Ujian litmus buat JKM

Ujian litmus buat JKM

PADA minggu lalu sekali lagi masyarakat digemparkan dengan perkembangan terbaharu perbicaraan tuduhan pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak sindrom Down bernama Bella (tengah). – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA minggu lalu, sekali lagi masyarakat digemparkan dengan perkembangan terbaharu perbicaraan tuduhan pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak sindrom Down bernama Bella. Pendakwaan memanggil jurugambar polis bagi memberikan keterangan mengenai gambar-gambar kecederaan adik Bella yang telah diambil olehnya.

Ternyata gambar kecederaan adik Bella ini amat menyayat hati. Malah mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan buat sementara waktu bagi memberikan masa kepada pasukan pendakwa raya yang telah terkesan selepas gambar-gambar kecederaan ini dipamerkan di dalam mahkamah.

Pada 25 November 2021, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd. Razali yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan pengabaian, didakwa dengan pertuduhan penganiayaan terhadap Bella menurut Seksyen 31(1)(a) & (b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Secara umumnya, pengabaian merupakan perbuatan cuai, lalai dan tidak berhati-hati dalam memberi perhatian sehingga menyebabkan berlakunya sesuatu masalah. Hal ini selari dengan tafsiran undang-undang yang menyatakan hal sama dalam membuktikan kewujudan perbuatan yang lalai sebagai suatu tort.

Walaupun ada kajian termasuklah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia yang menggambarkan pengabaian sebagai suatu bentuk penderaan, namun perkara ini dinyatakan sebaliknya oleh Anjli Doshi Gandhi (pakar kekeluargaan) yang menjelaskan terdapat perbezaan di antara pengabaian dan penderaan.

Pengabaian berlaku apabila ibu bapa atau penjaga gagal bertindak dalam memelihara keperluan asas terhadap perkembangan, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak. Penderaan pula merupakan satu keganasan yang jelas dilakukan secara fizikal, emosi dan seksual oleh individu terdekat dengan kanak-kanak.

Hal ini bertepatan dengan Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 dalam Seksyen 17 dan Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperincikan bahawa penderaan secara fizikal boleh dikesan melalui kecederaan di bahagian anggota badan akibat kekerasan dan kesan penggunaan sesuatu objek.

Pada tahun lalu, seorang pengasuh yang mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkan mangsa patah tulang belakang dan lumpuh separuh badan didakwa di bawah Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001. Walaupun tiada keterangan mengenai bagaimana kanak-kanak itu boleh mengalami kecederaan sebegitu ataupun siapa yang mengakibatkan kecederaan tersebut, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 ke atas pengasuhnya. Hukuman ini mematahkan tanggapan orang ramai yang melihat pengabaian sebagai ‘lebih ringan’ berbanding penderaan.

BATANG PENYAPU

Lantas membuktikan bahawa bagi pertuduhan pengabaian, mahkamah hanya perlu mengambil kira sama ada penjaga gagal dalam memelihara keperluan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Sebaliknya bagi pertuduhan penderaan, mahkamah perlu menentukan sama ada ibu bapa atau penjaga telah mendera kanak-kanak tersebut. Seperti kes jenayah lain, pembuktian pertuduhan penderaan bergantung kepada bukti-bukti fizikal seperti gambar kecederaan, keterangan pakar perubatan, keterangan mangsa dan saksi-saksi lain.

Baru-baru ini di Kuching, sepasang kekasih masing-masing dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Mahkamah mendapati tertuduh yang merupakan pengasuh telah mendera mangsa menggunakan rotan, batang penyapu dan batang bulu ayam sehingga menyebabkan kecederaan. Bukti-bukti fizikal seperti gambar kecederaan di bahagian pipi kanan, tangan kanan, siku kanan dan calar-calar di dada kiri dan kanan serta keterangan mangsa diambil kira oleh mahkamah.

Bagi pengabai atau pendera yang didapati bersalah, liabiliti mereka bukan sahaja terhad kepada perihal jenayah tetapi juga liabiliti sivil di mana harus membayar pampasan kerana pengabaian atau penderaan yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Seksyen 10(1) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 menjelaskan: “Jika seseorang mangsa keganasan rumah tangga mengalami kecederaan diri atau kerosakan atau kerugian kewangan akibat daripada keganasan rumah tangga itu, mahkamah yang mendengar tuntutan bagi pampasan boleh menganugerahkan apa-apa pampasan berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan atau kerugian itu sebagaimana yang difikirkan adil dan munasabah.”

Seksyen 10(2) menyatakan, mahkamah yang mendengar tuntutan bagi pampasan itu boleh mengambil kira kesakitan dan penderitaan mangsa, dan jenis dan takat kecederaan fizikal atau mental yang dialaminya; kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu; apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya; amaun atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan; perbelanjaan perlu dan munasabah yang ditanggung oleh atau bagi pihak mangsa apabila mangsa terpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana keganasan rumah tangga itu.

Jelas, Malaysia mempunyai rangka perundangan yang komprehensif bagi menangani isu pengabaian dan penderaan yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita. Namun, komplikasi boleh berlaku bagi kanak-kanak yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti Bella. Umum tahu, penjaga mereka di bawah perundangan adalah Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan atau Pengetua Rumah Kanak-Kanak. Sebarang tindakan sivil bagi kanak-kanak ini harus dimulakan oleh penjaga mereka.

Pada pendapat saya, di sinilah bermula litmus test bagi membuktikan JKM memandang serius tanggungjawab mereka sebagai pelindung kanak-kanak dan mangsa pengabaian dan penderaan atau mereka juga merupakan sebahagian daripada permasalahan yang menyumbang kepada penularan insiden penderaan kanak-kanak. – UTUSAN

PENULIS ialah peguam cara litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN