Suruhanjaya Patuh Syariah demi gaya hidup halal

Suruhanjaya Patuh Syariah demi gaya hidup halal

PENUBUHAN Suruhanjaya Pematuhan Syariah seperti diumumkan Ismail Sabri Yaakob (kanan) pada Isnin lalu wajar dipuji dan disokong oleh semua golongan masyarakat. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA secara komited mengorak langkah untuk menjadikan perspektif halal yang memenuhi kehendak syariah Islam sebagai arah perkembangan ekonomi dan kehidupan berpasakkan kepada hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Matlamat unggulnya ialah untuk menjadikan gaya hidup halal sebagai matlamat asas kehidupan bagi semua rakyat kerana sifat halal itu universal. Maknanya, gaya hidup halal sebenarnya diterima sebagai amalan hidup sejagat di seluruh dunia dan oleh seluruh penghuni alam yang mengamalkan prinsip kehidupan positif.

Jadi, Malaysia cuba menonjolkan prinsip halal bukan sahaja ke atas barang dan perkhidmatan tetapi juga untuk seluruh cara hidup dan kehidupan. Tidak ada aspek halal yang boleh dilihat negatif sehingga menjejaskan kehidupan orang lain jika ia diamalkan sepenuhnya. Mengamalkan gaya hidup halal akan menjuruskan kepada amalan halal kameelan (halal sempurna) bagi memastikan semua aspek kehidupan kita adalah di dalam perspektif halal.

Oleh kerana itu, penubuhan Suruhanjaya Pematuhan Syariah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan bertajuk Aplikasi Konsep Halalan Toyyiban di Malaysia Sebagai Model Pembentukan Amalan Terbaik Industri Ekonomi Halal Global, Isnin lalu, wajar dipuji dan disokong oleh semua golongan rakyat.

Ia boleh menjadi langkah penting untuk menggembleng aktiviti ekonomi halal di Malaysia meliputi jualan barangan halal khususnya makanan dan barang kegunaan harian seperti minuman, ubat-ubatan, pakaian, kasut, beg serta juga perkhidmatan halal seperti perbankan, takaful, pelaburan, perubatan dan pendidikan. Ini merupakan keperluan asas kehidupan yang penting di dalam sistem ekonomi dan sosial. Ia patut dialu-alukan kerana menjadi wadah penting dalam memastikan matlamat unggul kita di atas dilihat maju ke hadapan.

Penggunaan istilah seperti ‘syariah’ dan ‘Islam’ tidak seharusnya menjadi satu perkara yang sensitif kepada kaum bukan Islam yang tinggal menetap di negara ini. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, sesungguhnya konsep halal ini tidak tertumpu kepada orang Islam semata-mata tetapi juga terpakai untuk masyarakat am kerana sesuatu yang baik menjadi keperluan setiap individu. Malah, istilah ‘halal’ sudah diterima ramai dan dianggap ‘unggul.’ Ia dijadikan satu perspektif jenama yang penting di peringkat global.

Langkah selanjutnya, kita perlu memulakan inisiatif untuk mempopularkan Gaya Hidup Halal sebagai satu bentuk jenama atau label yang boleh ditonjolkan, diamalkan dan dipromosikan secara global. Gaya hidup halal boleh menjadi satu label penting, lebih baik dan lebih meluas daripada label seperti pemakanan vegan atau vegetarian yang terhad penggunaannya kepada kaedah pemakanan.

Kita boleh memulakan tradisi gaya hidup halal ini sebagai satu jenama yang akan menonjolkan masyarakat Malaysia, walaupun terdiri daripada pelbagai keturunan, latar belakang dan agama tetapi mengamalkan satu gaya hidup universal – gaya hidup halal.

Halal bermakna mematuhi batas syariah – memastikan amalan hidup tidak bertentangan dengan hukum syariah termasuk makanan dan minuman dibenarkan, kaedah berurusan dan berniaga dituntut, pakaian bersesuaian, hiasan diri, tempat tinggal dan susunan rumah, bilik dan hiasan, kaedah menggunakan kenderaan, kaedah berkomunikasi, kaedah berekreasi, kaedah bersosial dan kaedah menjalani kehidupan sendiri dan berkomuniti. Aspek rasuah dan penyalahgunaan kuasa misalnya akan dengan sendirinya menjadi aktiviti yang dilihat negatif dan bertentangan dengan gaya hidup halal ini sehingga dilihat jijik dan perlu disisihkan.

PILIHAN

Amalan gaya hidup halal ini akhirnya akan menjadi cara hidup semula jadi yang tidak perlu dipantau atau dikuatkuasakan dalam jangka panjang. Ia akan menjadi satu gaya hidup ‘pilihan’ kerana kita semua melihatnya sebagai satu keistimewaan dan kebanggaan untuk hidup sihat, bersih, kemas dan positif.

Kerajaan boleh mengusahakan promosi gaya hidup halal ini melalui institusi sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia perlu diberi penekanan dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti sehinggalah program pembelajaran seumur hidup.

Satu platform umum di peringkat nasional termasuk melalui media sosial perlu diwujudkan untuk memberikan peluang kepada setiap warganegara memberi pandangan dan saranan bagi menyemarakkan perspektif gaya hidup halal ini. Ia perlu berkembang menjadi satu falsafah dan prinsip kehidupan sejagat.

Sehubungan itu, tidak perlulah diambil hirau komen negatif individu seperti bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz tentang pembaziran daripada penubuhan Suruhanjaya Pematuhan Syariah ini kerana penubuhannya bukan bertindanan tetapi lebih kepada penyatuan untuk kebaikan.

Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal.

Pada masa ini, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula bagi kawal selia industri halal.

Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai model rujukan utama dalam bidang ekonomi halal dapat direalisasikan.

Adalah lazim bila bekas menteri yang tidak lagi berkuasa cuba mendapat perhatian dengan menunjukkan diri lebih hebat berbanding pemimpin sekarang sedangkan pemikiran mereka sebenarnya sudah tidak lagi relevan. Menjadi tanggungjawab kita untuk menyedarkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan mereka yang tidak peka dengan kebaikan matlamat kerajaan ini.

Semoga wawasan untuk mewujudkan gaya hidup halal sebagai jenama baharu kehidupan rakyat akan dapat sokongan semua dan mampu direalisasikan akhirnya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Dr. Barjoyai Bardai ialah pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UTAR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×