KALAU berkunjung ke rumah rakan kaum India berketurunan Malayali, mungkin anda berpeluang melihat hiasan dinding berwarna emas yang ada pelbagai corak pada permukaannya. Bahagian tepi pula dihiasi benang pelbagai warna.
Barangan perhiasan itu dinamakan aana patta atau nettipattam. Istilah patta atau pattam dalam tradisi India merujuk kepada kepingan emas yang leper dan dipakaikan pada bahagian dahi. Aana dalam bahasa Malayalam bermakna ‘gajah’ manakala netti dalam bahasa Tamil bermakna ‘dahi.’ Maka, nettipattam atau aana patta asalnya merupakan hiasan yang diperbuat daripada emas dan tembaga. Kepingan logam itu dipakaikan pada bahagian dahi gajah, khususnya di Kerala dan Tamil Nadu, India.
Pada asalnya ia digunakan sebagai perlindungan apabila gajah digunakan dalam peperangan. Kemudian, dijadikan hiasan dan simbol kemegahan bagi gajah yang dipelihara golongan diraja atau yang ditempatkan di kuil.
Pada masa dahulu di India, nettipattam yang asli digantung pada dinding rumah sebagai simbol kekayaan dan kegagahan serta mengundang rezeki dan kemewahan kepada penghuninya. Bagi pemilik perniagaan, nettipattam dikatakan boleh menarik lebih ramai pelanggan sekali gus menambah pendapatan.
Lama-kelamaan, nettipattam mula dihasilkan khusus bagi tujuan perhiasan.Maknanya bukan lagi mengambil objek yang diletakkan pada dahi gajah untuk dijadikan hiasan dinding. Sebaliknya dibuat khusus dalam pelbagai saiz untuk dijual kepada sesiapa yang mahu menjadikannya hiasan pada dinding.
Pada masa kini, nettipattam bagi tujuan hiasan tidak lagi menggunakan emas dan tembaga. Sebaliknya, bahan fiber dan polimer bagi mengurangkan kos tetapi masih memiliki corak sama seperti nettipattam yang asal. Bahan plastik ini berwarna emas berkilau seperti yang selalu kita lihat pada barangan perhiasan kaum Cina. Warna emas selalu melambangkan kekayaan, rezeki dan kemewahan.
Corak dan hiasan pada nettipattam sebenarnya mempunyai makna dan simbolik keagamaan Hindu. Ia melambangkan dewa-dewi. Atas sebab itulah juga barangan perhiasan ini hanya popular dalam kalangan penganut Hindu. Misalnya, bentuk seperti buah jambu di bahagian tengah mewakili Brahma, Vishnu dan Shiva. Bulatan kecil di atas sedikit mewakili Parvathi, manakala dua bulatan lebih besar di kiri dan kanan mewakili Saraswathi dan Lakshmi.
Bulatan paling bawah mewakili Ganesha iaitu dewa berkepala gajah. Sembilan bulan sabit mewakili navagraha iaitu sembilan planet dalam sistem cakerawala.
Bagaimanapun, ada juga hiasan yang hanya ada lima bintang kerana tidak cukup ruang. Bintik-bintik kecil yang disusun kemas pada keseluruhan permukaan pula mewakili bintang-bintang yang tidak terkira jumlahnya di langit.
Maka bagi penganut agama Hindu, nettipattam dijadikan hiasan dinding sebagai simbol dewa-dewi hadir bagi merestui dan memberkati kediaman mereka. Bagi kaum India di Malaysia, mungkin sahaja simbolik keagamaan itu tidak diketahui atau bukan faktor utama mereka meletakkan nettipattam pada dinding. Sebaliknya, sebagai simbol identiti dan jati diri yang terus dibanggakan oleh diaspora keturunan Malayali yang nenek moyang mereka berasal dari Kerala.
Baru-baru ini, saya menghubungi sekitar 300 rakan kaum India untuk bertanya kalau-kalau mereka memiliki nettipattam sebagai perhiasan di rumah. Majoriti mengatakan tidak. Malah ramai yang langsung tidak tahu mengenainya.
Situasi ini tidaklah menghairankan kerana memang banyak aspek sejarah, identiti dan jati diri nenek moyang semakin terhakis dalam kalangan kaum India di Malaysia.
Jumlah penduduk kaum India di Malaysia hanya sekitar dua juta orang. Majoriti iaitu sekitar 85 peratus keturunan Tamil manakala Malayali hanya 3.5 peratus. Realiti hidup sebagai minoriti dalam minoriti merupakan cabaran besar kepada komuniti Malayali untuk terus mempertahankan identiti dan jati diri.
Selain pakaian, tarian, makanan, bahasa dan muzik, artifak simbolik seperti nettipattam juga menjadi kebanggaan diaspora Malayali di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia. Malangnya, nettipattam masih kurang dikenali dan dihargai di Malaysia.
Hal ini tentulah berbeza jika kita bertanya sama ada mereka memiliki hiasan Dewa Ganesha atau patung gajah.
Hanya seorang rakan menceritakan keluarganya membeli nettipattam di Kerala pada 2013. Maka saya tertarik untuk bertanya mengapa R. Sajina Nair meminati perhiasan itu.
“Gajah merupakan haiwan yang diutamakan dalam upacara kuil di Kerala. Ramai orang Hindu meminta restu daripada gajah yang dianggap mewakili Dewa Ganesha. Sebagai individu keturunan Malayali, saya berasa bangga menggantung nettipattam pada dinding rumah untuk menunjukkan simbol keagungan gajah dalam tradisi Malayali,” kata jurubahasa ini yang tinggal di Taiping, Perak.
Dengan adanya akses internet, kini memang amat mudah untuk mencari maklumat, foto dan video berkaitan nettipattam. Malah saya menemui beberapa video khusus mengenai cara membuat barang perhiasan itu. Malangnya, kedai-kedai di Malaysia tidak menjual barangan yang diperlukan untuk membuatnya.
Dalam beberapa lagi video, pengusaha nettipattam menghuraikan secara terperinci sejarah dan kelebihan menjadikannya sebagai hiasan di rumah orang Hindu. Rupa-rupanya, pengamal vastu sastra (feng syui) juga menggalakkan nettipattam diletak pada dinding rumah demi menarik aura positif.
Sekiranya anda merancang untuk melancong ke Kerala, mungkin pengalaman menaiki kettuvallam (bot rumah), urutan ayurveda, persembahan kathakali dan mohiniyattam, lawatan ke kuil dan gereja serta makanan dan pakaian tradisional sudah ada dalam senarai. Mungkin anda wajar juga memasukkan nettipattam dalam senarai cenderamata untuk dibeli sama ada bagi diri sendiri atau sebagai hadiah kepada rakan-rakan di Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










