PADA Mei lepas UMNO telah mengadakan persidangan khas bagi tujuan mengabsahkan usul pindaan perlembagaan supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).
Mereka bersetuju pindaan perlembagaan dan sekarang ini usul pindaan telah sampai kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Keputusan diluluskan atau tidak tertakluk pada jabatan tersebut.
Di sebalik pindaan itu, yang dikatakan bertujuan membendung perpecahan dalaman parti, beberapa dalam kalangan UMNO mahu PRU disegerakan. Mereka percaya inilah masa terbaik Parlimen dibubarkan kerana parti itu kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden parti itu turut berkata, beliau tidak akan melengahkan PRU sekiranya UMNO telah bersedia. Persoalannya sekarang, adakah kita betul-betul telah bersedia?
Jawapan bagi soalan ini tentu sahaja bersifat subjektif. Ia bergantung pada bagaimana kita melihat kepentingan PRU itu untuk parti kita. Ini kerana pengalaman mengajar saya bahawa wujud perbezaan yang ketara antara ‘saya telah bersedia’ atau ‘kami telah bersedia’ dengan ‘parti telah bersedia’.
Pilihan raya, apatah lagi PRU, bukanlah satu cabang matematik mudah. Ia bukan tentang 1 + 1 = 2. Ia juga bukan semata-mata tentang kertas undi. Sebaliknya ia adalah tentang manusia. Tentang politiknya.
Tentang akal, tentang emosi dan tentang situasi. Dengan bahasa mudahnya ia melibatkan pelbagai aspek dan setiap aspek itu perlu diambil kira secara terperinci sebelum merumuskan sama ada kita telah benar-benar bersedia atau sebaliknya.
Pilihan raya disertai bukan untuk suka-suka. Apatah lagi bagi parti sehebat UMNO. Kita menggendong ‘dendam’ yang harus dibalas. Ada maruah yang harus ditebus. Kita tidak hanya mahu menang. Tetapi kita mahu menang besar. Itu matlamatnya. Untuk mencapai matlamat itu kita bukan lagi sekadar harus bersedia, tetapi wajib. Soalnya, persediaan yang bagaimana?
Bagaimana dengan persiapan jentera kita? Setakat mana kemasnya? Setakat mana upayanya untuk mengenal pasti pengundi putih yang dijangka menyokong kita? Setakat mana pula upaya mereka memutihkan pengundi kelabu atau menghitamkan pengundi putih pihak lawan? Serius, ia memerlukan kerja keras dan komitmen yang tidak sedikit.
Kita semua sedia maklum bahawa mempersiapkan jentera pilihan raya memerlukan kos yang tinggi. Setakat mana upaya kita berbuat demikian dalam keadaan tidak lagi menjadi kuasa yang dominan dalam kerajaan?
Tidak kurang pentingnya ialah mengurus propaganda dengan berkesan. Bagaimana kita mencipta rasa selamat, ekonomi yang memihak dan polisi yang disenangi rakyat. Rancangan naratif mesti mengambil kira tempoh masa yang tertentu dan gerak kerja tersusun.
Dalam semua situasi, perkara utama yang harus ditekankan ialah adakah rakyat berasa selesa jika pasukan kita (baca: parti) dipilih semula? Setakat mana yakinnya mereka dan setakat mana pula ketidakyakinannya, jika ada.
PROPAGANDA
Bagaimana pula sentimen rakyat? Pandangan sebenar rakyat terhadap faktor baik dan tidak baik pasukan kita tidak boleh diukur semata-mata dari komen di media sosial. Ia hanya secubit daripada segenggam, sesudu daripada semangkuk.
Realiti sebenar berada di lapangan dan di situlah tinjauan menyeluruh perlu dibuat. Tahap kesukaan, dan ketidaksukaan rakyat perlu dinilai secara terperinci. Isu-isu semasa yang membabitkan negara, negeri dan setempat perlu diteliti kerana setiap satunya memberi merit yang berbeza.
Siapa yang patut melakukan tugas ini? Sekarang, dalam keadaan UMNO/BN tidak lagi berkuasa penuh, tugas itu sepatutnya diambil oleh pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat. Tetapi bagaimana dengan mekanisme pelaporan?
Memantau setiap isu perlu dijadikan perkara wajib. Begitu juga dengan memilih isu yang perlu diurus. Harus jelas isu yang perlu dijawab, isu yang boleh diabai dan isu yang mesti dimanfaatkan.
Dalam hubungan yang sama, setiap kempen, sama ada kecil atau besar, mestilah diurus dengan baik. Mesti jelas ‘senjata’ yang digunakan, mesti tahu jenis-jenis ‘pelurunya’. Tempat yang perlu dibedil dengan mortar, jangan diguna peluru penabur.
Tempat yang patut menggunakan penembak curi, jangan lakukan serangan terbuka. Banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Tanggungjawab kita tidak habis dengan mengekalkan apa juga ‘feel good factors’ yang ada, tetapi mesti berusaha menyuburkannya.
Dalam perang propaganda, media memainkan peranan penting. Jadi bertanyalah, adakah pasukan media konvensional dan media sosial kita sudah dilatih untuk bertindak- dengan tindakan yang betul – untuk tempoh empat bulan mendatang? Atau sekadar menyerang sesama sendiri?
Calon merupakan faktor yang sangat dominan dalam pilihan raya. Oleh itu menjenamakan calon menjadi tugas penting. Setiap calon, walaupun memakai ‘baju’ yang sama harus dijenamakan secara berbeza.
Penjenamaan juga perlu dibuat berdasarkan kehendak setempat. Tidak semua orang kampung boleh menerima calon yang tidak pandai duduk bersila, dan tidak semua orang bandar boleh menerima calon yang siang malam berkain pelikat.
Secara lazimnya calon yang berpotensi menang perlu memiliki tiga ‘D’ iaitu dipilih, dikenali dan disukai. Dipilih bermaksud calon berkenaan mempunyai ciri-ciri unik dan istimewa. Jika calon itu ‘orang lama’, maka soal dikenali tidak menjadi isu. Yang perlu dititik beratkan hanyalah soal sama ada dia disukai ataupun tidak.
Memandangkan UMNO mempunyai kecenderungan membariskan ramai muka baharu pada PRU15 nanti, timbul pertanyaan, apakah kita mempunyai cukup masa untuk memperkenalkan calon-calon itu jika ditakdirkan pilihan raya dijalankan dalam masa terdekat?
Begitulah. Jujurnya, banyak aspek yang perlu diteliti. Kemudian tepuk dada tanya diri sendiri, bersediakah kita? – UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi adalah Setiausaha Politik Kementerian Komunikasi dan Multimedia.











