BERITA muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk Stadium Shah Alam diroboh? kelmarin benar-benar mengejutkan segenap lapisan masyarakat sehingga media sosial dibanjiri perkongsian gambar-gambar kenangan mereka di bangunan ikonik Selangor itu. Namun berdasarkan perkongsian tersebut, ramai sebenarnya menjangkakan stadium ketiga terbesar di Asia Tenggara tersebut bakal dirobohkan dan menganggap ‘cakap-cakap’ itu sudah lama, tetapi tiada siapa mahu mengesahkannya.
Ini kerana dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, penyelenggaraan stadium berkenaan didakwa terabai apabila sedikit demi sedikit kerosakan dialaminya dan lama-kelamaan keadaan itu dilihat menyakitkan mata. Masakan tidak, mana-mana laluan masuk ke Seksyen 13, Shah Alam, stadium adalah yang pertama kelihatan bila melalui Jalan Monfort dan Persiaran Sukan dari arah Jalan Subang di Glenmarie atau Bulatan Stadium dari Persiaran Hishamuddin.
Stadium Shah Alam begitu ikonik bukan sahaja kepada peminat sukan, bahkan kepada sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke stadium keramat pasukan Red Giants sama ada untuk menonton perlawanan bola sepak atau berbelanja barang dapur di pasar tani pada setiap hujung minggu. Paling-paling tidak pun kalau yang pernah kena Covid-19 dalam tempoh 2020 hingga 2021, mesti pernah datang ke Stadium Malawati bersebelahannya yang dijadikan pusat penilaian (CAC) untuk menjalani saringan awal kesihatan sebelum dihantar ke pusat kuarantin.
Itulah kali terakhir Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dikerumuni orang yang beratur panjang sampai tular dalam media sosial sebelum ditutup sepenuhnya sehingga hari ini atau mungkin dibuka pada 2026 nanti. Sebelum ini. stadium kebanggaan rakyat Selangor itu pernah ditutup sekitar 2013 hingga 2014 kerana kerja-kerja membaik pulih, tetapi selepas dibelanjakan kira-kira RM140 juta, ia ditutup semula.
PEMBANGUNAN SELURUH KSSA
Malah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pernah memaklumkan stadium berkenaan ditutup selama dua tahun bermula 2020 bagi kerja-kerja baik pulih dan menjangkakan boleh kembali digunakan pada 2022. Namun, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Ogos tahun lalu memaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan pada tahun ini. Tak mungkinlah siap pada tahun sama.
Beliau memaklumkan perkara itu diputuskan Menteri Besar selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Jun 2021 bagi membangunkan semula KSSA. Bagaimanapun, Amirudin pada Sabtu lalu mendedahkan, stadium berkenaan boleh diguna atau KSSA dibuka kepada awam kira-kira empat tahun lagi kerana hendak diselaraskan dengan projek Aliran Transit Ringan (LRT) yang dijangka siap pada 2026.
Isu stadium pernah dibangkitkan dalam sidang DUN sejak 2018 dan sesetengah pihak mendakwa Menteri Besar memberikan bermacam-macam alasan. Sehingga kini kerajaan negeri pun enggan mendedahkan kos sebenar diperlukan untuk selenggara dan baik pulih stadium berusia 28 tahun itu sehingga didakwa bakal dirobohkan untuk dibina yang baharu dengan kapasiti penonton lebih kecil.
Namun persoalannya, adakah perlu dibina stadium baharu yang bakal menelan belanja lebih RM350 juta mengikut taksiran Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti dinyatakan Amirudin, apatah lagi apabila beliau mengumumkan pembangunannya akan dibuat secara menyeluruh?
Apakah pembangunan yang akan dibuat? Siapa yang mencadangkan?
Persoalan-persoalan sedemikian timbul kerana kawasan KSSA amat luas menjangkau lebih 200 hektar terletak di pusat bandar Shah Alam dan kurang 30 kilometer dari Kuala Lumpur, pastilah nilai hartanahnya memukau si kapitalis.
Seksyen 13 pada 1970-an pernah digazetkan sebagai bandar sukan yang mana di situ pernah ada Litar Lumba Batu Tiga. Litar itu pun satu lagi kekecewaan buat rakyat Selangor apabila tempat yang pernah dianjurkan Kejohanan Grand Prix Malaysia ditutup pada 2003 dan digantikan dengan rumah mewah, kondominium, pusat beli-belah dan bangunan komersial.
Selain itu, di Seksyen 13 terdapat dua pusat beli-belah iaitu pasar raya Lotus’s dan AEON Mall, malah mudah diakses melalui Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dan Lebuhraya Guthrie, menjadikannya kawasan bernilai tinggi.
Justeru, jika pembangunan hendak dilakukan, apa yang dijanjikan kepada pemaju swasta sehingga mereka sanggup menyertai kerajaan negeri melalui kerjasama awam-swasta bagi membangunkan semula KSSA? Pelaburannya bukan sedikit, keuntungannya pasti diharapkan lumayan. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.











