fbpx

Tertekan di zaman PH, penjawat awam kini terbela

ISMAIL Sabri Yaakob (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Adnan Mat sambil disaksikan oleh barisan kepimpinan CUEPACS lain dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 13 Jun lalu.

DALAM manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) berjanji jika berjaya menjadi kerajaan, mereka akan memberi penghormatan kepada sektor perkhidmatan awam dengan meletakkannya kembali ke tempat yang sewajarnya.

Begitu pun, selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan, pelbagai kenyataan dan tindakan pemimpin PH terutama daripada DAP menunjukkan perkhidmatan awam bukan dihormati sebaliknya dikenakan tekanan, kecaman dan ugutan.

Masih kita ingat, seorang ahli Parlimen DAP menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan kerajaan manakala seorang ahli Parlimen DAP lain pula mendesak kerajaan PH supaya mengurangkan bilangan penjawat awam.

Seorang lagi ahli Parlimen DAP mencadangkan di Dewan Rakyat supaya kerajaan PH melakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen pegawai dan kakitangan awam yang dikatakan membazirkan bagi mengutamakan penjimatan wang rakyat.

Seorang Exco DAP pula menegaskan, kerajaan PH tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam sementara seorang timbalan menteri juga dari parti sama menyebut mengenai keperluan melakukan proses pembersihan penjawat awam.

Bila sahaja timbul isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan PH, maka penjawat awam dijadikan kambing hitam. Maka timbul isu-isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), tender, tatu.

Yang menuduh penjawat awam mensabotaj kerajaan PH termasuk dikatakan sebagai punca agenda reformasi yang dirancang lambat atau gagal dilaksanakan ialah pemimpin PH, baik dari DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) atau PKR.

Lebih teruk daripada itu, kerajaan PH juga memindah dan menyejukbekukan (cold storage) sesuka hati penjawat-penjawat awam utama kerajaan yang teguh mempertahankan etika perkhidmatan awam, termasuk ketua-ketua setiausaha kementerian.

Pendekatan bercorak konfrontasi oleh kerajaan PH jelas tergambar dengan pemberhentian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang melibatkan pertemuan antara Perdana Menteri (PM) dan penjawat awam.

MAPPA terakhir adalah pada 2018 membabitkan pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kira-kira 10,000 penjawat awam apabila beliau mengumumkan beberapa insentif untuk kakitangan kerajaan dan pesara.

Sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan, MAPPA tidak lagi diadakan sebaliknya yang ada hanya Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2019.

MENGIKAT PERUT

Perhimpunan ini paling diingati kerana kata-kata Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta CUEPACS dan jentera kerajaan ‘mengikat perut’ supaya hutang negara yang menjangkau nilai trilion ringgit angkara pentadbiran terdahulu dapat dikurangkan. Lebih teruk lagi adalah bila pengumuman Najib tidak dihormati dan tidak dilaksanakan oleh kerajaan PH, iaitu:

1. Kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

2. Pemendekan kenaikan pangkat time-based kali kedua dikurangkan dari 13 kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

3. Penambahan gred DG 56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran (KPM).

Selain itu, satu-satunya pemberian geran tahunan oleh kerajaan PH kepada CUEPACS adalah pada 2019 dengan nilai sebanyak RM1 juta sahaja, selari dengan arahan ‘mengikat perut’, jauh berkurang daripada pemberian kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Paling menyedihkan adalah permohonan pemberimilikan lot tanah kerajaan di Presint 18 bagi tujuan tapak rumah Kelab CUEPACS yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 15 Februari 2018.

Bila PH memerintah, surat kelulusan ke atas permohonan ini didapati ‘hilang’ secara tiba-tiba dan kini hanya setelah PH tidak lagi memerintah, barulah ia ditemui semula sekali gus membolehkan CUEPACS memulakan kerja bagi membina bangunan pejabat baharunya.

Sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau mengambil pendekatan berbeza daripada PH dengan bersikap amat mesra dengan penjawat awam, malah beberapa kali menyantuni mereka secara terbuka atau tertutup.

Perdana Menteri memberi jaminan, beliau akan memfokuskan usaha memberi wajah baharu kepada penjawat awam selain landskap baharu dalam organisasi awam.

Pada 13 Jun lalu, Perdana Menteri meluangkan masa lebih sejam menyantuni rombongan sembilan Ahli Jawatankuasa CUEPACS diketuai Presiden dan Setiausaha Agungnya, Datuk Adnan Mat dan Abdul Rahman Mohd. Nordin.

Dalam pertemuan tersebut, CUEPACS membangkitkan beberapa permasalahan yang dihadapi oleh penjawat awam pada zaman kerajaan PH dan ini disambut oleh beberapa komitmen Ismail Sabri untuk membantu penjawat awam amnya dan CUEPACS khasnya.

Turut dibangkitkan ialah cadangan gaji minimum baharu penjawat awam RM1,800 membabitkan kumpulan Pembantu Awam dan Pembantu Operasi, cadangan pemberian dua KGT khas untuk semua penjawat awam dan Sistem Saraan Baharu (SSB).

Perdana Menteri memberi jaminan akan mempertimbangkan kesemua cadangan CUEPACS ini tertakluk kepada perbincangan yang akan dibuat dengan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara mengenai kesesuaian pelaksanaannya.

Selain itu, Ismail Sabri juga meluluskan geran tahunan sebanyak RM4 juta kepada CUEPACS, akan merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Pejabat CUEPACS selain berjanji untuk menghidupkan kembali MAPPA pada Ogos atau September nanti. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!