Siapa wanita yang datang tadi? - Utusan Malaysia

Siapa wanita yang datang tadi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN Mirsan Ahmad, 56 sebagai penggali kubur di kampung halamannya di sebuah daerah di Utara tanah air sering dikongsikan bersama pembaca.
Tujuan perkongsian itu bukanlah ingin membuka aib si mati, tetapi apa yang diceritakan sekadar untuk dijadikan pedoman berharga buat dirinya agar lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Kita kena percaya dengan kebesaran Allah SWT. Setiap apa yang ditunjukkan kepada kita pastinya bersebab. Mungkin ingin memberi kesedaran kepada hamba-Nya agar tidak ingkar setiap perintah-Nya,” katanya sebelum membuka cerita.
Ada satu cerita yang ingin saya ceritakan kepada pembaca sekalian. Cerita ini berlaku pada 2011, begini ceritanya…
Malam itu selepas pulang dari surau Mirsan dan beberapa rakannya ke warung Pak Abas. Hampir satu jam juga dia melepak di situ sebelum pulang. Maklumlah malam ini Mirsan jadi orang bujang kerana isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung kerana ada majlis kenduri di sana.
Namun sebaik sahaja motor kapcainya masuk ke halaman rumah, tiba-tiba dia terkejut. Di hadapan rumahnya kelihatan seorang wanita bertudung putih sedang berdiri seakan menunggu sesuatu.
“Assalamualaikum? Cik cari siapa?” tanya Mirsan.
Wanita tersebut tersenyum kelat. Nampak raut mukanya kurang ceria. Sengihnya juga seperti dibuat-buat.
“Saya nak minta tolong encik galikan kubur esok. Boleh? tanyanya perlahan. Mirsan garu kepala. Pelik pula dia dengan permintaan itu.
“Err, siapa yang meninggal cik? Nak tanam di mana?” Kenapalah susah payah datang rumah saya malam-malam ini. Kan senang kalau cik telefon saja saya,” kata Mirsan sambil menongkat motosikalnya.
Wanita itu hanya tersenyum sebelum menyambung kata-kata.
“Saudara saya meninggal petang tadi. Esok nak kebumikan di tanah perkuburan kampung ini. Saya tak ada nombor telefon encik, jadi sebab itulah saya datang terus ke sini.,” kata wanita tersebut. Mirsan hanya mengangguk faham.
“Err, tapi cik dah beritahu dengan ahli jawatankuasa masjid tak? Sebab kebiasaannya mereka akan uruskan segala pengebumian. Saya ini hanya tukang gali kubur,” kata Mirsan lagi. Wanita tersebut hanya mengangguk. Dari raut wajahnya Mirsan percaya dia mungkin berusia dalam lingkungan awal 30-an, namun dia tidak pasti sama ada wanita tersebut penduduk di kampung ini kerana rasanya inilah pertama kali dia bersua muka.
“Maaf cik, sekadar bertanya. Cik ini orang kampung sini ke? Sebab tak pernah rasanya saya nampak cik..,” tanya Mirsan lagi.
“Saya memang berasal dari kampung ini, tapi sekarang ni menetap di Kuala Lumpur. Lepas sekolah saja saya terus sambung belajar dan bekerja di sana. Balik kampung pun hanya sekali-sekala,” jawabnya. Mirsan hanya tersenyum sambil mengangguk. Patutlah dia tidak pernah nampak kelibat wanita ini, rupa-rupanya menetap di Kuala Lumpur, bisiknya dalam hati.
“Err, cik ni nama siapa dan anak siapa? Biasanya kalau orang kampung ni semuanya saya kenal,” tanya Mirsan lagi.
Sekali lagi wanita tersebut tersenyum sebelum menyambung kata-katanya. “Nama saya Suriani. Saya anak arwah cikgu Leman,” jawabnya.
Mirsan mengangguk. Memang dia kenal sungguh dengan arwah cikgu Leman. Walaupun arwah sudah hampir 10 tahun meninggal dunia, namun acap kali juga dia ke rumah arwah, kerana arwah amat rapat dengan ayahnya dahulu.
“Baiklah cik. Kalau macam itu esok saya uruskan mana yang patut. Tapi apa-apa hal pun saya akan dapatkan kebenaran Ustaz Rafi esok. Biasanya dia akan uruskan semua,” kata Mirsan.
Nampaknya terpaksalah dia membatalkan hasratnya untuk pergi ke majlis kenduri di rumah mertuanya esok kerana terpaksa menguruskan tugas penting yang diterimanya sebentar tadi.
Setelah naik ke rumah, Mirsan terus menghubungi isterinya. Dia lantas menceritakan tentang apa yang berlaku. Katanya mungkin dia tidak dapat datang majlis kenduri esok kerana terpaksa menjalankan tugas yang baru sahaja diterimanya ketika itu.
Isterinya tidak banyak songeh. Dia sudah faham benar dengan tugas suaminya sebagai penggali kubur. Walaupun itu merupakan kerja sampingan suaminya namun jika berlaku kematian memang suaminyalah orang yang mereka cari. Kepakaran Mirsan menyediakan liang lahat memang tidak boleh dinafikan lagi. Kerjanya pula cukup kemas dan teratur.
Ketika hayatnya Ayah Mirsan memang penggali kubur yang cukup terkenal di kampung itu. Mirsan pula sering mengikut ayahnya jika berlaku kematian di kampung tersebut. Sedikit sebanyak arwah ayahnya mula menurunkan ilmu cara-cara membuat liang lahat.
Akhirnya Mirsan berjaya mewarisi kepakaran ayahnya. Setelah ayahnya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu memang Mirsanlah yang mengambil alih tugas tersebut.
Lamunannya terhenti apabila telefon bimbit yang berada di meja berdering kuat. Lantas Mirsan mencapainya dan menyambut panggilan tersebut.
“Assalamualaikum ustaz? Ada hal apa pula telefon malam-malam ini? Ingatkan malam Jumaat Ustaz tidur awal,” tanya Mirsan sambil tertawa kecil.
Kedengaran suara Ustaz Rafi tertawa di hujung talian. Dia faham benar dengan Mirsan. Walaupun masing-masing sudah berusia separuh abad, namun keakraban mereka tidak dinafikan. Gurau senda mereka sudah menjadi asam garam. Sebab itulah mereka mudah bekerjasama.
“Begini Ran, esok hang ada kerja nak buat. Nak minta tolong buatkan satu liang lahat. Ada saudara kita ini meninggal di Kuala Lumpur. Jenazah dia mungkin sampai pagi esok. Jadi kalau tak ada aral melintang nak kebumikan lepas Asar esok,” kata Ustaz Rafi Panjang lebar.
Mirsan tertawa kecil sebelum menyambung kata-kata…
“Saya dah tahu ustaz. Tadi saudaranya ada datang ke rumah berjumpa saya,” jawab Mirsan.
“Ohh, Alhamdulillah. Nasib baik hang tahu awal. Aku risau juga takut kalau hang balik kampung esok. Sebab itulah aku telefon malam ni,” jawab Ustaz Rafi di hujung talian.
“Iya Ustaz.. tapi itulah saya tak kenal sangat dengan arwah ni. Katanya saudara mara arwah cikgu Leman,” kata Mirsan lagi
“Saudara apanya. Yang meninggal itu anak arwah cikgu Leman. Suriani yang mengajar di Kuala Lumpur,” jawab Ustaz Rafi jelas di hujung talian.
Tiba-tiba Mirsan tergamam. Telefon bimbit dipegangnya terasa ingin luruh dari genggaman. “Eh, siapa nama arwah yang meninggal ni ustaz?” tanya Mirsan inginkan kepastian.
“Suriani. Dia ini lepas belajar terus menetap di Kuala Lumpur. Kadang-kadang dia pulang ke sini. Aku dengar dia meninggal dunia sebab kemalangan jalan raya waktu balik mengajar,” balas ustaz Rafi panjang lebar.
Serta merta jantung Mirsan berdegup kencang. Fikirannya terus merewang teringatkan kejadian tadi. Jadi siapakah wanita bernama Suriani yang berjumpa dengannya tadi? Serta merta tubuhnya berasa panas seperti hendak demam. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya