SEMAKIN dekat tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semakin dilihat momentum perubahan undi Cina yang bakal berlaku dalam masa terdekat masih menunjukkan tiada apa-apa perubahan. Ini dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bahawa sebahagian besar pengundi Cina tidak keluar undi walaupun DAP dilihat adalah parti yang memiliki kerusi Parlimen Cina terbesar, iaitu 42.
Namun sehingga kini, DAP masih dalam keadaan terumbang-ambing untuk mendapatkan kembali sokongan undi Cina selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH). Ini boleh difahami sejak veteran politik, Lim Kit Siang berundur dari dunia politik menyebabkan juga DAP kehilangan hala tuju dalam mewarnai semula dunia politik Cina. Pemimpin-pemimpin pelapis Cina dalam DAP masih belum mampu menawan sebahagian hati pengundi Cina.
Lebih-lebih lagi apabila rata-rata pemimpin pelapis DAP kelihatan masih belum mencapai tempoh matang dalam dunia politik, iaitu sekurang-kurangnya 20 tahun. Bukan mudah untuk menyakinkan sebahagian pengundi Cina terutama generasi muda yang berumur 18 tahun buat pertama kali dapat mengundi.
Budaya politik Cina adalah lebih terbuka dan tidak berselindung. Tetapi mereka akan bersatu di bawah kepentingan bersama jika mana-mana parti yang mampu mewakili kaum Cina dapat menyakinkan sokongan tersebut.
Jika dilihat pada masa kini, MCA dan Gerakan masih dalam situasi tidak terkuat dan tidak sepopular seperti DAP semasa PRU14 lalu. Tetapi pada masa sama, DAP juga ditolak oleh beberapa kumpulan dalam pengundi Cina. Ini disebabkan DAP gagal membuat penyatuan dalam PH dan terdapat beberapa tindakan DAP dilihat menyebabkan berlakunya perpecahan PH. Malahan DAP juga dilihat kurang berkesan dalam memberi manfaat pertumbuhan ekonomi yang boleh membawa kemakmuran perniagaan ekonomi sebahagian besar masyarakat Cina selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Walaupun setelah kejatuhan PH dan berlakunya pertukaran kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) kepada BN telah menyebabkan berlakunya beberapa fasa perubahan sokongan undi Cina ke atas DAP. BN dilihat lebih meyakinkan dan mampu membawa satu perubahan progresif ke atas perniagaan ekonomi yang dilihat memberikan manfaat ke atas masyarakat Cina secara amnya.
Ini termasuk keterbukaan BN untuk berunding dalam situasi menang-menang di kedua-dua belah pihak, iaitu antara kerajan Keluarga Malaysia dengan kelompok peniaga Cina. Situasi ini memberikan satu keyakinan bahawa permasalahan perniagaan ekonomi yang merupakan nadi kehidupan masyarakat Cina mampu diselesaikan secara berhemah dalam masa terdekat.
NGO
Tekanan ekonomi dan ketiadaan ketokohan dalam politik pada masa kini menyebabkan pengundi Cina kurang berminat dengan situasi politik negara hari ini. Maksud ketiadaan ketokohan adalah bererti ketiadaan pemimpin Cina yang mampu membawa suara permasalahan masyarakat Cina di media sosial baharu umum.
Turut menyebabkan penurunan pengundi Cina keluar mengundi adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kelihatan kurang berminat dengan situasi isu politik semasa. Sebelum ini, NGO seperti Dong Zhong dan Hua Zhong amat memainkan peranan aktif dalam menyebarluaskan mana-mana parti yang boleh membawa satu perubahan lebih positif ke atas sosio masyarakat Cina. Tetapi pada hari ini kedua-dua NGO yang terbesar itu kelihatan semakin menjarakkan diri dalam kancah politik semasa.
Pandangan ini bukan disebabkan protes terhadap apa yang berlaku dalam krisis politik dan ekonomi negara pada masa kini. Tetapi lebih dilihat untuk menjarakkan daripada elemen-elemen yang tidak memberikan manfaat kepentingan bersama dalam masyarakat Cina.
Kemasukan pengundi Cina generasi Z dilihat semakin mempunyai jarak dengan pengundi Cina generasi X, Y dan baby boomers. Generasi Z pengundi Cina lebih kelihatan selesa tanpa menjebak diri dalam kancah isu politik semasa.
Bagi sebahagian mereka, apa yang berlaku dalam dunia politik kurang memberikan keuntungan kepada sosiokehidupan mereka sebagai kaum minoriti di negara ini. Boleh dikatakan hampir 70 peratus generasi Z ini tidak turun mengundi semasa PRN Melaka dan Johor. Trend ini juga menjangkiti sebahagian 50 peratus generasi Y. Akibatnya, DAP kalah dalam sebahagian besar kerusi yang dirampas semasa PRU14.
Kekalahan DAP ini memberikan satu isyarat jelas bahawa kemungkinan trend sokongan undi Cina akan menurun disebabkan keengganan pengundi putih mereka turun undi. Jika ini berlaku maka berkemungkinan kedudukan PH di beberapa negeri selain Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan dirampas kembali oleh BN dan hanya beberapa kerusi kembali kepada Gerakan.
Kekuatan DAP di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masih kelihatan utuh tetapi tidak sekuat seperti 2008. Akan berlaku penurunan kerusi DUN di Pulau Pinang dan Selangor termasuk kerusi Parlimen di Kuala Lumpur. Tetapi persoalannya, mampukah MCA dan Gerakan merampas semula tiga kawasan utama dikuasai DAP iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur?
Apa yang berlaku di PRN Melaka dan Johor tidak mustahil berlaku lagi. Tetapi sejauh manakah situasi yang berlaku tersebut akan memberikan impak perubahan ke atas trend pengundi Cina dalam PRU15? – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











