DALAM kemelut yang dibawa oleh pandemik selama ini, pelbagai pentafsiran semula boleh berlaku. Baik dari segi pemakanan sehinggalah cara berpakaian, semuanya terkesan memandangkan kesempitan hidup ditanggung ramai khususnya kumpulan terkebawah dalam lapisan sosioekonomi yang kian merudum.
Apatah lagi jaminan hidup yang dahulu ditampung pelbagai pihak sudah pun susut ataupun tiris akibat segala macam desakan khususnya kesihatan serta keselamatan.
Akibat itu, dua nilai kini dikatakan terpenting dalam mengharungi gelombang kemelut tersebut, yakni sikap ‘merendah diri’ dan ‘bersifat ikhlas.’ Kedua-dua nilai ini dikira amat perlu bagi mencapai satu bentuk kesetaraan dan keseimbangan hidup antara pelbagai pihak khususnya dari segi pengagihan kemewahan, apa lagi keperluan hidup seharian.
Penularan pandemik selama ini mengingat serta mengajar kita perihal tersebut apabila masing-masing cuba membantu satu sama lain sedaya mampu dalam hampir semua hal. Makanan dikongsikan, pakaian serta kain baju diagih-agihkan, wang ringgit disedekahkan, begitu juga kudrat serta keringat untuk meredakan serta membahagiakan mereka yang terbeban supaya kehidupan menjadi lebih ringan serta sejahtera.
Dan kepada yang memberi pula berasa lebih ‘bahagia’ apabila menuruti dua nilai tersebut – merendah diri dan bersifat ikhlas. Apatah lagi, kedua-dua nilai ini berkaitan kepemimpinan secara turus lagi benar yang tidak lagi meragukan. Apa yang dikata dikota, cakap serupa bikin.
Maka tidak hairanlah jika nilai ini juga dikatakan membentuk kepemimpinan yang sesuai untuk dipupuk dalam dunia pascapandemik yang serba diragui hari ini.
Yang masih bertahan adalah mereka yang mengetuai pertubuhan bukan kerajaan atau masyarakat madani kerana kekentalan pegangan kepada dua nilai berkenaan. Yang lain semakin angkuh dan sering memutar belit fakta serta maklumat untuk kepentingan diri dan kelompok.
Lantas ramai antara mereka menjadi pak turut, tidak cekal atau berani untuk menyatakan yang hak dan betul.
Apa lagi mengeluarkan pendapat yang bernas, berserta tindakan berkesan untuk menyelamatkan nasib dan nyawa sesiapa sahaja yang tidak berdosa. Kesudahan, ramai yang terkorban dengan sia-sia sepertimana dilihat dalam dua tahun kebelakangan. Lalu tidak banyak negara yang menampilkan kepemimpinan hebat baik bagi negara termaju sekalipun. Semuanya ada kaitan dengan dua nilai berkenaan secara langsung atau tidak.
Malah dua soalan utama yang kini dihadapkan kepada semua lapisan mengikut satu kajian. Pertama, bolehkah seseorang itu dipercayai?
Kedua, bolehkah dia dihormati? Soalan lain yang lazimnya ditanya pada suatu ketika dahulu kini ditangguh kerana dianggap remeh berbanding kedua-dua nilai yang menjadi pokok kepada segala-galanya. Sebelum berlakunya pandemik, ia seolah-olah terbalik – mesti pintar itu dan ini, layak dalam serba-serbi sedangkan soal nilai menjadi perkara kedua atau tidak dipedulikan sama sekali. Pegangan ini kini sudah berubah 360 darjah.
Di dunia Barat, bekas Canselor Jerman, Angela Merkel dikatakan contoh kepemimpinan terbaik dalam acuan sedemikian – seorang pemimpin berjiwa rakyat dalam kata serta tindakan sebenarnya.
ARTIS
Tinggal di ‘rumah pangsa’ bersama deretan rakyat jelata. Dan apabila ditanya mengapa gaya pakaiannya agak ‘biasa’ dan ‘sederhana’, jawapannya selamba menegaskan bahawa dia bukan seorang artis pujaan atau selebriti gilakan populariti murahan. Malah sekadar penjawat awam yang berkhidmat untuk keutuhan masyarakat yang memberi kepercayaan serta keyakinan kepada semua. Maka tidak hairanlah yang beliau dapat bertahan begitu lama dan disegani oleh para pemimpin dunia yang hampir kesemuanya lelaki.
Di sebelah Timur pula, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) agak terkemuka dalam hal ini. Umum maklum caranya yang begitu sederhana dan lazim. Ini amat jelas daripada gaya beliau menjalankan urusannya serta berpakaian yang bukan sahaja sesuai dengan suasana kerja tetapi sederhana juga dari pelbagai segi khususnya kos.
Mengikut satu semakan media pada 2014 lagi, pakaian kerjanya tidak lebih daripada 400,000 rupiah. Dan tiada apa-apa perhiasan pada lengan seperti jam tangan, misalnya. Jika inilah yang diperhitungkan masa sebelum Covid-19 lagi, bayangkan betapa di waktu pandemik dalam mengekalkan cara hidup serta gaya kepemimpinan yang ala kadar sahaja.
Sekali gus menzahirkan contoh yang melambangkan kekentalan kepemimpinan jujur lagi berani dalam merangka masa hadapan masyarakat serta negara yang adil dan saksama. Malah bagi dunia sekali pun sepertimana lamanya ke seberang laut baru-baru ini.
Semuanya menawan hati serta perasaan rakyat jelata yang terbelenggu dalam keadaan yang sama kalaupun tidak lebih daif lagi.
Dari aspek tindakan pula, hasrat yang sama ternyata dalam pembasmian rasuah yang pernah berleluasa di negara tersebut. Memandangkan bagaimana beliau mentadbir negara dengan jujur dan berani dalam menentukan rasuah ditangani secara tegas dan keras, tidak syak lagi bahawa dua nilai yang diutarakan membawa kesan cukup bermakna kepada semua. Ini membuktikan betapa kepemimpinan Indonesia agak seia sekata untuk menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Seorang lagi pemimpin yang seangkatan adalah mendiang Nelson Mandela yang lebih terkenal dengan pakaian batiknya di benua Afrika. Beliau kini menjadi ikon pemimpin serba boleh dan tidak gemar menunjuk-nunjuk secara kebendaan tetapi pasti menonjol dari segi keintelektualan dan kepemimpinan berasaskan kebijaksanaan, nilai murni.
Pokoknya, semua ini merupakan isyarat bahawa tafsiran baharu sudah mula meletakkan kefahaman dan kerangka baharu dalam dunia pascapandemik yang sudah mula menyusul. Sekiranya kita gagal mengenal pasti dan mendekatinya, maka kemungkinan besar kita akan turut gagal menongkah arus bagi menyelamatkan diri, apalagi rakyat teramai selaku pemimpin yang pandai merendah diri dan bersifat ikhlas lagi berani. Maka wajar kita insaf daripada segala pengalaman pahit Covid-19 untuk pedoman hari muka. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










