Universiti mangsa penjajahan bentuk baharu

Universiti mangsa penjajahan bentuk baharu

PROFESOR dan sarjana kita perlu bersuara dengan berani dan ikhlas supaya universiti kembali kepada peranan sebenar sebagai pusat pengembangan dan penerokaan ilmu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUGAS utama pensyarah dan profesor universiti adalah pengajaran-pembelajaran (P-P) dan kemudian diikuti menjalankan penyelidikan, penyeliaan, penerbitan dan melakukan khidmat masyarakat dalam bidang dan kepakaran masing-masing.

Penyelidikan, penyeliaan dan penerbitan adalah bagi mengukuhkan dan memantapkan tugas utama seseorang pensyarah dan profesor iaitu P-P.

Tidak ada maksud lain daripada peningkatan ilmu dan mendidik mahasiswa, jauh sekali daripada tujuan bukan akademik dan bersifat kebendaan.

Inti atau asas utama seseorang pensyarah dan profesor adalah bagi meningkatkan ilmu yang dikuasai dan dikembangkan kepada mahasiswa yang dididik.

Tanpa pensyarah dan profesor yang betul-betul matang, adalah sukar bagi melahirkan universiti yang cemerlang dan graduan yang benar-benar bermutu.

Adakah perkara ini masih menjadi asas utama perjalanan sesebuah universiti di Malaysia kini atau tugas seseorang pensyarah sekarang telah beralih kepada kerja lain yang tidak sepatutnya?

Apakah yang menyebabkan aspek pengukuran dan penilaian terhadap seseorang pensyarah ini berubah? Adakah kesan penarafan (mengejar ranking) dan kedudukan sesebuah universiti di peringkat antarabangsa mempengaruhi perkembangan dan aspek penekanan terhadap seseorang pensyarah?

Apakah sebenarnya yang dapat ditafsirkan daripada sistem ranking dan penarafan sesebuah universiti (seperti antara 50 universiti terbaik dunia, 100 universiti terbaik dunia dan seumpamanya)? Apa untungnya kepada mahasiswa dan pembinaan tamadun bangsa serta peningkatan ilmu sebenarnya?

Adakah ada terselit unsur-unsur eksploitasi negara maju terhadap negara sedang membangun scara tak sedar? Kesemua soalan ini adalah persoalan asas yang perlu difikirkan bersama bagi kemajuan jangka panjang pendidikan tinggi kita.

Jangan kita asyik dengan ‘kegilaan’ mengejar ranking, sehingga terlupa matlamat sebenar universiti dan alpa peranan sebenar menara gading kepada anak bangsa kita.

P-P tidak lagi dilihat sebagai satu yang penting dan menjadi asas serta tugas utama. Kuliah terbaik yang benar-benar berkesan bukan lagi dilihat sebagai suatu yang utama.

Atau tugas seseorang pensyarah sekarang telah beralih kepada tugas lain yang tidak sepatutnya? Tugas utama beralih kepada unsur-unsur lain yang berkaitan dengan penarafan kedudukan universiti.

Penyelidikan yang bersifat komersial dengan jumlah dana yang besar ratusan ribu atau jutaan ringgit lebih dilihat penting. Penyelidikan tanpa dana yang besar walaupun ada hasilnya yang baik tidak dilihat oleh kebanyakan universiti sebagai satu yang penting. Dana yang besar itu mempunyai makna yang besar dan lebih diiktiraf.

Harus diingat bahawa dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, tidak semua penyelidikan memerlukan dana yang besar. Dana yang besar dan hasil yang baik tidak selalunya memberikan hubungan yang positif. Ada penyelidikan yang tidak memerlukan dana yang besar.

YURAN

Adakah penerbitan lebih penting daripada P-P? Dalam realiti yang berlaku, penerbitan dalam jurnal Scopus dan Web of Science (WoS) dilihat sangat penting. Penerbitan dalam jurnal yang tidak berimpak tinggi dilihat sebagai tidak lagi penting.

Seseorang yang tidak memberikan kuliah yang baik, tetapi banyak menghasilkan penerbitan dalam jurnal Scopus Q1 dilihat sebagai seorang pensyarah yang berjaya. Apakah pengukuran sebenar yang dilihat oleh pentadbir sesebuah universiti kini bagi mengukur seseorang pensyarah itu baik/cemerlang dan sebaliknya?

Secara umumnya seorang yang mendapat dana penyelidikan yang besar, banyak menjadi ketua penyelidik dan banyak menghasilkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi (Scopus Q1 misalnya) dianggap sebagai seorang pensyarah yang berjaya.

Sebaik mana pun seseorang itu memberikan kuliah, P-P yang berkesan yang berjaya membina darjah kematangan dan daya fikir mahasiswa; tanpa dana yang besar dan tanpa artikel dalam jurnal berimpak tinggi-seseorang itu dianggap sebagai tidak cemerlang.

Penerbitan buku juga dilihat bukan aspek yang penting, jauh sekali menjadi pertimbangan besar dalam kenaikan pangkat kepada profesor. Buku yang dihasilkan tidak dilihat suatu perkara yang penting.

Adakah kesan penarafan (mengejar ranking) dan kedudukan sesebuah universiti di peringkat antarabangsa mempengaruhi perkembangan dan aspek penekanan terhadap seseorang pensyarah?

Pengukuran dan penilaian yang berubah seperti yang dinyatakan di atas mempunyai hubungan rapat dengan penarafan dan mengejar ranking di peringkat antarabangsa.

Jumlah dana dan jumlah artikel dalam jurnal berimpak tinggi adalah antara elemen penting dalam penentuan ranking di peringkat antarabangsa. Di mana kebanyakan jurnal berimpak tinggi ini? Siapa penerbit yang menerajuinya? Sudah pasti kebanyakannya di negara maju.

Adakah ini tidak dilihat sebagai sebahagian daripada pengaliran wang dari negara sedang membangun ke negara maju.

Yuran penerbitan jurnal-jurnal ini agak besar, tetapi terpaksa dikorbankan demi meningkatkan bilangan dan mengejar kedudukan ranking. Eksploitasi berlaku dalam bentuk yang tak nampak, tetapi mencengkam serta menindas negara sedang membangun. Dalam aspek ini, ia boleh dilihat sebagai satu bentuk penjajahan baharu.

Apakah keuntungan sebenar daripada persaingan mengejar ranking dan kedudukan sesebuah universiti di peringkat antarabangsa? Kesan positif yang sebenar boleh dipersoalkan. Ia tidak lebih supaya universiti kita berada dalam satu sistem yang diterima di peringkat antarabangsa.

Apa untungnya kepada mahasiswa dan pembinaan tamadun bangsa serta peningkatan ilmu sebenarnya? Kita mesti kembali kepada peranan sebenar universiti sebagai pusat pengembangan dan penerokaan ilmu.

Universiti perlu dimajukan berasaskan asas dan falsafah kita. Pemikir, profesor dan sarjana kita perlu bersuara dengan berani, ikhlas dan terbuka.

Tak perlu lagi kita tunduk kepada acuan luar dan melupakan asas sebenar matlamat dan falsafah asas penubuhan universiti kita.

Untuk meruntuhkan sesebuah negara, tidak semestinya dengan bom nuklear dan serangan senjata. Dengan merosakkan sistem pendidikan, khususnya pendidikan tinggi maka rosak dan musnahlah akhirnya sesebuah negara bangsa itu. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN