Cerai: Henti tabur aib sendiri - Utusan Malaysia

Cerai: Henti tabur aib sendiri

PASANGAN yang sedang melalui proses perceraian perlu berhenti menabur aib sendiri di media sosial dan bawa keterangan saksi serta bahan bukti secara bijak di mahkamah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Siapa yang menabur kebajikan, dapat menuai kehormatan.” – Leonardo da Vinci.

Sering kali apabila berlaku perceraian, kes akan menjadi rumit dengan emosi dan ego kedua-dua belah pihak menjadi pemandu utama penentu hala tuju perpisahan itu.

Kisah silam yang panjang diungkit dan diadu domba untuk tontonan masyarakat sekeliling bagi meraih simpati dan sokongan.

Tiada pihak yang ingin mengaku perkahwinan yang didirikan untuk kekal selama-lamanya sehingga hujung nyawa dan sampai jasad menjadi debu, terkandas di tengah jalan atas kesalahan diri sendiri.

Kerap berkumandang saban hari di mahkamah, keluarga yang mendengar permohonan perceraian, banyak pasangan memberikan pelbagai jenis alasan untuk menidakkan kesalahan dan kealpaan diri sendiri sehingga perceraian menjadi jalan pengakhir perkahwinan mereka.

Tiada siapa yang mahu mengaku bahawa kesilapan mereka memberikan kesan yang sangat besar kepada kehidupan peribadi dan keluarga. Lantas pelbagai jenis kesalahan pasangan yang diungkit sebagai menutup kekurangan diri masing-masing.

Atas alasan ini, media massa terutama yang berbentuk tabloid sering memilih untuk membuat liputan bagi kes-kes perceraian dalam kalangan orang ternama dalam negara, baik ahli politik, pelakon, penyanyi bahkan ahli perniagaan tersohor.

Cerita yang kecil dibesar-besarkan untuk menimbulkan sensasi kepada berita yang disajikan. Kisah peribadi paling sulit dan memerlukan perlindungan privasi dijadikan bahan bacaan yang disajikan untuk khalayak ramai.

Hal ini makin menjadi-jadi dengan adanya media sosial percuma yang dimanipulasi pasangan yang melalui proses perceraian. Mereka tidak segan untuk menjadikan kisah perceraian dan hal dalam kelambu sebagai bahan untuk meraih ganjaran maya.

Lagi jelik, pandangan orang ramai terhadap pasangan mereka, lebih tinggi ganjaran maya yang diperoleh.

Kisah yang patut dikemukakan dengan jelas di hadapan hakim mahkamah kini diterangkan kepada pengikut di media sosial yang akan menghakimi baik buruk tindakan pasangan itu.

Tangkap layar, rekod panggilan telefon dan segala macam gambar peribadi dimuat naik kepada pengikut dan dihujahkan agar lebih ramai pengikut memihak kepada diri mereka sambil mengecam pasangan yang sedang dalam proses untuk diceraikan. Hilang sudah rasa malu dalam masyarakat kita.

Selepas penceraian berjaya dimuktamadkan sama ada dalam bentuk lafaz talak atau perintah fasakh (pembatalan nikah) atau dekri nisi mutlak (perintah muktamad daripada mahkamah yang menamatkan atau membubarkan sesebuah perkahwinan bagi pasangan bukan Islam) yang telah dikeluarkan mahkamah, kes penceraian tidak habis di situ sahaja.

Bagi meneruskan nikmat mengadu domba di media sosial, dibawakan juga kes tuntutan hak penjagaan anak-anak, tuntutan harta sepencarian, hak mutaah atau pemberian sagu hati kepada pasangan perempuan, dan sudah tentu juga tuntutan nafkah.

BOBROK

Jika terasa aib masing-masing belum terlondeh, ditambah perencah dengan kisah kekasaran dalam rumah tangga, tuduhan kekerasan jenayah dan penderaan. Media sosial pun melahap kisah perceraian pasangan tersohor dalam satu lagi pusingan.

Masing-masing giat memberikan sokongan ataupun kecaman sambil berasa diri mereka sempurna atau maksum dan tidak tercela dengan dosa-dosa peribadi mereka.

Yang perlu diberatkan hanya dosa dan aib orang lain. Lebih malang lagi apabila ramai juga yang menokok tambah. Nyala api dibakar sehingga bersemarak. Tiada langsung yang segan dengan anak-anak generasi masa depan yang melihat sikap bobrok yang jelik ini.

Bahkan, anak-anak juga dijadikan modal untuk meraih ganjaran maya. Gambar anak-anak ditampal serata media sosial untuk menunjukkan betapa hebatnya pengorbanan yang mereka lakukan demi anak-anak dalam pada mereka mengecam ibu atau bapa anak-anak itu.

Mereka seakan lupa, apa yang dimuat naik ke dunia maya kekal untuk tempoh yang melangkaui jangka hayat mereka. Muka tulus anak-anak yang dahagakan kasih sayang ibu bapa mereka dijadikan bahan tontonan berterusan.

Jika pun ada jalan penyelesaian mudah yang boleh dipilih untuk menjaga maruah anak-anak ini, lebih gemar pasangan yang sudah bercerai memilih alternatif yang jauh lebih sukar. Semata-mata kerana ego mereka lebih tinggi nilainya daripada keperluan anak-anak.

Jarang sekali kita mendengar pasangan yang melalui proses perceraian melakukannya dengan rasa hormat terhadap diri sendiri, pasangan, ahli keluarga, sistem kehakiman ataupun masyarakat sekeliling.

Seakan sukar untuk mereka yang pernah tidur sebantal melihat bekas pasangan masing-masing sepertimana pandangan yang mereka berikan pada hari perkahwinan dimeterai sebelum ini.

Jika pun tiada lagi rasa hormat pada aib diri sendiri dan keluarga, suka diingatkan bahawa dalam kes penceraian yang masih belum dimuktamadkan di mahkamah, peraturan berkenaan dengan subjudis seharusnya dihormati.

Jika tidak takut dengan maruah yang tercalar, sepatutnya pasangan ini lebih segan dengan pandangan mahkamah yang mengadili kes perceraian dan tuntutan-tuntutan mereka.

Berhentilah menabur aib sendiri di media sosial dan bawakanlah keterangan saksi dan bahan bukti secara bijak di mahkamah ini. Perceraian bukan tiket untuk memalukan diri sendiri dan pasangan. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×