ISU pengurangan hari bekerja dari lima kepada empat hari seminggu terus mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat. Seperti biasa, ada yang menyokong dan ada yang menentang dengan pelbagai alasan serta justifikasi masing-masing.
Dilaporkan antara negara yang sudah mula melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu adalah Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Perkara ini mula menjadi perhatian masyarakat apabila baru-baru ini 70 syarikat membabitkan 3,000 pekerja di United Kingdom dilaporkan melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu, namun masih menerima gaji penuh untuk sebulan.
Pada 21 Jun lalu pula, media melaporkan sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu. Ia hasil tinjauan oleh Qualtrics, syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian. Menurut Qualtrics, pekerja bersikap terbuka terhadap minggu bekerja empat hari seminggu dengan dua pemacu utama kejayaan bagi cara bekerja baharu ialah mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan serta memastikan pekerja berjaya dalam persekitaran fizikal dan jauh.
Rentetan daripada perkembangan dalam trend dunia pekerjaan di peringkat global ini, maka timbul cadangan agar negara kita juga meneliti kemungkinan pelaksanaan tempoh bekerja tersebut. Sebagai langkah proaktif dan respons segera kepada isu ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.
Menurut Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah, kajian itu antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan serta jumlah waktu bekerja dalam sehari. Malah kajian juga akan turut melihat aspek pulangan pelaburan sama ada tempoh waktu bekerja itu relevan untuk dilaksanakan atau tidak.
Bagaimanapun, dalam respons segera terhadap isu ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan waktu bekerja empat hari seminggu masih belum sesuai dilaksanakan di Malaysia pada ketika ini berikutan masih terdapat beberapa perkara lain melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa pekerja yang belum diselesaikan kerajaan dan majikan.
Dalam kenyataan media terkini, JPA sekali lagi menegaskan bahawa cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian serta kajian sahaja dan sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan ini.
SYIF
Dalam pada itu, kaji selidik terbaharu dijalankan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menunjukkan sebahagian besar majikan di negara ini tidak bersedia melaksanakan dasar waktu bekerja empat hari dalam seminggu. Kaji selidik pada April lalu mendapati 60 peratus daripada 170 syarikat yang tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat yang mempunyai kerja syif, masing-masing tidak bercadang amalan minggu bekerja yang lebih singkat.
Antara cabaran dihadapi majikan untuk melaksanakan dasar itu termasuklah isu kerja lebih masa, jadual kerja dan keperluan pelanggan, selain faktor tenaga kerja yang berbeza di setiap bahagian dan syarikat. Misalnya, sejumlah 65 peratus syarikat berpandangan khidmat pelanggan mungkin terjejas sekiranya waktu bekerja empat hari seminggu dilaksanakan di samping syarikat juga terpaksa berdepan isu kos pengeluaran atau menanggung upah yang tinggi kerana perlu membayar upah kerja lebih masa.
Secara prinsipnya, semua perkembangan baharu ini mula mencetuskan polemik dalam kalangan majikan dan juga pekerja di mana sudah tentu pekerja menyambut baik cadangan ini manakala majikan kelihatan keberatan untuk melaksanakannya.
Jujurnya, tiada keperluan untuk kita mempolemikkan isu ini kerana tidak ada sebarang keputusan daripada pihak berkuasa, malah JPA juga hanya di peringkat penelitian dan kajian. Ironinya, tidak salah untuk JPA membuat kajian tentang perkara ini kerana kita perlu bersedia lebih awal jika budaya kerja empat hari dan cara kerja fleksibel bakal menjadi trend dunia kerjaya masa hadapan. Ia tidak mustahil untuk berlaku kerana ketika ancaman wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dasar bekerja dari rumah (BDR) telah menjadi norma baharu dan boleh diterima pakai oleh semua pihak terutama majikan.
Jadi, pada masa akan datang tidak mustahil akan wujud lebih banyak fleksibiliti dalam dunia pekerjaan termasuk tempoh masa empat hari bekerja. Dalam hal ini sudah pasti kualiti prestasi pekerja menjadi ukuran utama berbanding jumlah hari bekerja. Malah kita juga boleh meneroka pelbagai pilihan lain seperti bekerja empat hari di pejabat dan bekerja sehari dari rumah. Mungkin ini satu pilihan menang-menang antara majikan dan pekerja.
Maka dalam konteks ini, baik majikan mahupun pekerja perlu lebih terbuka dan bersedia menerima dan beradaptasi dengan perubahan serta pelbagai lagi amalan norma baharu dalam sektor pekerjaan. Hakikatnya perubahan pasti terus berlaku dan yang tidak bersedia akan ketinggalan.
Mungkin pada ketika ini isu menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan dan golongan belia yang menganggur menjadi keutamaan semua pihak berbanding berdebat tentang tempoh bekerja empat hari. Namun, kita juga tidak boleh menutup mata dan telinga serta mengabaikan perubahan yang berlaku di peringkat global. Hal ini kerana lambat laun dunia akan tetap ‘memaksa’ kita menerima perubahan tersebut.
Justeru, hanya yang bijak, berpandangan jauh serta mempunyai strategi yang betul mampu bertahan dan meneruskan kelangsungan kerjaya masing-masing. Maka tidak perlulah kita mempolemikkan isu ini, sebaliknya biar JPA dan para majikan meneliti dan mengkaji implikasi positif dan negatif cadangan ini secara menyeluruh sebelum kita membuat sebarang keputusan yang muktamad.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











