LMB: Pemilihan peserta wakili negara sengit tapi mengapa masih dipandang sepi? - Utusan Malaysia

LMB: Pemilihan peserta wakili negara sengit tapi mengapa masih dipandang sepi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini diadakan Liga Memanah Berkuda (LMB) 2022 di Cape Carvalho di Rembau, Negeri Sembilan.
Lebih 60 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak menyertai pertandingan yang diadakan sejak 2019 ini.
Pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang berpakaian seperti pahlawan Melayu dan ada yang hanya berpakaian biasa, namun lengkap bersama peralatan memanah.
Semuanya demi misi yang satu, untuk menjadi terbaik dalam kalangan yang terbaik bagi mewakili Malaysia ke Korea Selatan.
Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia Abu Dzar Zakaria, LMB adalah acara yang dapat dijadikan platform bagi pembangunan sukan memanah berkuda menerusi pertandingan.
“Di samping menggalakkan pemanah berkuda untuk berlatih mengekalkan prestasi, LMB juga berperanan memilih pemanah berkuda terbaik sebelum dihantar ke kejohanan memanah berkuda luar negara khususnya ke Korea Selatan anjuran badan memanah berkuda antarabangsa World Horseback Archery Federation (WHAF).
“Namun, terdapat juga pertandingan luar negara anjuran kelab atau persatuan yang menganjurkan pertandingan terbuka. Pertandingan terbuka boleh disertai sesiapa sahaja yang mampu tanpa ditapis Badan Kebangsaan Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain penyertaan individu, pelbagai kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai LMB 2022 sama ada sebagai peserta mahupun sukarelawan antaranya Kelab Kembara, As-Sibaq, Darul Jariyah (DJ), Ladam Merah, Rubinga, Ladang Alam Warisan dan Rahman Putra Equine Centre (RPEC).
Pertandingan yang diadakan selama tiga hari itu turut menampilkan bakat-bakat baharu menerusi kategori beginner.
Dalam pada itu, Abu Dzar berkata, LMB akan membuka penyertaan dan dipertandingkan di peringkat antarabangsa dengan dihadiri pemanah berkuda luar negara dalam masa terdekat.
“Dengan cara ini, ia dapat memberi pendedahan kepada pemanah berkuda Malaysia yang tidak berpeluang ke luar negara.
“Selain itu, ia juga memberi cabaran lebih sengit dalam kalangan peserta terutama kepada mereka yang berpengalaman,” jelasnya.
Dalam pada itu Abu Dzar berkata, menerusi penganjuran LMB 2022, diharapkan lebih banyak bakat baharu dapat digilap dan diketengahkan pada masa hadapan.
“Sebelum wujud badan kebangsaan dan penganjuran LMB, atlet wakil Malaysia sebelum ini hanya dalam kalangan mereka yang sama tanpa ada pemilihan terbuka dibuat,” jelasnya.
Namun, berdasarkan pemerhatian saya, sukan memanah berkuda hakikatnya masih kurang mendapat tumpuan berbanding kategori lain seperti showjumping, dressage, vaulting dan endurance.
Saya turut difahamkan untuk mendapatkan penajaan juga bukan sesuatu yang mudah bagi penganjuran acara sukan ini termasuk pertandingan memanah tradisional.
Paling menyedihkan atlet yang bertanding mewakili negara dalam sukan ini juga terpaksa dibiayai persatuan menerusi sumbangan mahupun hasil jualan barangan.
Kini banyak pula persoalan yang timbul. Sukan sunnah Rasulullah SAW yang sepatutnya diangkat, dilihat lebih terpinggir atau dalam erti kata lain seperti dianak tirikan, tidak seperti sukan atau aktiviti pemecah rekod lain.
Barangkali sukan memanah berkuda tidak dipertandingkan dalam acara olimpik, sebab itu ia terus dipandang sepi.
Kalau tiada nilai komersial sekalipun bagi pihak swasta, boleh saja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau pihak kementerian setidak-tidaknya memberi sedikit sokongan menghidupkan sukan sunnah Rasulullah SAW ini.
Iltizam perlu ada bagi memastikan ia berada di tempat selayaknya.
Mengangkat sukan memanah berkuda bukan bererti menolak sukan atau disiplin ekuestrian yang lain, sebaliknya terus menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya