PERKARA 8(1) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub menyatakan, “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.” Ini adalah suatu jaminan undang-undang baik di mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah. Prinsip ini dihormati untuk sekian lama dan meskipun banyak timbul desas-desus dan tohmahan ketidakadilan di mahkamah, sebarang aduan berasas tetap diamati dan diadili sebaiknya.
Tiada kebenaran dalam mengatakan bahawa institusi kehakiman melebihkan mana-mana pihak berdasarkan jantina. Namun, terdapat juga undang-undang yang secara asasnya melebihkan wanita. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyatakan bahawa “Orang yang berhak menjaga kanak-kanak, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”
Malah di bawah subseksyen (3) memang jelas undang-undang menidakkan hak lelaki dengan memaktubkan, “Tiada seseorang lelaki berhak terhadap jagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.”
Diskriminasi sebegini adalah dibenarkan oleh undang-undang dan juga acuan sosial (social construct) yang mengiktiraf ibu sebagai penjagaan terbaik untuk kepentingan kesejahteraan, keselamatan dan pembesaran anak-anak. Undang-undang ini juga ada dalam sistem perundangan sivil bagi keluarga bukan Islam. Di bawah Seksyen 88(4) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah dianggarkan seeloknya dijaga oleh ibunya. Namun, anggaran ini boleh dipatahkan dengan membuktikan ketidakwajaran mengganggu kehidupan anak itu.
Mutakhir ini hangat memperkatakan tentang perintah komital yang dikeluarkan terhadap bekas isteri ahli perniagaan terkemuka dalam negara. Suka untuk diingatkan, setiap perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah hendaklah dipatuhi oleh semua pihak. Jika perintah tersebut tidak dipatuhi seperti tetapkan, pihak yang menuntut bolehlah memohon kepada mahkamah untuk memaksa pelaksanaan perintah tersebut.
Di dalam mahkamah syariah, khusus merujuk kepada 148 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585), memperuntukkan lima kaedah Penguatkuasaan Perintah antaranya melalui Seksyen 148 Perintah Pembayaran Wang yang boleh dikuatkuasakan dengan Perintah Penyitaan atau Jualan dan Hiwalah. Seksyen 149 menyatakan kaedah melalui Perintah Pemilikan bagi harta tidak boleh alih yang boleh dikuatkuasakan menerusi Perintah Pemilikan. Seksyen 150 Akta 585 menyebut tentang perintah harta serah bagi harta boleh alih. Seksyen 175 hingga 185 pula menyentuh secara khusus berkaitan Saman Penghutang Penghakiman.
KARIER
Kemudian, Seksyen 151 Akta 585 memaktubkan tentang Perintah Pengkomitan yang merupakan alternatif akhir kepada Seksyen 148, 149 dan 150. Di bawah Akta 585, terdapat juga kebenaran memulakan prosiding di mahkamah terbuka untuk mendapatkan perintah pengkomitan kerana menghina mahkamah (selepas prosiding tunjuk sebab) di bawah Seksyen 229.
Antara kaedah Pelaksanaan Perintah yang dibentangkan, Perintah Pengkomitan antara yang digeruni kerana melibatkan hukuman penjara dan bekemungkinan menjejaskan perjalanan karier seseorang.
Komital atau Penghinaan Mahkamah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu penghinaan yang dilakukan di dalam mahkamah dan penghinaan di luar mahkamah. Contoh penghinaan di dalam mahkamah adalah mengganggu perjalanan prosiding kes atau ingkar dengan sengaja apa-apa arahan mahkamah semasa kes dibicarakan.
Penghinaan di luar mahkamah pula adalah berbentuk ingkar Perintah Mahkamah (sama ada berbentuk perintah kekal kes induk yang diumumkan di akhir perbicaraan kes atau perintah interim dikeluarkan semasa kes masih berjalan), membicarakan kes sedang berjalan di luar mahkamah yang juga berpotensi menjadi sub judice serta membuat komentar atau ulasan terhadap hakim atau mahkamah secara tidak wajar.
Antara kes yang mengingkari Perintah Mahkamah adalah enggan bayar nafkah (sama ada idah atau anak), enggan serah harta sepencarian, enggan serah balik harta persendirian milik pasangan, enggan bayar wang (misalnya mutaah), enggan patuh injunksi (misalnya melupuskan harta atau melarikan anak), enggan serah anak dan enggan beri hak lawatan.
Natijah jika disabitkan atas penghinaan mahkamah adalah penjara selama tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000. Namun, peluang untuk prosiding rayuan masih wujud jika hukuman penjara bakal memberi impak negatif kepada perayu.
Mahkamah syariah tidak lari daripada membicarakan isu kes-kes melibatkan kekeluargaan. Skrip yang sama kerap berulang, bapa culas membayar nafkah manakala ibu enggan atau ingkar dengan sengaja menafikan hak akses lawatan bekas suami terhadap anak-anak. Ini semua bebanan yang perlu ditanggung oleh anak kecil yang sepatutnya pihak-pihak terlibat memikirkan the best interest of the children yang menjadi pasak utama.
Masyarakat harus meyakini bahawa institusi kehakiman adalah forum terbaik dalam memperoleh keadilan. Kedua-dua pihak, baik ibu mahupun bapa berhak melakukan Pelaksanaan Perintah jika ada pihak yang mengabaikannya. Pihak ketiga atau warganet usahlah menuang minyak ke dalam api yang marak semata-mata mengharapkan rating atau jumlah tontonan yang ramai di media sosial.
Institusi keluarga pula adalah satu amanah dan tanggungjawab besar kepada ibu dan bapa dalam mencorakkan ahli masyarakat. Jika pada peringkat awal anak-anak sudah rapuh emosi dan spiritualnya, apalah yang hendak diharapkan untuk menjadi pemimpin yang mempunyai daya tahan emosional utuh pada masa hadapan. Maka fikirkanlah kesejahteraan anak-anak sebelum ibu bapa memilih untuk menggunakan mana-mana jalan perundangan bagi menuntut hak masing-masing. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan aktivis Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).









