KALAU boleh banyak yang berhasrat menukar kereta, bukan 10 tahun tetapi lima tahun sekali. Ini sama dengan jangka masa ‘menukar’ wakil rakyat dalam pilihan raya umum.
Bagaimanapun, tidak semua orang mampu dan mudah membeli kereta baharu. Bayaran pendahuluan dan ansuran bulanan amat membebankan. Sekalipun kalau dikira belanja selenggara selama 10 tahun itu tinggi, tetapi tidak membebankan seperti membeli kereta baharu.
Maka apabila sekumpulan pakar mencadangkan supaya kerajaan melupuskan kereta yang berusia lebih 10 tahun, kita bolehlah menganggap teori mereka hanya di atas kertas. Masalah atau bebanan menukar kereta baharu tidak ditekankan dalam keadaan ekonomi masa kini.
Tiba-tiba yang dibangkitkan adalah kereta lama menyebabkan kesesakan. Tetapi tidak pula dihuraikan hubungan kereta lama dengan kesesakan yang menjadi tradisi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Adakah sudah menjadi fenomena kesesakan disebabkan kereta lama yang rosak di tengah-tengah jalan? Kalau ada di mana datanya? Hakikatnya, kejadian ini amat jarang berlaku berbanding kesesakan saban hari di Kuala Lumpur. Jadi, faktornya tentulah bukan kereta lama.
Pengalaman hampir 40 tahun menghuni Kuala Lumpur memang pernah melihat kereta yang rosak di tengah-tengah jalan dan berlaku kesesakan. Bagaimanapun, kereta yang rosak itu ada yang baharu dan juga lama. Tetapi jumlah kejadian seperti ini sangat kecil. Mungkin satu dalam 100,000 kereta.
Hal-hal sedemikian membuatkan saya sukar untuk mengiakan hujah bahawa kereta lama menyebabkan kesesakan. Saya bukan penyelidik, jauh sekali pakar. Tetapi daripada pengamatan, kita boleh membuat kesimpulan bahawa kesesakan di Kuala Lumpur disumbang oleh faktor-faktor lain.
Antaranya sistem pengangkutan awam tidak menyeluruh dan keadaan jalan yang sangat daif termasuk di Kuala Lumpur selain saiz jalan raya yang sempit. Dua atau tiga lorong tidak memadai dengan aliran trafik yang banyak. Kalau ada tiga lorong, satu lorong untuk bas dan teksi. Ditambah pula dengan lorong basikal.
Di Kuala Lumpur memang banyak pengangkutan awam, tetapi tidak semua ceruk ada transit aliran ringan (LRT) atau transit aliran massa (MRT). Hendak ke stesen LRT atau MRT juga memerlukan kenderaan lain. Itu di Kuala Lumpur, bandar atau luar bandar lain jangan cakaplah. Mahu atau tidak terpaksa menggunakan kereta.
Sebahagian besar warga Kuala Lumpur memiliki kereta disebabkan keperluan. Kereta bagi kebanyakan orang bukan barang mewah seperti dekad 1970-an dan sebelumnya. Apabila menjadi keperluan tentulah digunakan dalam jangka masa yang lama.
Saya fikir kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pakar ini kurang signifikan dengan keadaan sebenar. Daripada laporan media, hasil kajian ini tidak memperlihatkan matlamat yang jelas untuk kepentingan umum. Misalnya, dibangkitkan tentang ketidakseimbangan jumlah kereta baharu dan lama.

ELV
Kalau benar tidak seimbang, apakah masalahnya dalam konteks kepentingan umum? Untuk tujuan apakah keseimbangan itu? Katakanlah, dasar lupus kereta atau end of live vehicle (ELV) dilaksanakan, jumlah kereta di atas jalan raya tidak akan berkurangan.
Mereka yang terpaksa melupuskan kereta terpaksa membeli kenderaan baharu walaupun menanggung beban ansuran bulanan yang tinggi. Cuma bezanya dahulu kereta lama, kini kereta baharu. Dari sudut keseimbangan kereta baharu dan lama mungkin tercapai.
Bagaimanapun, jumlah kereta di atas jalan raya tidak berkurang dan ini terus menyumbang pada kesesakan. Jadi, di mana signifikannya cadangan melupuskan kereta lebih 10 tahun?
Saya memetik kembali kenyataan pakar-pakar berkenaan seperti disiarkan di media: “Ini kerana selepas 10 tahun penggunaan, walaupun bagaimana hebat pun sesebuah kenderaan atau kereta itu, ia akan alami ‘kekurangan’ dan perlu habiskan duit untuk dibaiki.
Jadi, sudah tidak ekonomik. Sebab itu di negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah ada polisi ELV iaitu selepas satu tempoh yang ditetapkan, kenderaan itu perlu dilupuskan.”
Ada dua pertanyaan daripada petikan di atas. Pertama, kalau hendak bercakap di sudut ekonomi tidak perlulah melupuskan kereta berusia lebih 10 tahun. Bukankah lebih baik pakar ini mencadangkan supaya membeli kereta baharu secara tunai, bukan sewa beli daripada bank?
Kaedah bayar tunai ini lebih ekonomik kerana tidak perlu menanggung 75 peratus faedah yang dikenakan oleh bank. Bagaimanapun, hakikatnya disebabkan kekangan kewangan terpaksa juga menggunakan kaedah sewa beli.
Perkara ini samalah juga dengan terus menggunakan kereta lama walaupun terpaksa berbelanja lebih untuk selenggara. Ini jauh lebih ringan berbanding beban membayar pendahuluan dan ansuran bulanan kereta baharu. Sekali lagi, kira-kira di atas kertas berbeza dengan hakikat di lapangan.
Persoalan kedua, banyak sangat memetik contoh dari negara luar. Sindrom memetik contoh-contoh baik secara melulu dari negara luar memang sudah lama berlaku dalam kalangan orang cerdik yang tidak berapa pandai. Kalau negara lain melupus kereta menjadi besi buruk, tidak semestinya itu juga baik untuk kita.
Negara yang dipetik oleh pakar itu, Singapura dan Jepun misalnya sudah mempunyai sistem pengangkutan awam yang sangat mantap, cekap dan menyeluruh. Di negara seperti ini warganya tidak perlu memiliki kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Pengangkutan awam berteknologi tinggi boleh sampai hingga ‘depan pintu.’
Maka di atas matlamat apakah kereta berusia lebih 10 tahun hendak dilupuskan di negara ini? Kalau alasan kesesakan, carilah jalan supaya jalan raya tidak sesak – lebar dan selenggara jalan dengan sempurna. Lupus kereta bukan penyelesaian kalau jalan di Kuala Lumpur macam bekas laluan lori balak. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











