Terima kasih Malaysia

Terima kasih Malaysia

IRFAN Davudov (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam majlis Hari Sambutan Kemerdekaan Azerbaijan di ibu negara, baru-baru ini. – FACEBOOK KEDUTAAN REPUBLIK AZERBAIJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Sambutan Kemerdekaan Azerbaijan anjuran Kedutaan Besar Republik Azerbaijan di Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu cukup bermakna.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Duta Besar Azerbaijan di Malaysia, Irfan Davudov dalam ucapannya berkata, Republik Demokratik Azerbaijan (ADR) yang ditubuhkan pada 28 Mei 1918 menjadi demokrasi sekular dan Parlimen pertama di dunia Islam yang memperkenalkan hak demokrasi, kebebasan dan kesaksamaan untuk semua warganya tanpa mengira kewarganegaraan, agama, jantina dan status sosial. Republik ini juga memberikan hak memilih kepada wanita buat pertama kali di negara majoriti Islam dan mendahului beberapa negara Eropah.

“Malangnya, jangka hayat republik demokratik ini sangat singkat, hanya bertahan selama dua tahun. Tetapi kami percaya, penubuhan ADR merupakan pencapaian besar buat rakyat dan golongan cerdik pandai Azerbaijan.

“Apabila kami berjaya mendapatkan semula kemerdekaan pada 1991, maka negara yang baharu ini diisytiharkan sebagai penerus kepada ADR,” katanya.

Di sebalik cabaran dan kesukaran penubuhannya, ADR berjaya menggabungkan prinsip demokrasi, liberal dan cita-cita Barat dengan nilai budaya Timur. Ia adalah sebuah negara merdeka dan sekular yang memberikan hak politik, sosial dan ekonomi yang sama kepada rakyatnya tanpa mengira asal usul, kelas mahupun jantina.
ADR juga merupakan republik pertama di dunia Islam yang memberikan hak memilih yang sama kepada wanita, jauh mendahului banyak negara demokrasi moden di dunia.

Dalam tempoh singkat, ADR berjaya menyatupadukan seluruh Azerbaijan di bawah satu kepimpinan, menjadikan Baku sebagai ibu negara dan menubuhkan unit ketenteraan Azerbaijan yang kuat dan berdedikasi. Wilayah ADR pada masa itu berkeluasan 114 kilometer persegi dengan populasi 3.3 juta orang.

Bendera kebangsaan Azerbaijan pada hari ini merupakan bendera asal ADR yang diteruskan penggunaannya. Bendera ini mempunyai bulan sabit dan berbintang lapan bucu. Warna-warna bendera tersebut pula mempunyai pengertian tertentu, biru – asal usul Turki, merah – modenisme dan hijau – mematuhi nilai-nilai Islam.

Parlimen Azerbaijan yang pertama ditubuhkan pada 1918 dan ia merupakan forum di mana semua perwakilan agama dan etnik boleh menyuarakan pendapat dan pandangan mereka tanpa apa-apa sekatan.

Parlimen yang disokong oleh Kabinet juga terdiri daripada golongan yang terbuka mindanya, bijak, muda dan berketerampilan serta mampu melaksanakan beberapa pembaharuan yang sangat memberangsangkan.

POTENSI

Campur tangan ketenteraan menyebabkan berakhirnya ADR pada 1920. Akhirnya, Azerbaijan ditakluki oleh Kesatuan Soviet (USSR) selama 70 tahun sehinggalah pada 1991, apabila Azerbaijan berjaya mendapatkan kemerdekaannya semula.

Melihat dari sudut hubungan Malaysia dan Azerbaijan, saya tertarik untuk memetik kenyataan penting Irfan Davudov. Katanya, “Sejak hari pertama kemerdekaan kami, Malaysia menjadi antara rakan terdekat dan rakan kongsi yang boleh dipercayai di peringkat antarabangsa. Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Azerbaijan.

“Contohnya, hubungan dua hala yang boleh diterjemahkan dalam rangka organisasi antarabangsa. Kami berjaya bekerjasama dalam rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), syarikat dan organisasi khususnya, begitu juga rangka kerja Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, rakyat Malaysia atas sokongan tersebut, atas persahabatan dan persaudaraan mereka.

“Pada masa sama, kami mempunyai potensi besar yang masih belum diterokai dalam hubungan perdagangan dan ekonomi, juga dalam bidang pendidikan, penyelidikan saintifik, budaya, seni, pelancongan dan lain-lain lagi.”

Beliau juga berharap agar lebih ramai ahli perniagaan dari Malaysia dapat melabur di Azerbaijan. Mereka juga mahu lebih ramai pelancong Malaysia berkunjung ke negara itu untuk melihat kecantikan dan keunikan negara Kaukasus itu.

Hari ini, di bawah pimpinan Presiden Ilham Aliyev, Azerbaijan dilihat sebagai salah sebuah negara yang hebat dan disegani di arena antarabangsa. Pada 2020, sewaktu tercetusnya peperangan selama 44 hari, Azerbaijan berjaya mendapatkan semula wilayah integritinya.

ANAK KECIL

Azerbaijan sangat mendukungi undang-undang antarabangsa. Mereka sentiasa mematuhi setiap norma dan prinsip undang-undang dalam hubungan antarabangsa terutama menghormati kedaulatan, integriti sesebuah wilayah dan kemerdekaan negara. Ini merupakan antara aspek terpenting dalam konteks menyelesaikan konflik yang berlaku di seluruh dunia.

Selama hampir dua tahun bekerjasama dengan Azerbaijan, saya yakin kerajaan negara itu ikhlas dalam persahabatan. Mereka melihat Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang mempunyai hubungan diplomatik tapi sebagai sebuah keluarga yang susah dan senang bangun bersama.

Lawatan saya ke Karabakh beberapa bulan lepas sangat menginsafkan. Saya dapat melihat betapa patriotik warga Azerbaijan tidak kira tentera, orang awam bahkan anak kecil sekalipun dalam memelihara dan mempertahankan tanah air mereka.

Karabakh terlalu istimewa buat Azerbaijan kerana di situlah dikatakan ibu kota kebudayaan Azerbaijan. Ramai tokoh dan figura hebat Azerbaijan lahir di situ. Setelah pembebasan bumi Karabakh pada 2020, kerajaan Azerbaijan menjalankan pelbagai inisiatif untuk kembali membangunkan wilayah itu yang hancur ranap selama hampir 30 tahun dijajah oleh tentera penceroboh Armenia.

Saya menyarankan agar lebih ramai warga Malaysia untuk melancong ke bumi Azerbaijan bagi melihat sendiri keindahannya selain mempelajari tentang erti cinta dan sayang rakyatnya kepada tanah air. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×