MUKADIMAH
BARU-BARU ini, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi memohon pengisytiharan bahawa Sabah berhak ke atas 40 peratus hasil negeri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan setiap tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan yang pemberian khas menerusi geran tahunan dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta berbanding RM26.7 juta sejak 1973.
Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO), NELSON W. ANGANG yang juga peguam yang mengetuai tindakan undang-undang tersebut mendakwa pemberian khas itu tidak berdasarkan pada formula 40 peratus dan kenaikan geran tahunan menimbulkan persoalan sama ada Sabah tidak serius dalam memperjuangkan 40 peratus hasil negerinya.
Ikuti wawancara beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, baru-baru ini.
UTUSAN: Apa pendapat anda mengenai gandaan baharu pemberian khas ini?
NELSON: Kerajaan negeri sepatutnya berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan sebarang kajian semula di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebelum pengiktirafan dan kebolehgunaan formula 40 peratus dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri tanpa perlu berkompromi perlu berjuang dan menuntut 40 peratus hasil negeri sejak sekian lama.
Ini penting kerana jawapan diberikan Tengku Zafrul (Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) sebelum ini menyatakan bahawa formula 40 peratus ‘tidak lagi terpakai’ adalah bertentangan dengan Perlembagaan.
Anda akan mengetuai tindakan undang-undang ini?
Ya, saya peguam yang mengetuai tindakan mahkamah. Saya sudah memfailkan kes ini. Proses selepas ini adalah kami akan menyerahkan dokumen tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan dan Sabah. Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk pendengaran kes.
Mengapa kerajaan negeri Sabah tidak wajar menerima kenaikan geran?
Sabah sebenarnya berhak dan wajar menerima kenaikan geran lebih tinggi. Saya percaya hak dan nilai sebenar jika berdasarkan formula 40 peratus adalah jauh lebih besar daripada jumlah yang baru dipersetujui antara kedua-dua pihak (Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri).
Memandangkan kajian semula pemberian khas yang dipersetujui tidak berdasarkan formula ini, bermakna kerajaan negeri telah memberikan suatu precedent (duluan) untuk kajian semula pada masa hadapan yang pasti merugikan Sabah. Silap hari bulan, Sabah mungkin sampai bila-bila tidak akan dapat menerima 40 peratus hasil negeri lagi setelah kajian semula geran khas tahunan dilakukan.
Ini kerana untuk membuat kajian semula di bawah Perkara 112D, jumlah dipersetujui mestilah berdasarkan formula 40 peratus. Apa yang berlaku pula menyaksikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju membuat kajian semula dengan satu jumlah yang bukannya berdasarkan formula tersebut dan pada masa sama menyatakan akan terus berunding. Niat dan penggunaan Perkara 112D bukan seperti itu dan keputusan ini bagi saya adalah tidak berperlembagaan.
Contoh duluan yang bagaimana pula?
Saya khuatir kerajaan mungkin beralasan: “Oh, Sabah sebelum ini pernah bersetuju menerima geran tahunan dan tidak mahu guna formula 40 peratus.” Silap hari bulan kita (Sabah) yang akan terduduk.
Andai kata pada 20 tahun akan datang, jika kita berusaha menuntutnya semula, kerajaan akan guna alasan ini. Oleh itu, formula 40 peratus sudah tidak perlu diikuti.
Atas alasan apa Kerajaan Persekutuan tidak beri kadar 40 peratus?
Kerajaan mungkin tidak mahu beri atas alasan tiada wang kalau mahu dituntut sejak 1974. Mengapa Tengku Zafrul sebelum ini kata ia sebagai tidak lagi terpakai, kerana bagi mereka tiada semakan langsung dilakukan sejak dari tahun itu.
Kerajaan berpendirian memberikan geran sedia ada yang dipersetujui waktu itu kerana dalam Perkara 112D menyatakan, kalau tiada semakan semula, jumlahnya akan berterusan dibayar.
Kami tidak bersetuju dengan tafsiran yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kerana dengan jelas kajian pertama pada 1969 adalah hanya untuk tempoh lima tahun dan kegagalan untuk membuat kajian semula pada 1974 telah menyebabkan Sabah tidak mendapat jumlah sebenar berdasarkan kepada formula 40 peratus.
Walaupun kerajaan negeri bersetuju dengan kenaikan geran, mereka tetap menuntut 40 peratus?
Apabila kerajaan negeri kata akan menuntut hak 40 peratus, adakah mereka akan menuntut bermula sejak 1974? Sekarang kerajaan umum pemberian khas baharu tetapi bermula dari 2022 sahaja.
Ini bermaksud, hak Sabah untuk mendapatkan jumlah yang sepatutnya diterima masih tidak dibuat dan dihormati. Ini mengakibatkan kerugian kepada rakyat Sabah kerana ia memberi kesan terhadap pembangunan negeri bukan sahaja dari segi infrastruktur dan sosioekonomi rakyatnya.
Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana setiap saat pemberian geran dengan nilai sebenar berdasarkan 40 peratus yang tidak dibuat akan memberi kesan sangat buruk.
Bayangkan jika nilai sebenar ini diberikan kepada negeri, Sabah akan mempunyai kemampuan untuk membuat perancangan dan membangunkan negeri dari dahulu lagi. Hasilnya, saya berani katakan kualiti hidup rakyat Sabah jauh lebih baik daripada apa yang dilalui sekarang.
Berapa jumlah wang diperoleh Sabah daripada 40 peratus itu?
Untuk tahu berapa jumlah sebenar daripada 40 peratus, kita mesti tahu berapa jumlah penuh yang Kerajaan Persekutuan kutip daripada Sabah. Tetapi, masalahnya kerajaan langsung tidak beritahu berapa kutipan sepenuhnya diperoleh daripada Sabah.
Katalah Kerajaan Persekutuan kutip hasil 100 peratus daripada Sabah, 40 peratus daripadanya mesti dikembalikan. Kalaulah formula ini dihormati sejak awal, tidak akan timbul isu kerajaan ‘tidak mempunyai wang cukup’ kerana selepas dikutip, mereka perlu menyerahkan semula kepada Sabah sebelum mengguna hasil kutipan itu.
Kalau kerajaan tetap tidak iktiraf 40 peratus hasil negeri?
Kalau kerajaan negeri dan Persekutuan tidak setuju jumlah perlu dibayar mengikut formula 40 peratus ini, ia perlu dibawa ke mahkamah. Tanggungjawab untuk mentafsir Perlembagaan apabila berlaku pertikaian terletak kepada bidang kuasa mahkamah dan bukan pentaksir bebas. Hanya mahkamah boleh putuskan sama ada semakan semula patut dibuat dan berapa jumlah sebenarnya. – UTUSAN











