Berkorbanlah demi parti, rakyat

Berkorbanlah demi parti, rakyat

R– UTUSAN/FARIZ RUSADiO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING didengar saranan pemimpin-pemimpin politik supaya rakyat membuat pilihan bijak pada setiap kali tibanya pilihan raya umum (PRU). Diajaknya rakyat supaya berfikiran terbuka dan fokus dalam menilai parti atau calon mana yang benar-benar boleh disandarkan keyakinan untuk menerajui pemerintahan negeri atau negara.

Nyatanya, rakyat semakin faham dan tahu memilih yang terbaik. Sudah ada isyarat yang rakyat tunjukkan melalui beberapa pilihan raya di negeri-negeri tertentu. Ada gambaran bahawa rakyat sudah mula menoleh kembali kepada perlunya suasana asas politik negara yang stabil berpaksikan konsep konsensus, sederhana, inklusif dan adil untuk semua.

Rakyat ingin kembali berpaut pada gagasan parti yang terbukti mampu membawa negara bukan sahaja stabil dan maju dalam aspek politik, malah meliputi ekonomi dan sosial. Malaysia istimewa dan tersendiri. Sebuah negara yang bersifat majmuk dengan pelbagai kaum, agama dan berbeza latar belakang budaya tetapi hidup penuh muhibah dan progresif.

Lalu pada suasana begini, jangan salahkan rakyat jika mereka terluah sedikit rasa kecewa apabila melihat parti atau parti-parti yang mereka ‘idami’ sering berkocak dalam kalangan pemimpin sehingga ada kala boleh mengeruhkan keadaan. Tentu lebih wajar parti atau parti-parti berkenaan mempamerkan bahawa mereka tetap kuat, teguh, berpadu untuk memikul amanah rakyat.

Jadi, cabaran besar kepada parti atau pemimpin-pemimpin parti ketika ini adalah untuk menyerlahkan harmoni dan perpaduan agar keyakinan rakyat tidak terencat terhadap mereka.

Jangan buat rakyat ragu, kecewa dan keliru untuk membuat pemilihan. Masa tidak banyak berbaki bagi rakyat tercari-cari semula parti yang benar-benar berwibawa untuk memakmurkan kehidupan mereka dan negara.

PRU15 semakin hampir. Bercakaran sesama sendiri perlu ada batasnya. Kurangkan berpuak atau membina kem-kem tertentu. Cerita dalam rumah tangga selesailah secara baik, tidak perlu dihebahkan kepada umum. Nanti ada yang sengaja mengarang ‘skrip’ di luar konteks atau ada yang menambah cerita secara ‘berlebihan.’

Lebih bahaya jika sengketa keluarga disebar merata, sudah tentu akan ada golongan mengumpat mengata sambil mencari peluang mencuri hati rakyat mengalih sokongan kepada mereka.

Dan memang itu pun peluang yang sering ditunggu-tunggu untuk dicuri oleh para ‘pemain politik.’

Apa yang lebih dibimbangi, PRU15 tidak membawa penyelesaian ke arah kestabilan politik negara. Kehidupan pada umumnya semakin terhimpit dan mencabar. Malah seluruh dunia mengalami hal yang sama. Justeru, rakyat perlu memilih parti yang benar-benar kuat dan berupaya melaksanakan tadbir urus negara secara pragmatik dan berkesan.

UGUTAN, ANCAMAN

Antara aspek utama yang perlu distabilkan semula ialah politik. Agar tidak timbul lagi situasi kemenangan dengan majoriti tipis sehingga suasana sentiasa berada dalam ‘ugutan dan ancaman’. Hanya dengan kerajaan yang diterajui oleh gabungan parti yang kuat, berpengalaman, mampu merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar berkesan.

Aspek ekonomi penting untuk dipersegarkan. Kebajikan rakyat bergantung besar pada keupayaan ekonomi negara. Rakyat mahu banyak peluang pekerjaan dan mahukan sumber pendapatan selesa seiring dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat.

Sementara aspek sosial semakin memerlukan perhatian. Kehidupan rakyat perlu terkawal, baik dari segi keselamatan mahu pun kesejahteraan awam. Banyak kes yang timbul di luar jangka seperti penularan wabak penyakit, bencana alam, kemalangan, ancaman gejala dadah, penipuan dalam talian dan pelbagai lagi.

Pendek kata, begitu banyak agenda pemulihan dan pengukuhan semula pembangunan negara memerlukan tindakan wajar dan segera. Permudahkanlah kepada rakyat untuk mencari dan memilih naungan politik yang mereka benar-benar yakin boleh menangani segala apa diperlukan mereka dengan sebaiknya.

Oleh sebab itu, para pemimpin politik sepatutnya perlu fokus untuk mencari penyelesaian sesama sendiri bagi meraih sokongan, seterusnya bersedia untuk menabur khidmat bakti kepada rakyat dan negara secara mantap. Rapatkan persefahaman dan semangat setia kawan serta hilangkan petanda wujudnya situasi ‘setangkai tetapi tak sebau’ yang keterlaluan kepada kaca mata masyarakat umum.

Para pemimpin seharusnya berusaha mencari lebih ramai kawan daripada mengandaikan orang ramai perlukan mereka. Kurangkan sikap menggambarkan “Puak kami sajalah yang mampu membawa kemenangan kepada parti.” Jangan remehkan sokongan dan kerjasama daripada pihak lain.

Juga, seboleh-bolehnya elak menampakkan tersimpan cita-cita besar untuk menggapai jawatan tertentu. Berilah peluang kepada ahli parti untuk memilih atau sebaiknya pandai-pandailah menghidu aspirasi sebenar rakyat secara terbuka. Tegasnya, tidak perlu syok sendiri.

Sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha, hari raya korban, ambil semangat ‘sedia berkorban’ demi kepentingan parti dan pihak awam, yakni rakyat dan negara. Niat yang ikhlas selalunya kebaikan yang dibalas. Sebaliknya rakus dendam, harapan hati sering terpadam.

Harga sebuah keyakinan terlalu mahal untuk diperjudikan. Membinanya memakan masa, meruntuhnya mungkin hanya sekelip mata. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×