Pengundi kelabu penentu siapa menang PRU15

Pengundi kelabu penentu siapa menang PRU15

PENGUNDI kelabu yang kebanyakannya mengundi buat pertama kali dalam sistem pilihan raya adalah mentah dalam politik. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAPA Pakatan Harapan (PH) tidak berani setuju bubar Parlimen andai kata Barisan Nasional (BN) lemah? Sepatutnya PH meraikan keputusan BN bubar Parlimen jika benar telahan serangan PH ke atas BN seperti isu inflasi, isu Sri Lanka 2.0 dan sebagainya.

Mungkin segmen penyokong reformasi yang dahulunya menyokong PH kini telah berpecah kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan sebagainya. Segmen pengundi kelabu yang tidak menyokong mana-mana parti atau non-partisan adalah lebih besar jumlahnya berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), iaitu antara 30 hingga 35 peratus.

Produk segmen partisan yang menyokong politik etnik masih menjadi majoriti, iaitu 40 hingga 45 peratus berbanding segmen politik agama (10%-15%) daripada keseluruhan jumlah pengundi. Yang selebihnya pula adalah penyokong kepada politik komunal (15%-20%).

Ciri-ciri penyokong politik komunal ini adalah di luar garisan agama dan etnik, melihat kepada isu reformasi dan integriti. Kebanyakannya berpendidikan dan tinggal di kawasan bandar. Mempunyai kesedaran politik yang tinggi dengan majoritinya menyertai gerakan sivil. Tetapi kekuatan produk segmen ini sudah berpecah dan semakin mengecil saiz sejak jatuhnya kerajaan PH pada 2020 lagi.

Mahu tidak mahu, negara ini masih terikat dengan produk segmen politik etnik dan politik agama. Kemenangan mana-mana parti dalam PRU15 ditentukan oleh pengundi kelabu yang mana cabarannya adalah kepelbagaian pengisian ciri-ciri dikehendaki. Bukan mudah tetapi mampu dilakukan jika teknik pemasaran produk segmen politik diterima oleh pengundi kelabu.

Boleh dikatakan di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti Melayu melebihi 65 peratus, segmen politik etnik bersaing sengit dengan politik agama. Di kawasan majoriti Melayu kurang daripada 65 peratus pula, segmen politik etnik bersaing sengit dengan politik komunal. Bagi kawasan majoriti DUN atau Parlimen bukan Melayu, kelihatan segmen politik etnik bersaing sengit dengan segmen politik komunal.

Secara kesimpulannya, pilihan untuk segmen politik etnik adalah kelihatan secara makro dan lebih memihak kepada BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pilihan untuk segmen politik agama kelihatan mikro iaitu UMNO, Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagainya, manakala segmen politik komunal berada pada segmen makro dan kepelbagaian ideologi yang tidak terlibat dalam segmen politik etnik atau politik agama seperti PKR, MUDA, PBM, DAP, Gerakan dan sebagainya.

Pada masa kini, pengundi kelabu yang di antaranya merupakan pengundi pertama kali yang mengundi dalam sistem pilihan raya negara ini adalah mentah dalam politik.

Cabaran untuk mendapatkan pengundi kelabu bukan sekadar menggunakan persepsi propaganda dalam media sosial sahaja tetapi bagaimana menarik mereka untuk turun mengundi. Sejak sekian lama merdeka, sudah pasti terdapat antara 20 hingga 25 peratus pengundi kelabu yang tidak turun mengundi.

Matlamat BN membubarkan Parlimen bertujuan mengembalikan semula mandat kepada rakyat bagi memilih semula sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh. Ini adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan krisis politik yang tidak nampak jalan penyelesaian sehingga hari ini.

AKAR UMBI

Pembubaran Parlimen bukan datang daripada kehendak kepimpinan tertinggi UMNO. Dalam konvensyen BN baru-baru ini, dilihat semua akar umbi termasuk MCA dan MIC kelihatan menyetujui tindakan untuk membubarkan Parlimen sebagai satu alternatif terbaik dalam menentukan keabsahan kuasa kerajaan dengan mengembalikan semula kuasa mandat rakyat.

Dilihat pada masa kini, rakyat tertekan dengan peningkatan tiga kos utama iaitu keperluan makanan, perumahan dan pengangkutan. Penyelesaian krisis ekonomi dihadapi rakyat kini hanya mampu diselesaikan dengan terbentuknya sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh, bukan sebuah kerajaan minoriti yang sentiasa bergantung kepada kesetiaan ahli Parlimen supaya tidak lompat parti atau menarik sokongan ke atas kerajaan. Disebabkan ini, banyak dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan kelihatan kurang berkesan bagi menarik keyakinan pelabur untuk datang menjana ekonomi di negara ini.

PH tidak perlu gentar untuk membubarkan Parlimen jika benar ingin membela nasib rakyat. Sebaliknya keputusan pembubaran Parlimen dapat dilihat sebagai satu jalan keluar menyelesaikan krisis politik yang masih terumbang ambing. Walaupun UMNO dilihat tercalar imejnya sebelum ini, kepimpinan Keluarga Malaysia diterajui Perdana Menteri telah melakukan banyak perubahan agenda reformasi ke atas sistem pentadbiran kerajaan.

Jika benar dakwaan kerajaan hari ini gagal, maka PH perlu menyegerakan PRU15 supaya dapat mengembalikan keyakinan sebahagian besar segmen penyokongnya yang semakin mengecil saiznya. Namun, ia mungkin suatu rumusan yang agak pramatang jika PH menolak pembubaran Parlimen dalam tempoh masa enam bulan dan menunggu sehingga tamat tempoh kuasa Parlimen.

Kemungkinan terdapat beberapa kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang sebahagiannya akan memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang dalam khemah besar jika telahan serangan ke atas BN itu benar. Ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan tolak ansur pemimpin-pemimpin dalam khemah besar untuk menyetujui pembubaran Parlimen pada masa kini.

Pembubaran Parlimen tidak boleh dilihat sebagai langkah kepentingan kuasa dan takhta seperti dakwaan pihak tertentu. Sebaliknya langkah ini mampu memberikan kesejahteraan sosiopolitik rakyat dan negara. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×