AKF: Pastikan majikan, pekerja ‘bahagia’

AKF: Pastikan majikan, pekerja ‘bahagia’

MENDESAK majikan menaikkan gaji berikutan kenaikan kos sara hidup semasa dilihat tidak relevan kerana majikan juga berdepan masalah sama selepas penularan Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI kita sedia maklum, semua pekerja di negara ini dibenarkan memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.

Pindaan akta ini jelas membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan keharmonian dan kesejahteraan dalam pekerjaan yang secara tidak langsung menyumbang kepada kehidupan lebih gembira dan panjang umur dalam kalangan rakyat. Berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia 2022, Malaysia berada di kedudukan ke-70 paling bahagia daripada 146 negara dan kita sudah tentu ingin berada dalam kedudukan lebih baik.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja. Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari secara bertulis tentang status permohonan sama ada menerima atau menolak dengan alasan.

Dasar yang diumumkan ini memberi peluang kepada majikan untuk mempertimbangkan pelbagai kategori AKF yang sesuai untuk organisasi mereka seperti bekerja dari rumah (BDR), waktu fleksi, tugas berkala, perkongsian kerja, peranan diubah, persaraan berfasa, minggu bekerja mampat, pulang kerja lebih awal, hari pelepasan pilihan pekerja, pertukaran syif, waktu kerja berperingkat dan pengurangan kerja.

Media baru-baru ini melaporkan, dapatan tinjauan firma Qualtrics bahawa sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar waktu bekerja anjal berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu. AKF mula mendapat tempat dalam negara kita dan di serata dunia apabila berlaku penularan virus Covid-19 sejak awal 2020. Secara tidak sedar, pelbagai kategori AKF telah diuji dari segi keberkesanan dan implikasinya oleh majikan sepanjang tempoh dua tahun ini. Majikan dan pekerja juga lebih mahir dan matang dalam menggunakan pelbagai kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ketika AKF dilaksanakan sebelum ini.

Ada majikan yang terus melaksanakan pelbagai kategori AKF seperti amalan kerja secara hibrid walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik dan amalan ini sudah mula diterima sebagai norma baharu dalam sistem kerja. Justeru, tidak keterlaluan sekiranya kita kata AKF boleh dilaksanakan di negara ini tanpa banyak halangan.

Pelbagai negara telah lama melaksanakan AKF sebelum pandemik Covid-19 lagi. Finland, Australia, Norway dan Sweden boleh dikatakan keterhadapan dalam perkara ini dengan penggubalan undang-undang dan akta berkaitan yang mewajibkan (sekiranya dipohon) kemudahan tersebut diberikan kepada golongan sasar seperti pekerja yang mempunyai keluarga dengan anak-anak kecil.

Belgium, Perancis, German, New Zealand, Belanda dan United Kingdom antara lainnya menyediakan kemudahan AKF yang boleh dimohon oleh pekerja sama seperti yang akan dilaksanakan di Malaysia.

HIBRID

Cisco dalam kajian terkini mendapati 60 peratus pekerja di Malaysia percaya kualiti kerja mereka meningkat, manakala 55 peratus berpandangan produktiviti kerja bertambah baik dengan amalan kerja secara hibrid.

Kajian TalentCorp dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia dalam kalangan majikan dan pekerja mendapati 60 peratus responden melaporkan peningkatan dalam produktiviti dengan AKF. Antara penyumbang kepada peningkatan produktiviti ini adalah pekerja jauh lebih gembira kerana tidak lagi perlu menghabiskan masa yang lama untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Keperluan untuk berada di jalan raya ketika waktu puncak dan seterusnya berhadapan kesesakan jalan raya antara penyumbang utama kepada tekanan emosi dapat dielakkan.

Bagi majikan pula, terdapat peluang untuk mengurangkan kos overhed tertentu sekiranya AKF dirancang dengan teliti.

Kajian syarikat Cisco juga melaporkan 79 peratus pekerja Malaysia menyatakan kesejahteraan hidup mereka bertambah baik dalam lima aspek iaitu emosi, kewangan, mental, fizikal dan sosial ketika mengikuti aturan kerja hibrid dan kerja jarak jauh.

Seperti kita sedia maklum, kebanyakan perniagaan masih belum pulih sepenuhnya selepas bergelut dengan pandemik Covid-19. Industri tertentu masih belum beroperasi dalam kapasiti penuh disebabkan kekurangan pekerja terutama pekerja asing. Peningkatan ketara kos perniagaan disebabkan penguatkuasaan dasar gaji minimum RM1,500 ditambah dengan keperluan menyemak semula sistem kerja sedia ada selaras dengan dasar AKF sudah tentu menambahkan lagi beban majikan.

Pengumuman kerajaan bahawa AKF tidak bersifat ‘mengikat’ majikan untuk melaksanakannya, sebaliknya memberi ‘pilihan’ dalam menentukan kesesuaian mengambil kira model perniagaan masing-masing adalah wajar.

Menjelang tarikh penguatkuasaan, pihak-pihak terlibat sudah tentu mahukan lebih banyak pencerahan terutama dari aspek model pelaksanaan dan implikasi berkaitan agar dasar ini kelak tidak menjadi punca kepada pergeseran di antara majikan dan pekerja yang boleh memberi kesan kepada produktiviti dalam jangka masa panjang.

Pihak berwajib diharap dapat menyediakan panduan jelas mengenai hak dan obligasi organisasi seperti proses permohonan, menolak dan membuat rayuan berhubung AKF.

Kejayaan pelaksanaan AKF bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada kesungguhan dan komitmen pihak pengurusan atasan majikan bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kerjasama daripada pekerja juga penting untuk turut bersama majikan membantu membangunkan AKF. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah Pengurusan & Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN