TERDAPAT kekeliruan fakta dan pendapat dalam pernyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang tentang isu penggunaan bahasa Melayu.
Sokongan dan jaminan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu dilihat dalam konteks pematuhan penjawat awam kepada dasar dan undang-undang negara. Penegasan KSN bermaksud semua penjawat awam mesti melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Kit Siang perlu merujuk kepada Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
Selama ini ada penjawat awam termasuk di peringkat atasan yang agak lalai memenuhi amanah itu sehingga banyak mesyuarat berlangsung dalam bahasa Inggeris.
Demikian juga dalam sebahagian dokumen rasmi kerajaan. Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 2013 mengesahkan masalah ketidakpatuhan jabatan dan agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi.
Data 76 peratus jabatan dan agensi menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi seperti diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, baru-baru ini menjadi satu lagi bukti.
Sesudah negara merdeka 65 tahun, keadaan sebegitu tidak patut dibiarkan berterusan. Maka ucapan dan pernyataan KSN untuk membetulkan keadaan itu menepati peranan beliau sebagai ketua pentadbiran awam. Beliau boleh didakwa sebagai tidak amanah dan tidak cekap jika tidak memastikan dasar dan undang-undang negara terlaksana. Soal hukuman tidak berbangkit jika penjawat awam mematuhi dasar dan undang-undang negara. Bagi penjawat awam yang ingkar, apakah pilihan lain dapat dicadangkan oleh Kit Siang selain tindakan tatatertib? Sebagai penjawat awam yang pernah mengetuai sebuah agensi kerajaan, saya amat maklum betapa sulitnya sesuatu tindakan tatatertib dapat diambil kerana begitu banyak tatacara dan birokrasi perlu dilalui.
Tentang arahan Tan Sri Rafidah Aziz agar komunikasi di Kementerian Perdagangan Antarabangsa yang pernah dipimpinnya menggunakan bahasa Inggeris, perkara itu jelas bertentangan dengan Perkara 152(6) meskipun beliau berhujah mendapat kelulusan jemaah menteri. Jemaah menteri sendiri tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Jika badan eksekutif negara sendiri tidak akur kepada undang-undang tertinggi negara, kepada siapakah dapat diharapkan perkara itu dipatuhi? Inilah antara inti sari hasrat dan keputusan Perdana Menteri (PM) yang disokong oleh KSN tentang usaha meningkatkan martabat bahasa Melayu.
Pendapat lain yang perlu dibetulkan ialah bahasa Melayu bukan sahaja untuk tujuan perpaduan. Ada tujuan lain yang sama pentingnya, iaitu menjadi alat komunikasi jentera pentadbiran negara. Itulah semangat dalam Perkara 152(6). Sebagai ahli Parlimen, Kit Siang termasuk Rafidah patut faham tentang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan itu.
Isu yang sering dimomokkan ialah terencatnya kemajuan negara jika penjawat awam tidak fasih berbahasa Inggeris. Yang lebih utama ialah keterampilan dan kecekapan pengurusan serta adanya fikiran tinggi dan kreatif dalam kalangan penjawat awam. Mahir berbahasa Inggeris tanpa sifat kreatif dan berfikiran tinggi tidak membantu negara menjadi maju. Seperkara lagi, adakah penegasan kepada penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi negara bererti kerajaan mengetepikan bahasa Inggeris?
PANAS PUNGGUNG
Pejuang bahasa Melayu menyaksikan keadaan agak berlebihan usaha kerajaan dalam bahasa Inggeris sehingga menjejaskan bahasa Melayu. Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kuliah kursus sains dan teknologi dan beberapa bidang lain di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bahasa Inggeris adalah antara contoh keprihatinan berlebihan kerajaan suatu waktu dahulu kepada bahasa Inggeris. Apabila PM dan KSN menginsafi kesilapan kerajaan masa lalu, mengapa Kit Siang menjadi resah dan panas punggung?
Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan melalui kursus dalam perkhidmatan untuk kegunaan khas seperti diplomatik dan perdagangan. Itulah yang dilakukan oleh negara-negara maju, bukan mengajarkan bahasa Inggeris untuk tujuan peragaan kehebatan berbahasa setanding dengan penutur jatinya tetapi untuk berjaya menggunakannya sebagai komunikasi berkesan dalam perundingan dan pengutaraan idea besar.
Berdasarkan pengalaman saya ditugaskan sekitar lima tahun di China, lebih 100 bahasa asing diajarkan di Beijing Foreign Studies University tetapi bahasa utama bidang diplomasi, pengajian, penyiaran dan lain-lain ialah Mandarin. Keadaan sama di Korea Selatan dan Jepun serta banyak negara lain.
Perjuangan mengangkat martabat bahasa Melayu tidak sama sekali berkaitan penafian pentingnya penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain. Adakah Kit Siang, Rafidah dan yang seangkatan berfikir bahawa pejuang bahasa tidak menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa lain ketika berinteraksi di peringkat antarabangsa? Usah memperlekeh kemampuan pejuang bahasa.
Saya menutup tulisan dengan menggunakan ayat sama diujarkan oleh Kit Siang tetapi dengan seruan yang 360 darjah berlainan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempunyai keberanian untuk melaksanakan dasar dan undang-undang negara termasuk dalam soal dasar bahasa kebangsaan. Demikian juga KSN mesti membuktikan di bawah pimpinannya, penjawat awam berlaku amanah dalam melaksanakan dasar-dasar negara. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).











