Tiada guna gaji tinggi tapi perut masih lapar

Tiada guna gaji tinggi tapi perut masih lapar

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU harga ikan melambung naik. Kini harga ayam dan telur turut melonjak tinggi. Harga sardin dalam tin juga tidak murah. Harga sayur-sayuran dan buah-buahan juga melonjak tinggi. Apa lagi pilihan yang kita ada sekiranya semua sudah mahal?

Isu kenaikan harga makanan sudah sekian lama diperkatakan. Harga makanan di restoran meningkat begitu ketara sekali, begitu juga harga bahan makanan mentah.

Akibatnya ramai menghadapi kesulitan, lebih-lebih lagi bagi isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di bandar-bandar besar.

Sebagai pelajar, kami turut menderita. Bagi yang tinggal di asrama, perbelanjaan untuk makanan begitu tinggi. Dengan wang saku yang terhad, tidak mudah untuk kami menikmati makanan seimbang pada setiap masa. Mi segera seakan-akan menjadi menu asasi bagi ramai pelajar. Lebih parah, harga mi segera juga tidak lagi semurah dahulu.

Amalan pemakanan sihat adalah penting dalam menjaga kesihatan. Namun, mampukan seluruh rakyat mengamalkannya jika harga makanan naik mendadak? Realitinya, ramai pelajar tidak mampu untuk menikmati buah-buahan pada setiap hari seperti disarankan. Daging atau sayur juga kadang-kadang ditinggalkan bagi tujuan berjimat.

Pelbagai alasan diberikan oleh peniaga bagi menjustifikasikan kenaikan harga makanan. Resam dunia, apabila harga naik, bekalan sedia ada pun dinaikkan harga. Namun jika harga turun, stok lama masih mahu dijual dengan harga sebelumnya.

GAJI MINIMUM

Tambah memburukkan keadaan, ada pembekal dan peniaga mengambil kesempatan daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk menaikkan harga makanan.

Golongan ini sentiasa mencari kesempatan demi mendapatkan untung besar.

Amat menyedihkan kerana di negara yang bumimya begitu subur, harga sayur-sayuran dan buah-buahan begitu mahal sekali. Antara alasannya adalah kos pengeluaran melambung tinggi akibat kenaikan harga baja import.

Persoalannya, kenapa negara tidak mengambil langkah untuk menambah pengeluaran baja? Kenapa tidak kita jadikan sisa makanan yang dibuang sebagai baja organik?

Sekurang-kurangnya kita mendapat manfaat yang besar daripada sisa buangan serta mengurangkan masalah kekurangan tempat pelupusan sampah.

Keputusan kerajaan menghentikan pengeskportan ayam ialah langkah yang baik bagi menstabilkan harga serta bekalannya di pasaran. Kerajaan mesti bersikap tegas untuk menstabilkan harga makanan. Negara juga tidak boleh terlalu bergantung kepada bahan makanan import. Kita sepatutnya memajukan bidang pertanian seperti dilakukan negara maju. Tiada gunanya gaji yang lebih tinggi jika perut rakyat menjadi semakin lapar. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×