Tolak tambah, jumlah kereta tetap sama - Utusan Malaysia

Tolak tambah, jumlah kereta tetap sama

MOHAMMAD HISHAM SHAFIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DANGKAL dan berat sebelah. Itu tegas Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), MOHAMMAD HISHAM SHAFIE berhubung cadangan pakar mengenai pelupusan kereta berusia 10 tahun ke atas sebagai alternatif menyelesaikan kesesakan lalu lintas di negara ini.

Katanya, cadangan itu mustahil dapat mengatasi keadaan jalan raya yang sesak memandangkan melupus dan kemudian membeli kenderaan baharu tidak akan mengurangkan jumlah 34 juta kenderaan yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, baru-baru ini, Mohammad Hisham berharap kerajaan lebih peka dan berjuang untuk meningkatkan ekonomi rakyat sebelum setuju dengan mana-mana cadangan kononnya daripada ‘pakar’ berkaitan isu ini agar dapat menjalani kehidupan lebih sihat dari segi mental dan fizikal.

UTUSAN: Pandangan mengenai cadangan pakar yang mengatakan kereta berusia lebih 10 tahun perlu dilupuskan sebagai salah satu alternatif menyelesaikan kesesakan lalu lintas?

MOHAMMAD HISHAM: Kita melihat cadangan kononnya daripada pakar tapi sebenarnya bukannya pakar. Seharusnya cadangan perlu disertakan kajian terperinci berdasarkan data di samping perlu melihat keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat.

Maka, barulah kita mengeluarkan cadangan dan pandangan. Tetapi cadangan yang dangkal ini saya yakin mereka bukanlah layak digelar pakar. Semua ini hanyalah cadangan yang berat sebelah serta membebankan pengguna jalan raya.

Sebagai contoh, jika satu-satu kenderaan dilupuskan dan pengguna membeli lagi satu kenderaan, di manakah jumlah kenderaan dapat dikurangkan? Ia seperti tolak satu dan kemudian tambah satu. Pasti jawapan tersebut adalah sama. Dengan jumlah yang sama, adakah kesesakan jalan raya dapat dikurangkan? Jawabannya tetap tidak boleh.

Di negara maju termasuk negara jiran, Singapura melaksanakan cara pelupusan kereta seperti ini. Benarkah ia berkesan dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas?

Kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Singapura. Soal geografi dan keluasan negara juga sangat berbeza di samping saiz ekonomi Malaysia masih jauh ke belakang berbanding negara itu.

Kita juga harus melihat Singapura mampu menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang sangat efisien disebabkan keluasan negara yang kecil serta kepadatan penduduk. Maka sesuailah sangat untuk mewujudkan polisi mengehadkan umur kereta seperti yang dilaksanakan itu.

Benarkah dakwaan pakar tersebut bahawa membeli kereta baharu jauh lebih baik daripada menyelenggara kereta lama?

Kereta baharu sudah tentu tidak banyak masalah serta kerenah dan tidak menghadapi risiko kerosakan tetapi tiada jaminan kereta baharu 100 peratus tidak akan rosak. Oleh sebab itu jugalah syarikat pengeluar kereta memberi waranti kepada alat ganti kereta yang rosak dalam kadar waktu yang ditetapkan.

Betulkah kereta lama boleh membawa kepada risiko kemalangan di jalan raya?

Kita harus melihat statistik kemalangan berpunca daripada keadaan kenderaan yang usang atau disebabkan kecuaian pemandu? Saya melihat kecuaian pemandu merupakan faktor utama berlakunya kemalangan.

Pemandu sepatutnya mempunyai kesedaran untuk memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat serta menghormati undang-undang sedia ada.

Sekiranya berlaku kerosakan atau sudah sampai waktu untuk menyelenggara, pemandu atau pemilik kenderaan seharusnya peka untuk membaiki dan menyelenggara. Sesebuah kenderaan yang dijaga dan diselenggara dengan baik sudah tentulah lebih terjamin keselamatan.

Mampukah cadangan ini dilaksanakan sedangkan rakyat masih terhimpit untuk meneruskan kelangsungan hidup?

Selagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam masih belum berada dalam keadaan terbaik maka tidak perlu lagi kerajaan untuk memikirkan atau mencadangkan dasar sebegini.

Di samping itu, soal faktor pengukuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan rakyat juga perlu diambil kira sebelum nak melaksanakan dasar ini.

Jika mahu lakukan juga, adakah cadangan sewa beli kenderaan dilihat sebagai langkah yang baik?

Saya fikir tiada keperluan mendesak untuk laksanakan cadangan ini oleh kerana rakyat belum cukup sedia dengan keadaan ekonomi yang belum betul-betul stabil buat masa sekarang.

Cadangan kepada kerajaan?

Kerajaan perlu dengan kadar segera menambah dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

Contohnya, perkhidmatan bas perlu dinaik taraf, keperluan bas mini moden bagi mengambil penumpang-penumpang di kawasan perumahan diwujud dan diperbanyak serta sediakan bas yang lebih selesa dan mesra pengguna.

Perkhidmatan komuter, LRT (transit aliran ringan), MRT (transit aliran massa) dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi menarik minat orang ramai menaikinya.

Satu usaha yang perlu daripada pihak kerajaan adalah memperbaiki sistem pengangkutan awam sedia ada dan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan yang selesa serta canggih mengikut keperluan semasa. Pihak kami berharap kebajikan pengguna-pengguna jalan raya tidak wajar diabaikan sewenang-wenangnya.

Justeru, apa juga cadangan dan pandangan yang dikemukakan mengenai cara mengatasi kesesakan jalan raya, harus diambil kira dan diperhalusi sebaiknya oleh pihak yang terlibat agar rakyat dapat menjalani kehidupan lebih sihat dari segi mental dan fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×