatupadukan kemajmukan masyarakat.
Perpaduan dan persaudaraan merupakan tunjang kekuatan umat Islam yang wajib dijaga dan diperkukuhkan. Lebih istimewa dalam konteks Malaysia, Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan sebab itu, penyatuan ummah menjadi suatu tuntutan agama sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Keluarga Malaysia berpayung di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kehidupan dalam kepelbagaian ini diwarisi sejak turun temurun lamanya. Masyarakat saling bekerjasama dan bebas mengamalkan budaya hidup masing-masing dalam suasana aman dan harmoni.
Pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum.
Bagi mengukuhkan nilai-nilai keharmonian dan kebersamaan antara penganut agama, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang bertanggungjawab merangka pelan tindakan serta inisiatif bersesuaian bagi memantapkan perpaduan dalam kalangan rakyat seiring pendekatan Keluarga Malaysia.
Jabatan Perdana Menteri juga menerbitkan dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera sebagai rujukan serta hala tuju pelaksanaan konsep tersebut dalam pentadbiran kerajaan. Dalam hal ini, agensi-agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan bersama-sama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan menggerakkan program-program berbentuk bantuan kebajikan untuk menyantuni semua golongan termasuk bukan Islam.
Inilah yang dinamakan pendekatan fiqh ta’ayush yang dipelopori oleh Islam bagi membentuk keharmonian masyarakat majmuk. Semua pihak saling memahami, hormat menghormati serta bertoleransi dengan penuh kerukunan.
Formula ini membuahkan kemakmuran kepada seluruh rakyat negara ini. Semua pihak adalah bertanggungjawab membumikan agenda perpaduan demi kemaslahatan masyarakat dan negara. – UTUSAN
SENATOR Datuk Idris Ahmad ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).











