AMALAN penjagaan kebersihan diri yang baik sewajarnya menjadi formula penting yang menyumbang kepada tahap perlindungan kesihatan seseorang individu.
Hal ini penting kerana kebanyakan wabak mahupun penyakit yang sedang melanda baik masyarakat dunia mahupun rakyat kita pada ketika ini boleh dikatakan berpunca daripada amalan penjagaan kebersihan yang kurang memuaskan.
Virus Covid-19 misalnya dapat dielak dan ditangani dari dijangkiti jika kita mengamalkan budaya penjagaan kesihatan yang betul dan baik.
Itulah sebabnya sejak pandemik ini mula melanda negara, pihak berkuasa tidak putus-putus memberi nasihat dan mengingatkan anggota masyarakat tentang keperluan dan kepentingan penjagaan kesihatan.
Antara lain, kita disyorkan sentiasa memastikan diri masing-masing berada dalam keadaan bersih dan kerap mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman di samping mengurangkan aktiviti bersentuhan atau bersalaman.
Selain itu, jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) juga dikatakan meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei lepas berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Majoriti lokasi penularan wabak ini berlaku dilaporkan di taska, tadika dan prasekolah di samping rumah persendirian dan pusat jagaan kanak-kanak lain.
Penyakit yang sering berjangkit dalam kalangan kanak-kanak ini kebiasaannya boleh merebak melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, lepuh (blister) dan najis pesakit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan objek atau alatan permainan yang tercemar dengan virus ini.
Jangkitan virus ini juga banyak dikaitkan secara langsung dengan amalan penjagaan kebersihan khususnya dalam kalangan kanak-kanak kerana amalan kebersihan diri yang kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran sesak boleh meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini.
Kita boleh mengawal penyebaran virus ini dengan meningkatkan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan penjaga seharusnya meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh anak-anak, sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis anak.
Selain itu, kita juga perlu tingkatkan kawalan disinfeksi dengan mencuci alat permainan anak dengan agen pembasmi kuman serta elakkan perkongsian peralatan peribadi seperti tuala, sudu dan sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak untuk membudayakan amalan kebersihan diri yang sewajarnya misalnya ajarlah mereka untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan apabila bersin dan batuk.
Ringkasnya, amalan kebersihan diri dalam keluarga adalah amat penting bagi melindungi kesihatan dan keselamatan anak sekali gus mengelak penyebaran penyakit HFMD.
DENGGI
Selain itu, satu lagi penyakit yang selalu dikaitkan dengan soal penjagaan kebersihan ialah kes denggi di mana Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini melaporkan 1,021 kes denggi pada minggu epidemik 17/2022 dengan peningkatan sebanyak 54 atau 5.6 peratus berbanding 967 kes pada minggu sebelumnya.
Jumlah kumulatif kes denggi direkodkan sehingga kini adalah 12,942 kes berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama pada 2021 iaitu meningkat sebanyak 3,672 kes (39.6 peratus).
Manakala jumlah kumulatif kematian denggi pada minggu yang sama adalah sebanyak tujuh kematian melibatkan peningkatan dua kematian (40 peratus) berbanding lima kematian bagi tempoh sama pada 2021.
Semua sedia maklum denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti dan nyamuk ini membiak bila kita mengabaikan aspek kebersihan baik di rumah mahupun di tempat kerja.
Justeru, orang ramai perlu memastikan premis masing-masing bebas dari tempat pembiakan nyamuk dengan membersihkan atau melupuskan bekas yang boleh menakung air.
Jelas sekali amalan dan corak penjagaan kebersihan banyak mempengaruhi penyakit, wabak atau virus yang boleh menjangkiti diri kita. Sikap pengotor dengan mudahnya meningkatkan tahap risiko pendedahan kita terhadap pelbagai jenis penyakit dan akhirnya boleh mengancam nyawa.
Anggota masyarakat juga perlu memberikan perhatian yang serius dalam soal penjagaan kebersihan demi melindungi kesihatan dan keselamatan diri, keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Harus diingat jika terkena mana-mana virus tadi, ia bukan saja menjejaskan kesihatan kita tetapi turut meningkatkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga dan orang di sekeliling. Misalnya, sudah banyak insiden kematian berlaku di sesuatu lokaliti atau kawasan perumahan yang dijangkiti penyakit denggi.
Hakikatnya, penjagaan kebersihan membabitkan soal sikap dan tingkah laku seseorang individu. Misalnya, jika kita dapat mendidik anak sejak kecil untuk sentiasa mengutamakan kebersihan maka anak ini akan meneruskan amalan penjagaan kebersihan yang baik sehingga ke alam dewasa sekali gus akan membantu melindungi kesihatan dirinya.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam soal menerapkan amalan penjagaan kebersihan dalam kalangan anak-anak terutamanya dengan cara memulakannya sejak dari kecil lagi agar pada akhirnya kita dapat melahirkan anggota masyarakat yang sentiasa mengutamakan soal kebersihan dalam segala aspek kehidupan seharian.
Jujurnya, kita tidak boleh berkompromi dalam soal penjagaan kebersihan walau dengan apa alasan sekalipun. Jadi kita juga berharap agar lebih banyak lagi kempen dan program kesedaran penjagaan kesihatan diri dapat dianjurkan oleh pihak berkuasa melalui pelbagai kaedah dan pendekatan yang berfokus dan bersasar.
Biar semua lapisan anggota masyarakat baik kanak-kanak, dewasa, penduduk bandar mahupun luar bandar diberi ilmu pengetahuan yang secukupnya untuk meningkatkan amalan penjagaan kebersihan diri dan keluarga.
Kita berharap peningkatan tahap kesedaran keperluan penjagaan kebersihan dalam kalangan anggota masyarakat boleh menjadi benteng dan formula mujarab untuk mencegah dan mengekang pelbagai virus dan wabak yang sedang melanda negara kita sekali gus mampu melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhannya. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu semasa.











